Wednesday, July 06, 2011

mobil kehidupan dengan transmisi manual. ayuh jalan!

ini dunia yang padat dengan sebab untuk terus jadi manusia mencari hakiki. takdir cuma suatu destinasi yang telah ditetapkan arahnya.

tapi kan selalu kita sudah tahu, hidup ini tertakluk pada kita yang memandu.

terngiang sembang dengan anak muda jalanan itu. betapa dia bersunguh-sungguh mahu mengubah persepsi manusia terhadap yang senasib dia. langsung aku terfikir, barangkali kita yang terlalu mudah menjadi pesimis terhadap sesuatu yang sudah lumrah. menilai manusia pada dia yang terepresentasi, bukan pada susur-galur yang menjebak dia ke situ.

aku faham, semua orang berhak ada rasa berhati-hati. itu wajar. terlalu mudah percaya kan memangsa diri sendiri. tapi jangan lupa, sebenarnya intuisi selalu beri isyarat kurang senang yang di luar sedarmu sendiri.

untuk seorang anak muda yang sudah bertahun-tahun di jalanan, menghadapi hidup yang di luar jangka kita semua, selain pernah terjebak dengan dadah -- memandu kehidupan kepada kebenaran barangkali perkara paling sukar bila dia berdepan tanggapan tipikal semua orang.

"boleh ke dia ni, hilang pulak duit aku nanti."
"tu mata merah-merah tu, mesti menghisap balik."

orang yang berpuluh tahun diiktiraf bersih dari dadah pun masih seksa melawan ketagih, inikan remaja yang lebih rapuh nalurinya.

aku tak mahu berhenti dari terus selalu ada untuk mendengar isi hatinya. aku bukan yang terbik untuk menyelamatkan dia dari celah kehidupan itu, tapi setidaknya lebih baik dari langsung dia tidak merasa dikenang sesiapa.

semua kita didatangkan ke dunia sebagai kain putih yang bersih. kadang-kadang bila kain putih itu terdebu dan tercarik, kita jadi sayu dan malu. apatah lagi bila sudah terpalit cemar yang bukan sedikit.

tapi, kainnya masih boleh dicuci. yang carik masih boleh dijahit baiki.

aku lirik matanya yang masih menyinar cahaya. sisa naif itu masih ada. aku yakin, aku doakannya. dia masih boleh kembali. dia masih boleh ditegakkan berdiri.

selama ini dia mungkin tersasar di pemanduan. isyarat kuning dan merah tak diberi perhatian. kita semua yang dewasa, pernah saja ditemukan momen-momen gila sedemikian.

cuma sedikit nasib baik, kita selalu ditemani dari awal memandu. tidak pula bagi dia.

jadi tidak salah aku kira, berbekal mobil hidupnya yang sedia ada -- biarlah buruk dan menolak gear manual juga seksa -- tapi mobil itu tetap akan bergerak. dari perlahan akan maju ke hadapan.

sabarlah dik.

sabar.

hidup ini kemenangan yang ditunda-tunda.

No comments: