Thursday, December 09, 2010

manusia sempurna. (versi edit semula)

sempurna.

dalam erti kata sempurna. serba ada dan serba berdaya. serba lengkap tanpa cacat dan kurang. serba wangi dan serba indah. serba manis lagi serba mewah.

ayuh perihalkan semua ini dengan manusiawi.

bagaimana mungkin, bukan. sedang sisi kiri dan kanan tubuhmu sudah tidak sama simetri -- perasan, tidak?

iya, mata kiri dan kanan tidak sama besar. sepanjang tangan kanan dan kiri tidak sama sepadan saiz dan lekuk. begitu juga kaki dan semua alun tubuh yang siap berbentuk.

tapi tetap juga, kerana ia serba wujud jadi kita tersifat sebagai sempurna. terlengkap akal untuk kuasa fikir yang hebat dan tidak tersanggahkan. dicantikkan dengan hati nurani yang wujud ihsan.

tapi berapa ramai mahu guna bijaksana si akal?

berapa ramai TAHU guna kewarasan yang asalnya tidak dangkal?

dan lagi, berapa ramai yang pandai letak ihsan pada tempat dan kadar wajar?

di sinilah persoalan terencana, apa benar sempurna itu mustahil wujud dan ada?
atau kita yang sengaja memberi cela pada cantik baik yang Dia telah beri, menghilangkan sempurnanya segala sifat tadi? kenapa payah benar terpahat di sanubari yang kita sudah teramanah memegang panji sang khalifah?

apa, kufur nikmatkah kita?

bagaimana pula kalau nanti semua yang indah dan sempurna ini bakal direnggut malang atau masa? mampukah kita redha?

bila mata bulat bersinar tiba-tiba hilang cahayanya?

atau, kaki yang setiap hari melangkah laju ke segala destinasi ini, tiba-tiba disapan kenderaan di jalanraya yang tak ada simpati pada masa?

atau tanpa terjangka galak ketawa yang terhilai merata-rata langsung tiba-tiba jadi sunyi.

sekali lagi aku tanya -- mampukah kita redha?
atau nanti sibuk menuding jari menyalahkan keadaan dan orang lain semata?

sedangkan sebelum itu, semua sempurna yang sudah termilik tidak juga kita guna untuk memberi bakti yang sehabis daya pada sesama manusia, apatah lagi terkadang yang lima minit untuk lima waktu sehari dengan niat syukur terima kasih atas anugerahNya pun kita bikin sambil lewa.

mencoret semua ini dan dek rumusan aku memerhati.

terkilan memandang keletah anak muda yang suka biar jiwanya leka dengan dunia.

aku sekadar berpesan, langsung pula ia lahir dari tanggungjawab dan sayang yang melangit, tapi kalau dibalas jeling dan juih tak suka -- jadi apalah daya.

sekurangnya, aku telah cuba memelihara sempurnamu.

aku telah cuba.

aku sendiri sedang mengais sisa dari sempurna yang ada. membaik pulih dari kekalahan lalu. masih lagi. setiap hari.

apa perlukah sampai kau lalui kehancuran aku?

Friday, December 03, 2010

berikan sayangMu untuk aku.

dulu aku juga manusia tipikal seperti lainnya, merasa yang sayang itu cuma datang dari sesama manusia. bila tidak dipunya, mengeluh kalah. terkadang jaki lihat ada yang berpasang-pasangan sambil si tanduk merah menusuk hasut -- "Apahal kau, tak laku sangat ke?"

oh, itu dulu.

tapi kan selalunya aku berikrar -- setiap hari mesti jadi lebih baik dari semalam.

ikrar ini boleh saja jadi retorik semata, tuan-tuan dan puan-puan. tapi terpulanglah, kalau kau harapkan dunia yang mengubah semua jadi lebih baik maka tak perlu menuding salah orang yang kau rasa menghunjam kudrat sehari-hari!

haih, tapi sekarang -- iya tepatnya sejak dua bulan sudah dan berlarut semakin baik buat aku kian sedar -- semua sayang yang aku cari itu, telah selalu wujud untuk aku.

telah terzahir dari sekalian di sekeliling aku.
telah terbatin, hey aku masih bernyawa hingga ini -- saat ini!

Maha Suci Tuhan, Kau selalu Maha Pengasih.

