Thursday, December 18, 2008

anaknya p.ramlee.

lewat semalam usai latihan, sms dari abah jam 9.25 pm :
"Ada dapat berita Nasir P. Ramlee meninggal petang tadi?"

terdiam.

sekilas aku teringatkan zakaria dan zaidee.

spontan dan wajarnya dibalas aku dengan ucap panjang - "Innalillahiwainnailahirojiun..."

sejurus itu, sms balas dari abah jam 9.34 pm :
"Kirim takziah ke anak dia jika contact..."

dan sepanjang perjalanan pulang aku terngiang bual zakaria dan aku di studio seni sekolah - "saya sedih tak mampu jadi sehebat atuk saya, cikgu."

dan berita jam 8 di tv1 tadi, aku lihat dia antara yang mengurus jenazah ayahandanya ke liang lahat. Alhamdulillah dikhabarkan dia ada di sisi semasa ayahnya menghembuskan nafas terakhir.

Allahyarham nasir p. ramlee, boleh disifatkan sangat karib dengan institusi sekolah aku. kelibatnya kerap ditemui di kawasan bilik disiplin, kebetulan bersebelahan dengan studio pendidikan seni yang dihuni aku. lazimnya berbaju melayu johor lengkap samping. sesuai tugasnya sebagai pengarah muzik di Istana Budaya yang berjiran pagar dengan sekolah.

dan anaknya zakaria nasir, selain merupakan pelajar aku juga kerap singgah menjenguk aku sambil berkongsi pelbagai perihal diri dan keluarganya.

seingat aku, dia tidak senang disebut-sebut sebagai cucu p. ramlee. malah kerap naik berang kerana ada guru di sekolah lamanya memperolok-olokkan keturunannya.

benar, kalau dilihat pada raut wajah dan gaya mereka dua beradik, tidak terbayang air muka sang seniman agung. tetapi kerinting rambutnya, mengimbas p. ramlee semasa kegemilangan filem-filem bujang lapuk.

pernah aku tanyakan, apa rasanya menjadi cucu p. ramlee?
apa kelebihan p. ramlee yang mungkin kamu warisi?
bilangnya,

"biasa saja cikgu. cuma sesekali di majlis-majlis tribute untuk p.ramlee baru saya rasa - oh, aku ini cucu manusia yang sangat hebat. dan ya, kalau pun ada saya cuma boleh main dram, itu saja."

"pernah di ruang tamu rumah, saya ternampak jelmaan arwah atuk memandang tepat pada saya. serammmm, cikgu!"

"ada sekali itu, saya pakai tarbus tinggi arwah atuk yang dalam cerita tiga abdul tu, dan tengok cermin -- wah, baru nampak macam muka dia."

dan yang paling selalu dikesalinya --

"saya sedih, saya tak mampu jadi sehebat p. ramlee."

tidak lama selepas itu, nasir p. ramlee menulis buku "bapaku p. ramlee". dan selang hari-hari berikutnya zakaria bergegas-gegas menemui aku sebaik loceng akhir sekolah berbunyi. tangannya bingkas mencari-cari dari celah beg sandang, dan dihulur bungkus plastik putih -
"ini, ayah bagi pada cikgu".

selepas itu, kelibatnya tidak lagi kelihatan di sekolah. khabar dari guru kelas, zakaria ponteng. berlarut-larutan. dan beberapa minggu selepas itu, aku nampak nasir p. ramlee di luar bilik disiplin.

dan zakaria pun berhenti sekolah di akhir tingkatan empat.

sedang sibuk-sibuk aku di deret bas sekolah selesai latihan persembahan hari kemerdekaan tahun ini, aku dilaung - "cikgu!", dan tanganku disambutnya seraya dicium hormat. dia masih anak yang manis, cuma dia memilih menyelia hidupnya dengan gerak hati sendiri. sedang rakan-rakan bergelumang dengan SPM, dia sibuk bekerja, walau di myspace dia mengkhabar akan kembali bersekolah tahun hadapan.

hari ini, aku jenguk myspace dengan harapan tipis yang dia akan bertalian.

...............


"saya sedih, saya tak mampu jadi sehebat p. ramlee."

benarlah, lagenda cuma wujud satu dalam sejuta. cuma ada satu p. ramlee. tetapi harapan dari semua orang untuk melihat seorang lagi p. ramlee dari salasilahnya cuma menjadi tekanan. dan pengalaman peribadi aku menangani cucu-cucunya, sangat menginsafkan. mereka tetap remaja yang perlukan perhatian ayah bonda, mudah kalah dengan hedonisma dunia, enggan dihakimi sewenangnya dari parut toreh dan calar di raut wajah yang muram kasar dan sifat nakal berontak seorang anak lelaki yang bisa bertumbuk kerana gurau sinis dan cemuh orang -- kerana yang mereka mahu semoga ada yang memahami mereka cuma insan biasa.

tidak mungkin jadi nasir p. ramlee.

jauh sekali, bukan p. ramlee.



lewat tulisan ini, aku sedikit sebal kerana biar sekerap mana aku terlintas kelibatnya nasir p. ramlee di luar bilik disiplin, atau di meja kafe Istana Budaya -- lafaz "terima kasih untuk buku pemberian encik nasir" tidak pernah terucapkan.

terasa terhutang sungguh. dan hati ini disayat hiba yang sukar dibicarakan.


"terima kasih untuk buku pemberian encik nasir".
dan al-Fatihah.


"In the name of Allah, the Owner and Giver of Mercy;
Allah is praised, the Lord of all Worlds,
The Owner and Giver of Mercy,
The King of the Day of Repayment,
We serve only You and ask only You for help,
Guide us the straight path,
The path of those You have favoured,
Not of those deserving anger,
Nor of those who lose their way."


Semoga tempatnya bersama mereka yang beriman dan berbahagialah dikalangan mukmin yang dikasihiNya.

"Hapuslah air matamu, saudaraku, dan tegakkanlah kepalamu seperti bunga-bunga menyemai jari-jemarinya menyambut mahkota fajar pagi.
Lihatlah Kematian berdiri bagai kolom-kolom cahaya antara ranjangku dengan jarak infiniti;
Tahanlah nafasmu dan dengarkan kibaran kepak sayap-sayapnya.
Dekatilah aku, dan ucapkanlah selamat tinggal buatku."


Kematian telah mengucupnya dan mereka yang terdahulu, masih panjangkah masa kita, sahabat-sahabat?

4 comments:

NULEYA said...

sedihhhhhhhhhhhh.......

y u z said...

sedihkan apa budak kecil?

sama2 ya,al-Fatihah~~

ayobkelubi said...

chegu. ko kenal sama arwah?.untungnyaaaa kalau dpt bercerita dgn arwah.

tekanan menyebabkan anak-anak dia menjadi begitu.

al fatihah untuk nasir p ramlee.

y u z said...

kalau yg dikenal itu anak-anaknya.seorang lagi akan di tingkatan 5 pada 2009.

cuma,pernah sekali pada 2006 di telefon dengan Allahyarham,menanya ehwal anaknya yang suka 'menghilang'.eheee...my starstruck momentlah kira tu.

al-fatihah!