Wednesday, September 09, 2009

nowhere but UP.

aku nak menulis pasal rumah dengan belon-belon ni. boleh kan? hehe


agak lama aku tinggalkan "buku hitam" aku ini. sibuk juga, barangkali. beberapa perkara perlu diteliti, diubahsuai serta ditambahbaikkan. InsyaAllah, semuanya masih baik setakat ini.

sepanjang bulan puasa ini cuma seminggu aku di Machang. sepatutnya aku dah berangkat kembali ke sana untuk tugas-tugas pejabat tapi tiket pergi dan balik dah disapu habis. jadi perjalanan ditunda ke usai Syawal nanti. ada juga rasa bersalah kerana hal-hal pengurusan yang mungkin sedikit terjejas dengan ketiadaan aku. apa yang aku dapat sudahkan di sini antaranya menyelesaikan hal-hal dengan klien dan serba-sedikit pemasaran khasnya yang melibatkan penggunaan internet. Alhamdulillah dengan bayaran RM10 seminggu aku dapat menumpang guna wireless di kawasan perumahan ini.

itupun, blog ini dah makin segan nak diusik. hahah.

sebenarnya elok juga, sambil beri peluang untuk teman blogger bikin promosi. kalau ditengok entri sebelum ini kan berkisar sehari aku berfoto raya di tengah puasa di rumah mommyofTripletsplusOne. jadi kalau ada yang minat nak menjenguk khidmat dari pn. munirah ni, sila-silalah ke blog atau flickrnya. sokong semangat ibu-ibu yang bekerja dari rumah ni. konsep fotografi boleh dirunding pada harga yang sangat berpatutan dengan hospitaliti dari pn. munirah (dan mungkin suaminya, jika kebetulan ada) yang membuatkan kita selesa.

semalam aku curi waktu petang untuk rehat-rehat menonton wayang. cerita pilihan -- UP. kebetulan naufal dicutikan kerana tidak mahu konsentrasi anak-anak UPSR sekolahnya terganggu. jadi lewat tengahari aku, yana dan naufal keluar ke bukit bintang. sambil yana berurusan di Low Yat aku bergegas-gegas untuk tiket tayangan jam 2.30 di GSC Times Square.

the poster hinted me nothing about the story itself. seriously.

naufal yang dah siap berhoodie dari rumah. sepanjang jalan duk mengomel "sejukk...sejukk" padahal tau ajalah berjalan kaki di terik tengahari, lagi pulak di kawasan bukit bintang yang berdebu berasap tu. stail laaa sangat.

andaian aku, ia mungkin tipikal wayang kartun yang diicingkan dengan efek 3D. itu saja. habis-habis pun ada ketawa serba-sikit dan fun all the way. malah di awal ia diwar-warkan, aku tak terliur pun hendak menonton sepertimana aku tekun mengikuti siri Ice Age. cuma terfikir kalau sekadar hendak melayan naufal jadi bolehlah. itu saja.

obviously, i underrated the movie dudes and dudettes.

mana nak sangka selepas 15 minit pertama air mata aku dah mula bergenang.

menangis tengok cerita kartun. ironik, ok. aku ingat ada frust serba sikit, then gelak-gelak tapi taklaa sampai berlinang air mata. bukan sekali pulak tu!

jadi kisahnya mengenai watak Carl Fredrickson yang dari kecilnya sangat teruja dengan idola penerbangan yang dinamai Charles Muntz. kemudian bertemu dengan si tomboy kecil -- Ellie yang lincah dan bersemangat, juga berkongsi idola yang sama. so the story goes, kedua-duanya berkahwin.

'ickle Carl & Ellie

adult & married Carl & Ellie
aku tak dapat gambar veteran carl & ellie. too bad.

mereka berkongsi hidup bersama yang sangat manis hinggalah ke akhir hayat Ellie. bermula selepas itu barulah cerita berdasarkan poster Up tadi dipaparkan. dari melankoli si tua Carl yang tak sanggup berpisah dengan kenangan isteri tersayang, kepada rumah yang terangkat dek ribuan belon-belon helium, bertemu si witty Russell yang sangat nakal tapi naif, perjalanan penuh duga sambil mengarak rumah terapung, perkenalan dengan burung betina aneka warna yang diberi nama Kevin (Russell main tibai aje tak kenal jantan ke betina), bertembung dengan Dug si anjing berkolar-boleh-bicara, starstruck dengan Charles Muntz yang rupanya jadi antagonis cerita ini bersama gerombolan anjingnya diketuai Alpha, ada aksi berbalah, berebut, bertarik-tarik hingga akhirnya rumah yang diusung sana-sini terlepas dari pandangan.

lawak habis tang ni. "are you going to invite me in, Mr. Fredrickson?" "No."


ada masa-masa yang aku rasa watak Russell ni menjengkelkan. hihi.


rumah yang nak dibawa ke Paradise Falls, memenuhi impian Ellie yang ingin menghabiskan hayat berdua sama Carl di sana.

sambil naufal tersedak-sedak ketawa, aku pula yang terbawa emosi.

