Wednesday, December 31, 2008

mari buka buku baru.


tahun keempat menjadi che'gu.

tekanan makin hebat. perubahan pentadbiran dengan pengetua baru yang merencana visi misi baru.

mesyuarat pertama tadi dengan notasi-notasi berikut :-

i) pencapaian PMR sekolah makin merosot, yang terburuk sejak empat tahun berturut-turut.
ii) aku dilantik menjadi guru kelas Tingkatan 4 Efektif.
iii) beban kerja aku untuk 2009, di atas kertas nampaknya makin kurang (aku dah tak pegang kadet bomba---sedih juga hmm).
iv) masih tetap dan berpencen untuk jawatan persiapan backdrop dan pentas.
v) mengajar 25 masa seminggu---5 kelas tingkatan 3, 3 kelas tingkatan 4, 2 kelas tingkatan 5.

hmm.

sekolah makin cantik, habis segenap rakyat termasuk jaga sekolah diberi wang poket RM5 setiap hari untuk mengecat pagar sekolah. haha.

yang sedikit mengguris hati, bila ada yang ter'bengang' apabila diarah mengambil alih dua dari kelas-kelas tingkatan 5 aku.

encik, saya minta maaf. saya sanjung tinggi kepakaran dan senioriti encik. tapi encik pun sangat faham sekolah kita sangat kurang guru Pendidikan Seni Visual. yang tinggal kita berdua. sudahlah untuk PSV tingkatan 1 dan separuh tingkatan 2 ditinggal tak bercikgu, kalau semua kelas menengah atas pun saya kena sapu---mengah juga saya jadinya.

maaf encik terpaksa mengadap 5 Harmonis dan 5 Intelek.

haih.

sukar bila memikul gelar 'Ketua', tapi menangan ahli yang hakikatnya lebih senior malah hampir sebaya dengan ayahanda sendiri.

sukar bila diberi gelar 'Ketua', dan ahli panitia juga guru subjek cuma dua, walhal seluruh kelas dan tingkatan 1 hingga 5 harus diselia seluruhnya.

dalam masa sama, semua orang cuma boleh kata "kasihan" tapi hulur sebelah tangan pun belum tentu.

dalam masa sama juga, saban hari dan tahun aku mengilat bersih 'topeng senyum' sampai yang nampak di mata mereka - hidupku senang-lenang sebagai si bujang trang-tang-tang.

yang mereka tidak mungkin tahu, sepanjang tahun lepas aku dalam percubaan lari dari rumah.
ya, aku ada satu beg baju dalam almari buku di sekolah.

bohong kalau hidup manusia itu sewenang-wenangnya senang. aku akur mereka juga saban hari melayar gelombang hidup yang tersendiri. aku akur mereka lebih dahulu merasa asam garam kehidupan.

aku akur. sangat maklum. tunduk hormatku pada kamu sekalian.

tapi jangan kerana aku menjauh dari bilik guru, secara automatis aku dilabel sesedap rasa. nyata kamu tidak kenal aku, cuma 10% yang aku perlihatkan. selebihnya, tak perlu aku beria war-warkan. sebab 10% yang kamu telah pertontonkan untuk aku meyakinkan aku supaya menghindari kamu.

cukuplah gebang hal sekolah, kerja, pelajar. benar, meriah sungguh bilik guru bercerita kisah kain baju, besar kecil kereta, gosip artis segala. aku akan dengar, tapi maaflah, aku pendengar yang membosankan.

aku mahu ajak kau bergebang tentang filem reign over me, mungkin? old boy? the fountain? filem-filem tim burton atau baz luhrmann?

hey, sungguh aku mengidolakan jack black dalam school of rock. sangat k00l.

sesekali, layan koleksi malar segar m.nasir dan kembara yuk? iwan fals, boleh? nah, dengar yuna, ok tak?

ada karangan-karangan pak hamka yang boleh aku pinjam? atau puisi-puisi rumi, gibran, chairil anwar barangkali?

kau tahu siapa fynn jamal?

ok, itu melalut. maaf!

......................

seorang sahabat hingga ke hari ini menggelar aku 'iceberg' kerana -- cuma 'tip of ice' saja yang terzahir, sedang di bawahnya terselindung batu agam yang salah cara akan bawa binasa.

Icebergs are comprised of water that has frozen, similar to ice cubes in a drink. The density of the ice is slightly less than water, causing them to float. Roughly 9/10 of the iceberg is below water. http://www.grow.arizona.edu/SPT--Home.php

pernah tonton filem Titanic?