Maha Pemberi. Maha Pengampun.

hebat bukan? sedang kita sesama manusia juga kerapnya telunjuk lurus kelingking berkait. (nahhh jangan bohong, tentu ada juga sedetik. Dia tahu isi hatimu walau terhasrat sebesar biji sawi!)

dari zaman dicaci-maki sebagai pengkhianat makan gaji tak reti diuntung, hidup bergelandangan bersepahan, mengasing diri dari keluarga dan 'kawan-kawan', bertimbunan hutang (yang masih berdikit-dikit aku usaha selesaikan), makan pakai seada dapat, semuanya ehsan orang semata yang aku harapkan.

semuanya bersandarkan orang.
dan si mamat yang aku sayang dan letak setia tanpa peduli itu. hai. bodoh betul. (aku laa!) kan dah kena lagi.

nah, sekarang aku tidak endah semua sudahnya.
apa lagi bentuk sayang yang aku cari?

kerana semuanya, jisim hidup ini sedang melengkapi -- kepingan-kepingan coklat manis yang tercair jadi satu blok padu, ditambah kekacang dan kismis.

begitu indahnya kehidupan bila kita mampu sedar semua ini.

di sebalik sapaan mesra anak-anak kesayangan dan sahabat-sahabat dikasihi pada setiap pagi, tengahari, petang dan malam, tak seharusnya aku lupa -- Jangan Lupa!

pada Dia Yang tak berhenti isi paru-paru aku dengan udara.
pada Dia Yang tak berhenti isi segenap urat darah dengan si merah saga.
pada Dia Yang tak berhenti isi akal aku dengan bijaksana.
pada Dia Yang tak berhenti isi hati aku dengan rasa sayang yang kaya --

supaya,

aku tak berhenti isi jiwa anak-anak dengan ilmu dan budi bahasa.
aku tak berhenti isi akal anak-anak dengan bijaksana yang sama.

ini kudrat yang Dia beri dari sayangNya setiap hari, supaya aku beri pada semua yang aku sayang di sekeliling aku.

sudahi dengan apa lagi? Syukur Alhamdulillah-lah! =D



menjemput anda semua juga, berikan sayang anda untuk anak-anak di
KL Krash Pad. mereka tak pernah lokek memberi sayang untuk semua yang mahu menyayangi mereka.

silakan?

Wednesday, November 24, 2010

menarilah dan terus tertawa.

ada benda yang semua boleh nampak tapi tak upaya meletak pengertian yang sama.
tentang rasa.
tentang kosong jiwa.

yang amat sangat.

.......

malang sekali aku sedang membohong diri sendiri.

Saturday, November 06, 2010

bahagia.

bekerja 7 hari seminggu.
di pejabat lebih 12 jam.
setiap jam adalah waktu krisis.

5 waktu setiap hari adalah waktu rehat.

anak-anak remaja dengan pelbagai kerenah.
patah nasihat barangkali disanggah, jarang diterima dengan mudah.

beza pendapat dan tegang urat sesama rakan pejabat,
biasanya di hujung hari, ah remeh amat.

bahagia tertusuk dalam jiwa,
melihat di akhirnya --

semua melengkap setiap hasrat,
jerih hilang berganti semangat.

seminggu di awal November yang sangat padat, sangat sangat padat.
tapi inilah rasa bahagia.

ini lebih indah dari kononnya dicinta dan dipunya, tapi akhirnya cakap kosong putar alam semata.
(marah sudah berganti jijik. apa boleh buat, aku belum upaya merela maaf. mungkin berlaga ego dengan si bangsat itu. ops. ya aku bukan malaikat. hati aku tidak kuat. Astaghfirullah. Astaghfirullah.)

oh oh oh,
aku sudah jumpa bahagia aku.
sekarang mesti selalu gagah jiwa, mesti tahan diasak tohmah kiri dan kanan.
jaga kesihatan, jaga diri sendiri.

itu saja.

Sunday, October 31, 2010

akhirnya apa yang tinggal?

seminggu dua ini aku penuh emosi. senang marah, senang menangis, senang hiba.
juga senang ketawa.

marah kerana terlalu kecewa.
menangis kerana terlalu hampa.
hiba kerana terlalu bingung hilang punca.

tapi yang anehnya, aku mudah ketawa kerana dalam haru-biru ini, sesekali ada manis yang buat aku senang hati.

terutama sekali, kalau jumpa si budak bulat ini.


aku mahu berjalan pergi.

esok sudah November. kalau aku masih update blog dengan emo yang pelik-pelik selepas ini, sila tinggalkan pesanan penaja dengan ayat paling celaka supaya aku boleh tampar muka dan kata --

"Oi, umur dah masuk 30 bulan 12 ni. bawak-bawak pikir cerdik sikit."

perkara yang paling susah dalam hidup ialah untuk memulakan sesuatu!