pengalaman pertama nonton filem versi 3D, memang menarik. beberapa kali membetul cermin merah-biru naufal yang melurut di hidung peseknya. =D

latar muziknya, nyaman. tidak terlalu. tapi manis. sesekali menggigit sayu.
jadi apahal yang aku mengada-ngada sangat nak mengalir air mata tengok cerita ni?

ini.
yang buat aku hiba. ya, cinta yang dipapar karekter berdua ini.

dari zaman lusuh comot kanak-kanak yang berfantasi hinggalah berkahwin. bayangkan hidup berumahtangga yang tidaklah semudah dan seindah yang kita semua angan-angankan. zaman berkasih semuanya molek.

kahwin, ada anak comel-comel, hidup tenang sampai akhir masa.

filem kartun ini sua aku realiti.

berkahwin, terus sama-sama berkerah membaik elok rumah kenangan zaman kanak-kanak. bergurau bermanja, berangan sambil memandang awan di langit. impian beranak kecil punah-ranah kerana Ellie tidak boleh mengandung. (aku dah start sebak masa ni, teringat pula pada fynn). jadi dengan kekurangan itu, hidup tetap diteruskan.

duit ditabung dengan harapan dapat melancong berdua ke Paradise Falls. tapi realiti hidup memanglah tidak mudah. asal tabungan penuh, ada saja dugaan dan bencana. langsung berlarut hinggalah suatu ketika di masa tiket penerbangan sudah di tangan, Ellie jatuh sakit dan meninggal dunia akhirnya.

mungkin agak lemau bunyinya, tapi aku jatuh kasihan dengan diriku sendiri.

tahun depan sudah jangkau 30, aku masih sendiri. tanpa dapat meletak noktah pada hidup bujang.

aktif di facebook baru-baru ini, aku disapa ria kakak-abang, sahabat dan adik-adik junior yang rata-ratanya sudah bahagia berkeluarga. paling tidak pun sudah berdua. saiz badan masing-masing pun boleh jadi bahan jenaka. gambar zaman sekolah dan kampus meleret dengan segala komen berbaur kenangan suka-duka. gambar anak-anak dibanding-banding menurun muka yang mama atau ayahnya.

indah saja.

aku yakin kisah Carl dan Ellie itu sudah mula ditempias pada kehidupan mereka, cuma bezanya sedikit atau banyak sahaja. Alhamdulillah bagi kategori pasangan muda di bawah hayat 5 tahun berumahtangga, semuanya masih cantik.

aku pandang pula mama abahku sendiri. masih kukuh pada tempoh hampir 30 tahun perkahwinan. sudah melepasi sambutan jubli perak pun. sebagai anak, sudah tentu aku terjebak juga melihat segala rencam kehidupan mereka. abah segak orangnya, kuat bekerja dan manis kata. pernah juga melihat mama abah diduga dengan orang ketiga. bertengkar itu biasa juga. bohong kalau kata tidak pernah ada.

tapi, kalaupun petang tadi bertempik marah, malam ini tidur sebantal juga.

mama orangnya tidak sihat mana. keguguran enam kali menjadikannya agak lemah dan mudah diserang segala macam penyakit perempuan. bila usia melewat 50 begini, lagilah timbul sengal lutut dan segala sendi. mulut mama bisa. aku dan yana selalu saja ada sebab untuk melawan katanya. kadang-kadang bila abah masuk campur, mama terasa hati. apakan daya di rumah ini anak abah semuanya.

tapi di akhir segala tingkah dan sengketa, mereka masih bersama. KAMI masih bersama.

kuncinya -- setia. menerima kekurangan dan kelebihan pasangan kita. memupuk sepenuh komitmen untuk terus bersama. tidak ada ungkit-mengungkit akan rupa yang semakin kendur atau perut yang semakin boroi, tahap kesihatan juga sudah tentu tidak seperti dulu. kalau diukur kekukuhan ekonomi, tahun 2009 ini hebat betul mama dan abah diuji.

bukan aku tidak pernah berpasangan. baru saja dua hari sudah aku dan adik-adik duduk semeja dengan bekas teman istimewa. minum-minum sambil berbual suka. dia sudah ada yang punya dan bahagia. kami adik-beradik cuma menumpang seronok ada abang yang sudah kenal lama dan menerima keluarga ini seadanya.

selain dia, ada juga yang lain. karma Tuhan yang belum sampai untuk aku berjodoh barangkali, jadi semuanya sudah lepas mendirikan rumah tangga dengan pasangan masing-masing.

memang sukar juga untuk mempunyai pasangan yang akan menerima kurang dan lebih kita apa adanya.

aku juga ada mimpi untuk jadi isteri dan mungkin ibu suatu hari nanti. pancaroba Carl dan Ellie itu aku hadam sangat. that's the Real world. bukan macam drama di tv yang tayang orang kaya turun-naik kereta mewah, bisnes besar-besar, berdendam dan berbunuhan. atau menangis berbesen-besen kerana segala macam sebab yang diolah supaya drama jadi menarik meloyakan.

aku cuma orang biasa-biasa. dengan impian biasa-biasa. bukan drama queen.
tapi aku suka dengar lagu Queen. heh off topic sat.