.....................

tak mengapalah. tutup kisah 2008.

aku jengah 1430H dengan harapan tidak lagi melengah solat. =)

selamat datang 2009.

nota di kaki : terima kasih Wikipedia untuk pautan-pautan info nama-nama di atas.

Thursday, December 18, 2008

anaknya p.ramlee.

lewat semalam usai latihan, sms dari abah jam 9.25 pm :
"Ada dapat berita Nasir P. Ramlee meninggal petang tadi?"

terdiam.

sekilas aku teringatkan zakaria dan zaidee.

spontan dan wajarnya dibalas aku dengan ucap panjang - "Innalillahiwainnailahirojiun..."

sejurus itu, sms balas dari abah jam 9.34 pm :
"Kirim takziah ke anak dia jika contact..."

dan sepanjang perjalanan pulang aku terngiang bual zakaria dan aku di studio seni sekolah - "saya sedih tak mampu jadi sehebat atuk saya, cikgu."

dan berita jam 8 di tv1 tadi, aku lihat dia antara yang mengurus jenazah ayahandanya ke liang lahat. Alhamdulillah dikhabarkan dia ada di sisi semasa ayahnya menghembuskan nafas terakhir.

Allahyarham nasir p. ramlee, boleh disifatkan sangat karib dengan institusi sekolah aku. kelibatnya kerap ditemui di kawasan bilik disiplin, kebetulan bersebelahan dengan studio pendidikan seni yang dihuni aku. lazimnya berbaju melayu johor lengkap samping. sesuai tugasnya sebagai pengarah muzik di Istana Budaya yang berjiran pagar dengan sekolah.

dan anaknya zakaria nasir, selain merupakan pelajar aku juga kerap singgah menjenguk aku sambil berkongsi pelbagai perihal diri dan keluarganya.

seingat aku, dia tidak senang disebut-sebut sebagai cucu p. ramlee. malah kerap naik berang kerana ada guru di sekolah lamanya memperolok-olokkan keturunannya.

benar, kalau dilihat pada raut wajah dan gaya mereka dua beradik, tidak terbayang air muka sang seniman agung. tetapi kerinting rambutnya, mengimbas p. ramlee semasa kegemilangan filem-filem bujang lapuk.

pernah aku tanyakan, apa rasanya menjadi cucu p. ramlee?
apa kelebihan p. ramlee yang mungkin kamu warisi?
bilangnya,

"biasa saja cikgu. cuma sesekali di majlis-majlis tribute untuk p.ramlee baru saya rasa - oh, aku ini cucu manusia yang sangat hebat. dan ya, kalau pun ada saya cuma boleh main dram, itu saja."

"pernah di ruang tamu rumah, saya ternampak jelmaan arwah atuk memandang tepat pada saya. serammmm, cikgu!"

"ada sekali itu, saya pakai tarbus tinggi arwah atuk yang dalam cerita tiga abdul tu, dan tengok cermin -- wah, baru nampak macam muka dia."

dan yang paling selalu dikesalinya --

"saya sedih, saya tak mampu jadi sehebat p. ramlee."

tidak lama selepas itu, nasir p. ramlee menulis buku "bapaku p. ramlee". dan selang hari-hari berikutnya zakaria bergegas-gegas menemui aku sebaik loceng akhir sekolah berbunyi. tangannya bingkas mencari-cari dari celah beg sandang, dan dihulur bungkus plastik putih -
"ini, ayah bagi pada cikgu".

selepas itu, kelibatnya tidak lagi kelihatan di sekolah. khabar dari guru kelas, zakaria ponteng. berlarut-larutan. dan beberapa minggu selepas itu, aku nampak nasir p. ramlee di luar bilik disiplin.

dan zakaria pun berhenti sekolah di akhir tingkatan empat.

sedang sibuk-sibuk aku di deret bas sekolah selesai latihan persembahan hari kemerdekaan tahun ini, aku dilaung - "cikgu!", dan tanganku disambutnya seraya dicium hormat. dia masih anak yang manis, cuma dia memilih menyelia hidupnya dengan gerak hati sendiri. sedang rakan-rakan bergelumang dengan SPM, dia sibuk bekerja, walau di myspace dia mengkhabar akan kembali bersekolah tahun hadapan.

hari ini, aku jenguk myspace dengan harapan tipis yang dia akan bertalian.

...............