Saturday, October 30, 2010

terlalu ramai yang suka menipu.

hah. aku penat sungguh dipermain.
sungguh aku penat.

kalau bisa aku lemparkan segala surat cinta dan hempas di muka segala manis yang kau pernah kata, akan timbulkah sesal?

barangkali tidak.
barangkali tidak.

justeru aku cuma mampu memandang setiap bohong yang sudah lama kau rencana itu, sedang tertayang kepada aku setiap satunya.

benarnya aku sangat jijik.

dan terlalu sakit untuk merelakan maaf dari hati.

tapi kau memang tak mungkin akan mengerti.

Friday, October 15, 2010

pergilah.

sila endahkan segala penulisan sebelum ini.

kiranya cuma aku yang berusaha untuk mengasihi sehebat rasa.

putaran dunia semakin pantas dan kian kurang masa untuk aku tunggu dan hiraukan kamu lagi.

perempuan semakin kejam sesama perempuan, dan lelaki mudah lupa.

MELAYU MEMANG MUDAH LUPA -- kamu juga yang kata, bukan?

di waktu kebaikan dan luhur budi tak mudah lagi ditemui, kamu orang terakhir yang aku jangka akan hilang kewarasan dan lupa diri.

sungguh menjengkelkan.

senang lupa yang kehebatan kini bukan tercipta sejak setahun setengah yang lalu.
senang lupa yang kamu lebih tidak layak untuk berada di situ.

kerana status yang dikatakan cuma aku dan kamu yang tahu, mudah-mudah juga semua bicara manis dinyahkan sepi. langsung mengangkat diri, lagak bongkak dibiar berkuasa.

oh, mereka cuma nampak kamu yang kini tinggi menongkat langit. mereka puji-puja kamu sampai terlayang sesat cara. hey, apa tidak malu pula menayang hasil kerja yang sebenarnya ihsan orang lain?

hah, jangan tuduh aku yang kononnya tak upaya mengamal profesionalisme bekerja. betapa bangsatkah sikap bila kamu terajang aku pergi kerana orang lain tapi masih mengharap setiap pulang ke tempat asal ini untuk kita masih dapat bekerjasama. melampau!

langsung malam itu kamu nyatakan -- pergilah.

air mata aku terus kering dek sakit hati. jangan harap aku tangisi orang yang tidak mengenang budi.

Friday, October 08, 2010

kisah si kasut lama

"si kasut lama, berganti pakai si kasut baru,
tidak dibuang disimpan rapi,
sampai masa dikeluarkan semula dibersih elok -- kerana ianya lebih selesa dan serasi."

kawan kesayangan pernah kisahkan aku akan perumpamaan ini.

katanya --

walau rakan baru bersilih-ganti datang dan pergi, tetap juga rakan lama dalam kenangan. bila lama diamnya, nanti dicari semula. bila terlonta dalam payah tak ketemu tujuan dan persefahaman dengan yang di sekeliling -- nah, tetap kembali pada sang teman yang sudah lama berbekas jejak di hati.

seumpama si kasut lama di dalam almari.




*saya sedang rindu kamu. =)

Wednesday, September 29, 2010

mencari tidur yang lebih tenang.

sudah hampir dua bulan dan masih tertatih-tatih memahami rentak di tempat kerja. semakin hari semakin mencabar.

semakin buat tidurku kembali tidak lena.

lena yang kalau dapat pun, selang sejam dua akan terkebil-kebil memandang timbun baju yang meneman tidur di atas katil.
(nota : saya gayat tidur seorang.)
(nota lagi : saya masih tidur seorang.)
(nota lagi dan lagi : sampai bila mahu tidur seorang? jeng-jeng-jeng.)


tidak, aku tidak mahu mengeluh. cuma aduhai kecamuk dengan pelbagai kerenah menguruskan manusia yang tentu-tentu Tuhan sudah beri akal.

iya, mereka tidak ada masalah menggunakannya. tapi lebih banyak yang salahguna dari pandaicara. jadi, untuk menganjak dari suatu kebiasaan bukan hal yang mudah.

tapi ia cabaran yang seronok, dan ganjarannya bukan pada ukur bayaran gaji yang besar atau kecil.

pahala. InsyaALLAH.

oh sambil menaip ini terpandang kelibat tuan muda dari metropolis San Francisco di maya YM. lama kita tidak bicara secara bijaksana, tapi sayang aku tak berani mahu menyapa.

nanti langsung! waktu tidur yang didamba lupus dalam leka berlawan hujah.

aku tunggu kamu pulang saja, sahabat! ;)

buat yang terakhir sebelum memejam mata, aku cuba cari damai dari pemilik suara yang jauh di mata.