yang penting, UP tidak membenarkan kita mengalah dengan masalah yang melanda. hari esok sentiasa ada. hari esok sentiasa lebih baik dari hari ini. saat Carl membelek jurnal tinggalan Ellie, ditemuinya pesan akhir yang meminta Carl mencari kehidupannya sendiri. langsung saat itu Carl bangkit meneruskan kembaranya menyelamatkan Russell yang kelam-kabut di tengah bahaya.

pengajaran cerita itu dilambangkan dengan mudah melalui watak Carl yang separuh hatinya mati bersama Ellie -- kenangan, biarlah tinggal di semalam.

hidup mesti ada sikap optimistik.

aku pernah duduk di kerusi selesa bergaji tetap, tapi aku tidak tenang di situ. keluarga terabai, diri terlalai hilang punca. nyaris saja sudah berdaftar di unit mental dan psikiatri.

sekarang, dengan elaun kecil tak sampai separuh aku kecapi dulu, sekurang-kurangnya aku semakin kenal diriku sendiri. semakin sayangkan diriku sendiri. sambil perlahan-lahan memulakan semula seluruh hidup yang dicampak ke tepi selama hampir 4 tahun.

optimis, aku mesti optimis.

kalau tidak dirangkul kasih manusia, sekurangnya aku percaya Tuhanku tetap yang Maha Mengasihani.

gambar-gambar ehsan carian Google dan laman web Up the movie.

12 comments:

in.cek.syah said...

Akhirnya, tersentuh juga ye menonton animasi.

Kalau betul betul mahu merintih airmata, dijemput melihat anime anime berikut.

1. My Neighbour Totoro.
2. Gravestone of Fireflies.
3. 5 seconds of Every Love Story.
4. Only Yesterday.
5. Tokyo Godfathers.

yang pasti, no 1 & 2, wajib tonton. dan siap siapkan tissue.

selamat menonton.

y u z said...

inceksyah :

lama tak nampak ni? hehe.

saya pernah dengar tajuk 1, belum pernah dapat tengok.
yang lain, akan dikenalpasti segera.

terima kasih!

Abenawe MacNeil said...

salam'alaik...

hohoho nice said y u z....

dan aku taktau napa ak terpikir panjang lepas ak baca entri kamu ni..

terpikir mungkin kesudahan idupku mcm Carl...

tp apa2 pun idup mesti terus..yeah!

tak sia-sia aku linkkan blog kamu..

Encik Rasis said...

sebaik-baik perancangan manusia, rancangan ALLAH lah yang terbaik...

y u z said...

shafiQ :

Alhamdulillah jika ceritaceriti ini jadi manfaat untuk kamu.

memang benar yang hidup mesti diteruskan, dan sekali jatuh bukanlah gagal selamanya. itu sudah jadi pesan sejak di bangku sekolah.

dan iya, kamu juga akan dilink ke mari. terima kasih. =)

y u z said...

cikgu Rasis :

lama tidak bersapa kawan lama ini. encik aMan pun dah hilang ke mana.. =D

begitulah, kerana hidup ini benar-benar rahsia Tuhan. kalaupun takdir itu sudah tersurat, kita berhak mengubahnya dengan usaha.

saya dalam perjalanan yang baru. doakan, ya.

Encik Rasis said...

apa guna duit diperam,
jika hati tidak tenteram...

apa guna banyak duit,
jika hati kita sakit...

semoga dengan perjalanan yang baru ini, akan bertemu dengan ketenangan hati yang dicari...

semoga berjaya sahabat...

y u z said...

cikgu Rasis :

kalau sudah cikgu, sepanjang masa menabur pesan dan ilmu.

terima kasih, cikgu.

cik dila said...

salam,kak yusz...
betul2...UP sggh sweet,sgt menyentuh perasaan dan....(taktau nk ckp mcm mana..)

ayobkelubi said...

yus

jgn bimbang tentang jodoh dik..kerana itu semua telah dijanjikan. yang penting kau sihat,gembira dan mampu untuk bangun dengan kuat bila jatuh.

yang berkahwin tu,kalau dilihat padfa status facebook pun kadang2 ada yang mendung. :D

aku tak dpt nak nengok UP. kelas hari minggu bertimpa2 sbb nak cover macam nak raya esok saja. damn!

y u z said...

dila :

tulah, masa mula dah berkaca je mata tu segan laa jugak ingat kita je yang mengada nak sebak segala, sekali family mat saleh kat belakang pun tersedu-sedu.

uwaaa!

y u z said...

incik ayob :

kalau berkisah hal jodoh ni, sebenarnya tak kisah sangat. tapi kadang-kadang tu terjentik jugak -- "haiii apa nak jadi aku ni".

tapi saya ok, bro. steady. hahah.

pegilaa tengok UP, bawak orang rumah dan anak-anak. dijamin tak ralat dengan tiket yang seganda lagi mahal dari harga biasa (extra sebab versi 3D).

harap sangat Malaysia pun akan ada filem yang simple tapi mesejnya kuat sebegini. hmm.