"saya sedih, saya tak mampu jadi sehebat p. ramlee."

benarlah, lagenda cuma wujud satu dalam sejuta. cuma ada satu p. ramlee. tetapi harapan dari semua orang untuk melihat seorang lagi p. ramlee dari salasilahnya cuma menjadi tekanan. dan pengalaman peribadi aku menangani cucu-cucunya, sangat menginsafkan. mereka tetap remaja yang perlukan perhatian ayah bonda, mudah kalah dengan hedonisma dunia, enggan dihakimi sewenangnya dari parut toreh dan calar di raut wajah yang muram kasar dan sifat nakal berontak seorang anak lelaki yang bisa bertumbuk kerana gurau sinis dan cemuh orang -- kerana yang mereka mahu semoga ada yang memahami mereka cuma insan biasa.

tidak mungkin jadi nasir p. ramlee.

jauh sekali, bukan p. ramlee.



lewat tulisan ini, aku sedikit sebal kerana biar sekerap mana aku terlintas kelibatnya nasir p. ramlee di luar bilik disiplin, atau di meja kafe Istana Budaya -- lafaz "terima kasih untuk buku pemberian encik nasir" tidak pernah terucapkan.

terasa terhutang sungguh. dan hati ini disayat hiba yang sukar dibicarakan.


"terima kasih untuk buku pemberian encik nasir".
dan al-Fatihah.


"In the name of Allah, the Owner and Giver of Mercy;
Allah is praised, the Lord of all Worlds,
The Owner and Giver of Mercy,
The King of the Day of Repayment,
We serve only You and ask only You for help,
Guide us the straight path,
The path of those You have favoured,
Not of those deserving anger,
Nor of those who lose their way."


Semoga tempatnya bersama mereka yang beriman dan berbahagialah dikalangan mukmin yang dikasihiNya.

"Hapuslah air matamu, saudaraku, dan tegakkanlah kepalamu seperti bunga-bunga menyemai jari-jemarinya menyambut mahkota fajar pagi.
Lihatlah Kematian berdiri bagai kolom-kolom cahaya antara ranjangku dengan jarak infiniti;
Tahanlah nafasmu dan dengarkan kibaran kepak sayap-sayapnya.
Dekatilah aku, dan ucapkanlah selamat tinggal buatku."


Kematian telah mengucupnya dan mereka yang terdahulu, masih panjangkah masa kita, sahabat-sahabat?

Saturday, December 06, 2008

runtuh.

bangun pagi dan tengok berita di tv1.

8 banglo ditimbus tanah runtuh di bukit antarabangsa.

sambung ke tv3.

14 banglo ditimbus tanah runtuh di bukit antarabangsa.

aihh...dalam masa setengah jam pun fakta angka boleh berubah ya?

sekarang dah 9.30 pagi, helikopter duk lalu-lalang di angkasa perumahan aku untuk operasi menyelamat. area ni pun apa kurangnya, bukit-bukau juga. kata abah, tanah malaysia ni memanglaa tak ada batu yang kukuh macam kat luar negara. kalau kita imbas semula penciptaan bumi dan perpecahan benua-benua dunia, kawasan timur macam kita ni cuma hujung-hujung lahar gunung berapi yang dulunya meletup berjuta-juta tahun di kawasan tengah dunia. jadi kalau di kawasan kita ada batu seketul besar tu, kuis-kuis bersihkan pasir kelilingnya akhir runtuh tergolek juga.

mmm -- fakta di atas cuma cetusan idea dan rumusan logik seorang abah sahaja. mungkin tiada sandaran bukti, jadi tak perlu dibahaskan sangat ya.

aku rasa sepanjang seminggu ni muka depan akhbar dan berita penuh tragedi ke. dan perasan tak kisah-kisah kemalangan atau kecelakaan yang mesti melibatkan sekurangnya dua orang satu famili?

setakat tadi khabarnya 3 mayat dah ditemui.

kalau 8 rumah banglo, kali dengan 4 penghuni sekurangnya -- paling-paling dah cecah 32 orang tu.

belum kira bibik lagi, pak guard lagi, kot-kot ada sepupu-sedara yang datang menziarah hujung minggu dan Aidiladha ni...

...

takut pulak aku tengok dinding batu belakang rumah aku ni. hissh.

Friday, December 05, 2008

akhirnya. hidup kembali sunyi. sepi. krik krik krikkk~~



akhirnya semua dah selesai.

semalam secara rasminya peperiksaan SPM seluruh Malaysia tamat.

dan secara tradisi yang digunapakai lepasan-lepasan peperiksaan SPM ini, baju sekolah menjadi mangsa untuk koleksi autograf.

yang di atas ini, tertera contengan aku pada baju ayie. 'will miss u' itu benar-benar ikhlas, bukan sekadar mengisi ruang semata. kenapa?

ikhlasnya, sejak tamat sekolah pada 1997 dulu aku tak lagi punya teman rapat. di universiti, maktab -- semuanya sekadar melintas untuk mengisi keriuhan yang cuma sementara. aku juga sangat faham, masa memisahkan kami semua. hidup memang terus, dan kebanyakannya telah berumahtangga.

