Thursday, August 16, 2007

happy birthday affa!!

Syair Pesanan Ayahanda

Dengarkan tuan ayahanda berperi,
Kepada anakanda muda bestari,
Jika benar kepada diri,
Nasihat kebajikan ayahanda beri.

Ayuhai anakanda muda remaja,
Jika anakanda mengerjakan raja,
Hati yang betul hendaklah disahaja,
Serta rajin pada bekerja.

Menjalankan kerja janganlah malas,
Zahir dan batin janganlah culas,
Jernihkan hati hendaklah ikhlas,
Seperti air di dalam gelas.

Jika anakanda jadi besar,
Tutur dan kata janganlah kasar,
Janganlah seperti orang sasar,
Banyak orang menaruh gusar.

Tutur yang manis anakanda tuturkan,
Perangai yang lembut anakanda lakukan,
Hati yang sabar anakanda tetapkan,
Perasaan orang anakanda fikirkan.

Kesukaan orang anakanda cari,
Supaya hatinya jangan lari,
Masyhurlah anakanda dalam negeri,
Sebab kelakuan bijak bestari.

Nasihat ayahanda anakanda fikirkan,
Keliru syaitan anakanda jagakan,
Orang berakal anakanda hampirkan,
Orang jahat anakanda jauhkan.

Setengah orang fikir keliru,
Tidak mengikut pelajaran guru,
Tutur dan kata haru biru,
Kelakuan seperti anjing pemburu.

Tingkah dan laku tidak kelulu,
Perkataan kasar keluar selalu,
Tidak memikirkan orang empunya malu,
Bencilah orang hilir dan hulu.

Itulah orang akalnya kurang,
Menyangka dirinya pandai seorang,
Takbur tidak membilang orang,
Dengan manusia selalu berperang.




Kepada Mohammad Muzaffar bin Mokhtazar Zain ~ a f f a [tau!]

1. Tahniah.
2. Selamat mencapai segala yang menjadi impian.
3. Semoga menjadi anak yang taat kepada kedua ibubapa, pelajar yang tekun serta Muslim yang setia.
4. Jadi yang terbaik untuk diri sendiri, kerana siapa kamu 10 tahun akan datang ialah apa yang kamu usahakan hari ini.

affa,

10 tahun dulu - 1997, usia saya 17 tahun. sedang sibuk nak ber-SPM di SMK Convent Bukit Nanas. subjek terbaik saya ialah Pendidikan Seni Visual dan Bahasa Inggeris. saya tidak pernah lulus Matematik. lepas percubaan SPM dan masih gagal Matematik, saya malu, dan kelam-kabut kejar ulangkaji dari asas tingkatan 4 dan tingkatan 5. pn. Mashitah - cikgu Matematik saya jadi kawan baik setiap petang hingga jam 3. Alhamdulillah, untuk SPM Matematik saya dapat C6 - cukup makan. dan saya tiada masalah besar dengan subjek-subjek lain. Gred A1 Pendidikan Seni Visual menjadi titik mula saya hingga 10 tahun selepas itu - 2007, saya seorang guru. walaupun sudah sangat jauh tersasar dari cita-cita asal saya [saya hendak jadi pensyarah ekonomi antarabangsa, dan sebenarnya saya hendak masuk Universiti Malaya].

mungkin kerana sikap belajar last minute itu, saya tidak berjaya mencapai cita-cita saya. dan memang sangat kesal kerana jika gred Matematik saya lebih baik [belajar dan bersedia dari awal] tentu saya lebih bagus dari siapa saya sekarang. nasib baik saya masih dalam landasan yang sama, dan saya berazam akan sambung belajar selepas batch kamu selesai tingkatan 5 tahun depan.

jadi... Siapakah kamu 10 tahun lagi?

saya harap kamu tidak ulang kesilapan yang saya telah buat 10 tahun dulu, kerana hari ini bila saya pandang kamu semua di dalam kelas, dan kadang-kadang mendengar keluhan guru-guru subjek lain mengenai pencapaian kamu semua - saya rasa ingin kembali ke zaman beruniform kurung putih dan kain biru muda itu, dan belajar bersungguh-sungguh kerana kamu semua sangat bertuah punya guru-guru yang sebenarnya sangat ingin memberi segala ilmu yang mereka ada, tetapi kadangkala semangatnya mati kerana penerimaan dan sikap kamu semua di dalam kelas.

"jika saya dengar, saya akan lupa.
jika saya lihat, saya akan ingat.
jika saya buat, saya akan faham."



selamat berjaya! :)

1 comment:

Anonymous said...

10 tahun yg lalu..sy juga pelajar spt kamu.lagi teruk. malas + jahat.plg teruk, hingga disumpah oleh ckgu math dan sudahnya..smpi sekarang masih dungu dgn matematik.sy tak salahkan dia.salah saya hingga di sumpah oleh nya...