Friday, July 17, 2009

biarlah, aku nak tulis di sini. biar kau baca dan tahu.

kadang-kadang susah menjadi aku.

ada perkara yang sedang sarat menujah aku. tapi aku sendiri tak jelas mengapa aku biar ia mengganggu.

bukan hal aku. seharusnya aku lantakkan. buat apa runsingkan diri?

tapi Ya Allah Ya Tuhanku entah apa hikmahnya diciptakan aku serupa ini.

ini soal jiwa. soal intrinsik.

aku jenis yang terlalu diam, sebenarnya. introvert. perkataan "kekasih" & "sahabat" sangat mahal dari aku.

mungkin semua ini lewat pengalaman lampau yang akhirnya membata tembok hati-hati supaya tidak semudahnya mencipta asosiasi dengan orang lain. sejujurnya, lingkung keluarga aku sendiri membataskannya.

hingga aku sangat takut dan hilang percaya pada semua orang, malah yang pernah makan sepinggan tidur sebilik -- tak kira dalam keluarga sendiri malah semua yang pernah mengenali aku atas nama "kawan", "sahabat" atau "kekasih". waswas dan syak selalu ada.

hingga hari ini, kalau adapun yang aku boleh angkat sebagai "kawan" atau "sahabat", kau mahu tahu siapa?

muhammad naqiuddin -- bekas anak murid. sementah usia 15 dia menjadi sahabat baik aku. entah kenapa dia selalu sudi memasang telinga. memandang ratap tangis aku. mendengar maki seranah aku. melihat sayu bila aku jadi tak keruan dihimpit tekanan bertubi-tubi. jasanya jadi besar hanya kerana dia mahu jadi pendengar. selain meneruskan kelangsungan dirinya sebagai anak dan pelajar yang harus jadi kebanggaan mama ayahnya sendiri.

aku senang bila dia menerima tawaran ke IPTA. ada bangga kerana dia membuktikan keupayaannya. walau jenuh juga aku membasuh rasa rendah dirinya semasa di tingkatan tiga. malah lebih pening aku menjaga dek bimbang dirasuk nakal teman-teman sekolahnya yang mengejar kedewasaan yang tidak tentu hala.

walaupun bukan tanggungjawabku lagi, tapi Alhamdulillah hingga hari ini dia masih di situ. cuma dia yang mengisi sunyi.

betul, cuma dia.

kalau bukan kerana sms dari adik seorang ini saban masa dan hari, telefon aku tidak ada fungsi.

diam, kaku, mati. kalau dipadamkan pun tak mengapa, seolah tidak bersebab untuk ia wujud kecuali kerana muhammad naqiuddin.

selebihnya, mungkin sesekali bekas anak-anak murid menegur di yahoo messenger. atau menyapa di myspace. yang mewah kredit, memberi salam ingatan melalui sms.

tapi banyak yang aku cuma baca. kalau dibalas pun, begitu-begitu sahaja. lebih banyak yang aku ulas, makin melarat pula pertanyaan dan penjelasan. biarlah, sekolah saja elok-elok.

kawan-kawan seusia, masing-masing sudah ada kehidupan sendiri. teman sekolah bertebaran hilang berita sejak aku terasing ke machang, kelantan circa 1998. setiap cuti semester aku pulang dan dikurung di rumah.

mama abah punya kuasa veto dalam hal ini. jadi;

begitulah. aku teringkuk sendiri, mendapat khabar tentang kawan-kawan sekolah yang muncul di kaca tv jadi pengacara, ada yang jadi pelakon, jadi model video klip selain menghias iklan di majalah dan akhbar. rezeki mereka. aku cuma tumpang seronok sebab pernah bergurau bertarik rambut dan berkongsi tawa. foto dalam album kenangan jadi bukti semua suka duka.

yang selebihnya, kalau bukan orang terkenal tapi masing-masing gah hebatnya. terakhir yang aku jumpa, aku saja yang masih pucat muka tak bijak berias bermekap. sedang yang lain, aduh!

kemudian, jodoh mereka tiba. kahwin. ada anak dan suami yang lebih wajib didahulukan dari segenap segi.

bila di pengajian tinggi, banyak pula yang bermuka-muka. bila di depan memercik air wangi, di belakang mencalit najis dan menujah kepala.

mulai itu, perkataan "sahabat" aku bakul sampahkan.
dan tahun pertama sebagai guru jadi tahun terakhir aku melafaz sayang pada yang dipuja sebagai "kekasih".

awal berkhidmat di sekolah dulu, aku cuba juga jinakkan diri. memasang topeng semata mahu jadi geng. dari satu klik ke satu klik, akhirnya mengesan bahaya dan hipokrasi. mungkin iya, tipikal sekali orang cuma minat hal-hal yang sensasi. paling tidak, tersampuk juga bila sudah beramai-ramai meski sambil menunggu giliran telekung di surau.

lepak di surau persis menonton Melodi. layannnn.

sejak itu, kawan-kawan aku ialah anak-anak murid di sekeliling aku.

minum sama-sama.
makan sama-sama.
bekerja sama-sama.
ketawa sama-sama.

setiap aku lumpuh diremukkan kegilaan kerja, mereka yang datang menghulur prihatin. bila aku lesu tak bersuara, pasti ada yang menyua nakal jenaka. hinggakan jadi sebuah keluarga.

aku kakaknya, mereka adik-adik-adik-adik-adik-adik-adik-adik-adik-adiknya.

dunia yang aku kongsi dengan mereka tidak tertakluk dengan undang-undang "aku cikgu -- kau murid". bercerita tentang bahan baca, melayan trend dan ketaksuban mereka pada nikon d40 aku yang tidaklah seberapa, atau bertekak tentang Liverpool yang selalu aku dabikkan lebih hebat dari hero bola mereka -- "si syaitan merah". haha. apa saja.