berumahtangga?

aku dan jatuh bangun hidupku tak mengizinkan untuk komited sebegitu. jadi, kerana aku cikgu, 3/4 hidupku seharian dipenuhi dengan kecoh-riuh anak-anak ini. tidak mengeluh, sebaliknya aku suka. biasanya ke lewat malam berbual mungkin di myspace, ym atau sms. belum kira dengan sesi perkhemahan atau aktiviti-aktiviti lain yang kalau tidak diarahkan pentadbir pun, aku yang tawar diri ikut sama.

sebab kalau tidak, aku rasa hidup jadi lebih tepu. buat apa menyorok diri di sekolah dengan berdalih-dalih semata enggan serabut dengan kecoh budak-budak?

paling tidak, merasa juga berjalan dan bercuti secara percuma. heh, siapa saja dalam dunia dapat ke Pulau Redang tanpa keluar sesen pun? siap terjun tiruk snorkeling segala, sampai nak pengsan seharian.

atau tumpang bangga juga bila diperakui sebagai yang bertanggungjawab melatih pelajar persembahan padang untuk sambutan merdeka? sudah tentu, dan puas hati kerana ia keraian peringkat negara yang dirai semua bangsa.

kalau sudah ikrarnya menjadi cikgu, sudah tentu hidupnya dikerumun sepanjang masa.

aku jengkel sekali pada segelintir cikgu yang terlalu kritikal dengan masa bekerjanya. loceng akhir dan selamat tinggal. tutup buku, kemas meja dan angkat beg. hendak disua kutipan yuran pun tak boleh ditangguh walau sesaat. "esok boleh tak? dah nak balik ni, dah loceng."

atau, "alaahh korang ni, besok-besok ajalah. da abis sekolah kan."

aku tidak bisa mendabik dada yang aku hebat atau bagus. mungkin aku diludah semula dengan kata - "awak tu bujang, tak apalah. bukan sibuk dengan anak kecil dan suami, memasak blablablaa..."

tapi, ironinya ada juga cikgu yang beranak kecil boleh saja menjenguk aktiviti di sekolah sebelah malam bila ada kem orientasi badan beruniform, misalnya. aku sendiri, naufal yang dibela keluarga itu, sejak usianya 2 tahun dan masih berlampin pakai buang sudah mula ku bawa ke sekolah.tahun sudah sempena persembahan merdeka di sebelah malam itu siap berdukung lena di bahu zairul. dan ramai anak-anak muridku sudah jadi abang-abangnya. ada masa berjanji ke futsal, bowling, wayang atau sekadar makan sama dan merayau-rayau keliling KL naik lrt dan bas sambil usung kamera sama.

dan yang penting sekali, pada masa ini anak-anak ini menjadi lebih telus dan santai. tidak terikat formaliti. mengizinkan aku mengenali siapa mereka, dan memberi perhatian yang mungkin tidak mereka perolehi dari ibu ayah sendiri. kalaupun aku tidak berdaya memenuhi segala, cukup mudah untuk meletak diri menjadi pendengar yang setia bilamana diperlukan.

mungkin kerana itu, aku belum pernah dibaling kertas atau diherdik sesuka dek anak-anak ini.

mungkin kerana itu juga, nama aku bukan kegemaran di dinding-pintu-sinki tandas atau meja sekolah.

benar, di sekolah yang seluruh pelajarnya lelaki, bermacam dugaan bisa tiba. jiwa mereka kasar, nakal dan gemar provokasi. cuma, pandai-pandailah menangani. aku pernah dicaci-maki (baca entri sakit hati ini), adatlah. tapi padan kah kalau aku melawan juga? secara aturannya - dia tetap anak murid aku. dan awal tahun ini aku mengajar dia seperti biasa. menegur dan membantu bila nampak dia tak keruan.

Alhamdulillah, tiada lagi anjing-anjing tembok yang menyalak sakit.

dan seterusnya, mengharapkan ia kekal sebegitu. kalau ada yang tidak kena, lumrah. elok datang berhadapan. cikgu juga cuma manusia.

ada baca kisah puisi dari a.samad said? aku langsung berjumpanya di meja, dan dia mengaku sebenarnya mencari cara untuk memberitahu betapa dia tertekan tak diendah dan diabai oleh guru-guru lain. aku pula cuma membiarkan dia melayan caranya sendiri. jadi dia merasa tak diperlukan, tak penting untuk wujud lagi. kebetulan pula memilih subjek aku menjadi medan meluahkan perasaannya. benar, dia jujur. tapi tanpa usul periksa menyalahkan semata. itu, aku tegur dan betulkan. harap jadi teladan di masa hadapan sepanjang hidupnya. maaf diluahnya, dan kertas subjek aku dijawab sepenuh hati. Alhamdullillah.

aku harus nyatakan, sangat indah menjadi guru. lebih bahagia bila kita mendidik, bukan mengajar isi buku semata.

kerana di hujung waktu sekolahnya, dunia realiti akan menghakimi dia. kalau tidak berderet A di atas slip keputusan pun, biarlah tidak terjerumus mengaibkan diri dan keluarga. itu doa dan harapanku selalu.