......

aduh, sama hancur! resam pencari ilmu yang sedang bermatian mengejar tarikh akhir dan hari perbentangan.

selamat malamlah kamu, sayang. sekurangnya aku jumpa sebab untuk tersenyum selepas hari yang cukup tunggang-langgang. =)

.......

jadi bagaimana ini?

(tepuk-tepuk bantal)
Hai Malaikat penjagaku kiri dan kanan, semoga mudah bangun tidurku selang beberapa jam yang bakal datang.

Bismikallaah humma ahyaa wa amuu tu.
Dengan namaMu jua Ya Allah, aku hidup dan aku mati.

tenanglah aku, mudahlah pejamku.

selamat!

Sunday, September 26, 2010

bila kau jatuh cinta dan ia buat kau sakit jiwa

oh aku pernah berperi tentang belahan hati yang satu ini, bagaimana dia mengisi remuk jiwa aku yang ditinggal mati hampir empat tahun yang telah pergi.

cinta main-main dan suka-suka yang akhirnya, pada hari ini asal pantang dia diam sunyi tentu saja aku mencuit supaya setidaknya, aku dengar juga suaranya menyambut rinduku dari hujung corong telefon sana.

lumrah bila berjauhan dan hasutan naluri itu tak pandai berdiam, setiap hari, setiap minit dan setiap saat.

rindu itu sakit bila merasa terlalu ramai yang sedang cuba menghimpit dan mahu cuba juga mencubit hatinya yang sudah tinggal sedikit untuk aku. sudah tinggal sedikit setelah dikongsi bahagi sama ayah mama, adik-beradik, pakcik makcik dan sepupu-sepupu, belum lagi dengan sahabat-sahabat dan kawan-kawan.

kuatlah aku, kuatlah.

hai api cemburu, padamlah.

peganglah pada katanya, wahai diri. kasihan dia memujuk rajuk aku semata tergoyah dek khabar nakal di angin lalu. yakinlah juga pada janjiNya yang langsung tak putus Mengasihani.

barangkali aku yang tak pandai mensyukuri pada apa yang memadai? kenapa aku terlalu gentar pada dulu yang menghantui?

ini cinta yang buat aku derita, manisnya cuma terjumpa bila dia di depan mata.

sungguh aku juga sesekali cuma si tipikal yang mahu merasa ada yang punya.

dan itulah perkara yang sedihnya, kerana dalam tiap yang indah tetap jua ada hodoh menjelma. inilah hakikat walau kelat dan tak sekali ingin kau ingat!

Monday, May 24, 2010

mengada-ngada benda yang tak ada.

ini aishah. dia mengada-ngada.
biasalah masa kita baya dia pun kita semua mengada juga. tak ngaku pulak. =P


aku memilih isnin untuk berehat sambil menyerap tenaga semua orang lain yang sedang sibuk bekerja. sebabnya, aku akan ada masa untuk mengemaskini segala tugas dalam mode santai tetapi lebih cergas. hey, it's monday kan? i hate the blues. heheh.

buku hitam ini juga sudah dielokkan serba sedikit susunnya. mana yang tidak perlu aku nyah ke tepi. mana yang terkini untuk aku letak jadi mari ke mari.

tak pasal-pasal juga, aku tersesat di tumblr. oh, sungguh cari penyakit. blog ini sendiri hidupnya segan-segan, lagi menambah sebab untuk menghafal password baru.

tapi kerana rupa parasnya yang agak kool, dan aku suka cara postingnya yang tak banyak kerenah seperti di blogger ini, jadi bolehlah. aku cuba.

satu benda baru pada setiap hari yang baru. saya suka!

Sunday, May 16, 2010

hari guru aku. versi 2010.

setahun yang lalu aku telah menulis ini -- hari guru aku. versi 2009.

betapa dalam selang setahun itu, terlalu banyak yang berubah. terlalu.

aku sudah sah bebas dari tajuk "cikgu" di sekolah lama, secara rasmi dan berhitam putih. tidak lagi tergantung tidak bertali seperti setahun yang sudah. terlonta tanpa kepastian.

kepada yang bersama aku di facebook, sudah tentu tahu tunggang-langgang hidup yang aku redah tanpa henti dan tanpa peduli. semuanya aku langgar dengan redha dan percaya yang diri ini sebenarnya cukup dikasihi Ilahi.