mereka bebas berperi apa jua kisah, baik ehwal berantakan keluarga, atau kisah abang yang keluar-masuk penjara dek najis dadah. atau ada juga, menyorok-nyorok datang bertanya bila awek kesayangan lewat datang bulan.

betul. memang ada.

mungkin kerana di luar dunia gelap mereka, aku ada untuk meminjamkan telinga. melihat nilai diri mereka yang sebenarnya terpinga-pinga dibiarkan meneroka jalan hidup sendiri. kalau salah jerumus, hancurlah begitu.

kasihan kan, mereka cuma mahu difahami.

tapi semua ini jadi cela pada mata orang lain. "gatal" -- tuduh mereka pada aku.

apakan daya pula aku mengajar di sekolah yang seluruh pelajarnya lelaki!
on another note -- aku tak minat mengajar perempuan. leceh. ahah. maaf ya.

sekarang bila aku pergi, anak-anak ini berkeluh-kesah mencari. yang ada myspace, menghujan Comment dan Inbox aku dengan seribu pertanyaan. kalau di yahoo messenger, biasanya aku terpaksa online dengan mode Invisible.

biarlah, tidak ada penjelasan yang paling tepat pun sebenarnya. kebetulan juga mereka agak samar dengan kewujudan blog ini. jadi untuk menerangkan semula berulang-kali sudah jadi lelah untuk aku.

itu kisah anak-anak. makcik minah dan kak bedah di sekolah itu pun sama kelibut juga. muhammad naqiuddin jadi sasaran kegemaran. pada banyak soalan "mana kakak awak pergi?" dibalasnya dengan ringkas, padat -- "saya tak tahu, cikgu."
"bohonglah, takkan tak tahu..."
"betul, saya tak tahu.",
dan bingkas pergi. baginya, setiap jawapan "iya, saya tahu" akan menuntut penjelasan panjang lebar untuk memuaskan hati makcik minah dan kak bedah yang lebih hirau hujung kain aku yang carik. kan buang masa dan serabut akal anak itu jadinya.

bagus, kata aku. bijak kau menyelamatkan diri, dik.

tinggal aku yang dibelenggu rindu pada adik-adik yang lain. hingga sebelum aku tinggalkan kota, sudah hampir 4 bulan tidak bersua. bila sudah jauh begini, entah bila pula. kewangan pun agak ketat. jadi segalanya sedikit sukar sementara ini.

tapi seperti selalunya, aku sangat setia dan komited bila aku sudah mengasihi. biarlah tak bersua muka, tapi ingatan tidak putus.

biarlah kau bukan sedarah daging, tapi aku sudah ikrarkan ini --

kamu sahabat aku. kamu kawan aku.

kata hikmat sudah terlafaz. mustahil aku tarik semula.

ini untuk gadis kecil itu,
tangan aku selalu terhulur untuk kamu sambut.

asal kamu mahu mencapainya, jadi aku ada.

kakak ini selalu ada. bukan bahagia yang dapat aku sua, cuma bahu buat kamu tumpang membuang lelah mengharung dunia tidak sempurna.

kamu tahu kamu siapa.

5 comments:

Naqiuddin said...

terima kasih,cukup terharu sekali bila membacanya...

saya cuba untuk menjadi insan yang perihatin,saya tidaklah sempurna..
sehingga ke hari ini kejyaan yg saya miliki skrang dtg dari insan yg bernama SITI FAIRUZ MOHD RAHMAN.

Kamulah sumber inspirasiku,kamulah sahabatku,kamulah penguat smangatku dan kamulah org yg tidak pernah berhenti memberi tunjuk ajar padaku..

terima kasih cikgu,terima kasih sahabat,terima kasih kak,3 tahun kau menjaga aku,mendidik aku tanpa mengeluh.

Sekarang aku pelajar UITM,tanpa dorongan dan sokonganmu,mungkin aku tidak seperti skrang..

aku tidak akn mlupakanmu.

THANKZ.

y u z said...

naqiuddin :

eh.
mimpi apa?

ooo selama ini baca diam-diam tak bersuara ya. gedik!

=)

ayobkelubi said...

sebagai membalas komen kau. hahaha.

beb, Kementerian Pendidikan telah kehilangan seorang guru ala-ala DEAD POET SOCITEY dan DANGEROUS MIND/

rugi betul Kementerian Pendidikan

:P

y u z said...

ayobkelubi :

such idealisme will never exist in our education system. yang teruk dan bermasalah akan terus dinyahkan dari sekolah. hilang satu masalah. tapi apa jadi pada budak tu?

dulu akulaa cikgu yang paling susah nak buang budak sekolah. tapi kata 'diorang' aku tak ikut prosedur blablabla. siapa yang nak bela budak2 ni sekarang? apa peranan unit kaunseling sekolah? (haaa do not let me start on this pulak, aku nak bagi jari tengah je)

anak lelaki mesti diberi kepercayaan yang mereka jadi tonggak keluarga, tonggak masyarakat. kalau dia tak pandai, tenaga dia ada. soalnya nilai percaya diri dia kita kena betulkan. "ada ilmu" dengan "ada akal" tu tak sama. ada ilmu tapi tak praktik, apa kejadahnya. lebih baik ada akal supaya ikhtiar hidup tu berterusan.

anyway bro,
apsal ko tak mention SCHOOL OF ROCK? itulaa cikgu paling best seh. haha.

amy said...

skenye bca blog ckgu... word yg ckgu gna wlupn kdg2 ssh nk phm tpi sgt puitis...seronok bca... ;)