.............

lihat semua kesibukan itu, dan hari ini aku kembali menjadi manusia sunyi.

cuma yang melegakan sedikit, aku tak perlu sibuk-sibuk menyeterika baju lagi, cukup uniform kegemaran aku - jeans dan T. oh ye, sandal leper yang selesa. yehuuu~~!

hari ini aku bawak laptop melepak di starbucks wangsa maju. nampaknya tak sibuk sangat, mungkin sebab semua orang dah mula sibuk-sibuk di aeon keramat au2 yang beroperasi hari ini.

di luar pintu kaca sana, semua orang sibuk dengan hidup mereka. tak dengki kah sama aku yang melepak menulis blog ini?

=)

Tuesday, December 02, 2008

... satu hari lagi.

ya, satu hari lagi.

esok awal pagi ke bilik kebal JPWP mengangkut soalan Perdagangan 1 dan 2.

usai jam 12.25pm, dan langsailah tugas aku menjadi pengawas SPM.

(wah merdeka akhirnya kamu ya si manis?)

pergilah pagi-pagi yang lesu dan membosankan. bukankah penantian itu suatu penyiksaan?

hahaha.

cuma, ada kagum semasa menjaga kertas Additional Mathematics, bila selang empat lima minit dan gadis manis di sisi menegur - ''cikgu, mintak kertas lagi?''

aku rasa itulah satu-satunya hari bertugas yang aku terpaksa tidak mengantuk.

bagi orang yang tidak karib dengan nombor, maka dicatat markah dengan pena biru bagi subjek matematik pada zaman aku berkurung putih-berkain biru muda itu adalah suatu perkara yang amat ajaib.

meski aku layak ke kelas sains dengan pencapaian PMR aku circa 1996 dulu, tapi sehari di situ memadai untuk aku angkat bendera putih.

dua masa matematik, bersambung dua masa matematik tambahan.

terus pejam mata dan kata - jangan harap.

dan esoknya, aku ke kelas akhir sekali. satu-satunya kelas yang menawarkan subjek lukisan yang memang makanan aku.

benar, mama marah. katanya - sudahlah lembab, lagi bergaul dengan yang lemah akal.

katanya lah. aku rasa masa itu aku tak fikir apa pun, cuma memakai pepatah 'ukur baju di badan sendiri'.

orang kata belum cuba belum tahu. kata aku - untuk apa mencuba jika menggadai masa dan menekan diri kerana selain mesti lulus matematik dan sains, ada lagi matematik tambahan, fizik, kimia dan biologi.

itu masalah besar bagi aku, bila dalam kitab mama dan abah cuma pandang A.

salah oranglah begitu, kerana kalau aku sudah enggan maka selamat tinggal dan flying kiss muahmuah saja aku tawarkan.

jadi, seraya menjenguk kertas jawapan add maths yang berlapis-lapis itu memang mencambah kagum bagi aku. yang itu ditambah, didarab dan bahagi. dibulatkan pula dan ada anak panah bersilang sana-sini. belum kira grafnya lagi.

yang jadi musykil juga, dalam ada yang menjawab hingga 10 muka, ada yang cuma memadai 3 lembar kertas sahaja.

tapi bilangan soalan dijawab sama, cuma si awang ini jalan kerjanya berjela-jela dan si timah itu pula tak sampai 1/4 muka.

aku pernah aju pada cikgu add maths di sekolah aku - adakah yang berjela jawabnya itu bermaksud lebih pandai dan faham soalan? bilangnya - tidak, bukan jaminan. sebab semuanya andaian. pelbagai formula boleh merumus kepada satu jawapan.

dalam kepala cuma ternampak-nampak anak gadis di meja itu menegur - ''mintak kertas, cikgu?''

aku hulur tiga - ''cukup?''

''boleh mintak enam helai,cikgu?''

60 minit seterusnya penuh 6 helai seluruh muka depan dan belakang dengan rumus dan nombor angka segala.

*tepuk-tepuk-tepuk*