walaupun sesekali sangat pedih dan mencedera hati.

hari ini sambil santai mencari ilham memula tugasan, lagu-lagu m.nasir melontar aku ke kenangan dan semua yang telah pernah melintas dalam hidup.

sama ada dia telah secara rasminya menjadi guruku, atau sekalian teman dan lawan yang mencipta pedoman supaya pengalaman itu menjadi guru pada kehidupan yang terus datang tanpa halangan.

sebegitu besar hikmah kehidupan untuk kita pandang dan jadikan panduan. cuma cukup celikkah mata hati untuk tidak terus dibuta duniawi?

pada hari guru tahun ini, hadiah terindah apabila masih ada bekas anak murid yang menghargai.

pada hari guru tahun ini, paling manis bila masih sudi disanjung julang dengan gelar "cikgu" walaupun tidak seperti dulu segak dan kemas berbaju kurung bertumit tinggi dua inci.

lazim aku kongsikan dulu, "selagi namanya cikgu, sampai mati dipanggil cikgu. betapa nanti tiba waktu si cikgu kembali ke Rahmatullah, tetap orang menyebut -- nak pergi menziarah kubur CIKGU."

*terharu*

semoga jangan lupa pada ikrar dan amanah yang ditauliah kepada sekalian kita supaya anak-anak bangsa terdidik dan boleh dibangga.

Selamatlah Berhari Guru.

Saturday, April 10, 2010

yang paling manis.


sang kesayangan yang sudah hampir 4 tahun ada dalam hati.

dia selalu ada, masih ada di situ walau dunianya selalu cuba menarik dia pergi dari aku. bukan tidak pernah kisah kami terbengkalai di tengah jalan tapi barangkali kerana setiap kali menoleh kekosongan di sisi maka yang muncul tetap dia.

dia yang terbaik. sahabat terhebat.
yang telah berdiri megah di waktu aku gagah.
yang telah merunduk sayu di waktu aku lemah.

dan di waktu aku terkais hendak berdiri kembali, dia inspirasi supaya aku kuatkan diri.

benar tidak ramai yang akan mengerti mengapa aku dan dia wujud untuk saling melengkapi.
barangkali kerana cuma aku dan dia yang lebih tulus menyelami rasa hati sendiri.

aku bukan pandang rupa.
aku bukan pandang harta.
aku bukan pandang dia itu siapa, hebat mana lagaknya.

untuk seorang manusia yang penuh komplikasi seperti aku, memadai jika ada yang dapat meminjam pemahamannya kepada fitrah kehidupan yang aku lalui.

jangan kau sangka senyum senang dan lincah laku yang kau suka ini adalah segala-galanya. sebab duniaku berlapis-lapis payah dan leceh yang kau tak jangka.

pengenalan mudah -- kau khatamkan blog hitamku ini. kemudian pandang semula aku yang tersenyum senang dan lincah laku tadi.

adakah aku manusia sama yang kau suka awal tadi?

baik. kalau kau rasa masih tega, mari berkenalan lagi.

sampai satu peringkat, aku tahu kau akan benci dan nanti pergi. aku sudah lali. jadi sebelum itu terjadi, mari kekal bersahabat-handai, lebih manis bukan?

kesayangan aku, masih jauh jalan hidupnya. aku juga perlu masa untuk menjamin hidupku sendiri. jadi soal nikah kahwin, tidak akan masuk buku dalam tempoh 4-5 tahun ini.

untuk 2010 yang sudah melewat april ini, aku cuma mahu kembali bekerja. aku mahu kembali merasai curahan adrenalin pada setiap kerja kreatif yang aku usahakan. aku mahu usai mei sudah ada kepastian tentang kedudukan isi poket aku di hujung tahun nanti.

entah kenapa aku menulis ehwal sang kesayangan hari ini.
entah.

hati yang sunyi sangat, barangkali. meskipun riuh-rendah setiap hari yang aku redah kini. haih.

maka ini akan jadi kali pertama dan terakhir aku kisahkan tentang dia. cukup dulu.

Thursday, April 08, 2010

no goodbye's.


rakan datang dan pergi.

rakan di sisi dan mengisi sepi.
rakan ketawa dan kita ria.
rakan bercerita dan kita pendengar setia.
rakan bersendu dan kita sayu.
rakan berhikmah dan kita muhasabah.
rakan mengucap selamat dan kita sambut hormat.

rakan yang bakal pergi.

nanti, akan kembali.


be well, firdaus.

Tuesday, April 06, 2010

never give up on the good times.

will be writing again, soon.

hello world. i've been away for so long!