Thursday, December 09, 2010

manusia sempurna. (versi edit semula)

sempurna.

dalam erti kata sempurna. serba ada dan serba berdaya. serba lengkap tanpa cacat dan kurang. serba wangi dan serba indah. serba manis lagi serba mewah.

ayuh perihalkan semua ini dengan manusiawi.

bagaimana mungkin, bukan. sedang sisi kiri dan kanan tubuhmu sudah tidak sama simetri -- perasan, tidak?

iya, mata kiri dan kanan tidak sama besar. sepanjang tangan kanan dan kiri tidak sama sepadan saiz dan lekuk. begitu juga kaki dan semua alun tubuh yang siap berbentuk.

tapi tetap juga, kerana ia serba wujud jadi kita tersifat sebagai sempurna. terlengkap akal untuk kuasa fikir yang hebat dan tidak tersanggahkan. dicantikkan dengan hati nurani yang wujud ihsan.

tapi berapa ramai mahu guna bijaksana si akal?

berapa ramai TAHU guna kewarasan yang asalnya tidak dangkal?

dan lagi, berapa ramai yang pandai letak ihsan pada tempat dan kadar wajar?

di sinilah persoalan terencana, apa benar sempurna itu mustahil wujud dan ada?
atau kita yang sengaja memberi cela pada cantik baik yang Dia telah beri, menghilangkan sempurnanya segala sifat tadi? kenapa payah benar terpahat di sanubari yang kita sudah teramanah memegang panji sang khalifah?

apa, kufur nikmatkah kita?

bagaimana pula kalau nanti semua yang indah dan sempurna ini bakal direnggut malang atau masa? mampukah kita redha?

bila mata bulat bersinar tiba-tiba hilang cahayanya?

atau, kaki yang setiap hari melangkah laju ke segala destinasi ini, tiba-tiba disapan kenderaan di jalanraya yang tak ada simpati pada masa?

atau tanpa terjangka galak ketawa yang terhilai merata-rata langsung tiba-tiba jadi sunyi.

sekali lagi aku tanya -- mampukah kita redha?
atau nanti sibuk menuding jari menyalahkan keadaan dan orang lain semata?

sedangkan sebelum itu, semua sempurna yang sudah termilik tidak juga kita guna untuk memberi bakti yang sehabis daya pada sesama manusia, apatah lagi terkadang yang lima minit untuk lima waktu sehari dengan niat syukur terima kasih atas anugerahNya pun kita bikin sambil lewa.

mencoret semua ini dan dek rumusan aku memerhati.

terkilan memandang keletah anak muda yang suka biar jiwanya leka dengan dunia.

aku sekadar berpesan, langsung pula ia lahir dari tanggungjawab dan sayang yang melangit, tapi kalau dibalas jeling dan juih tak suka -- jadi apalah daya.

sekurangnya, aku telah cuba memelihara sempurnamu.

aku telah cuba.

aku sendiri sedang mengais sisa dari sempurna yang ada. membaik pulih dari kekalahan lalu. masih lagi. setiap hari.

apa perlukah sampai kau lalui kehancuran aku?

No comments: