Thursday, December 18, 2008

anaknya p.ramlee.

lewat semalam usai latihan, sms dari abah jam 9.25 pm :
"Ada dapat berita Nasir P. Ramlee meninggal petang tadi?"

terdiam.

sekilas aku teringatkan zakaria dan zaidee.

spontan dan wajarnya dibalas aku dengan ucap panjang - "Innalillahiwainnailahirojiun..."

sejurus itu, sms balas dari abah jam 9.34 pm :
"Kirim takziah ke anak dia jika contact..."

dan sepanjang perjalanan pulang aku terngiang bual zakaria dan aku di studio seni sekolah - "saya sedih tak mampu jadi sehebat atuk saya, cikgu."

dan berita jam 8 di tv1 tadi, aku lihat dia antara yang mengurus jenazah ayahandanya ke liang lahat. Alhamdulillah dikhabarkan dia ada di sisi semasa ayahnya menghembuskan nafas terakhir.

Allahyarham nasir p. ramlee, boleh disifatkan sangat karib dengan institusi sekolah aku. kelibatnya kerap ditemui di kawasan bilik disiplin, kebetulan bersebelahan dengan studio pendidikan seni yang dihuni aku. lazimnya berbaju melayu johor lengkap samping. sesuai tugasnya sebagai pengarah muzik di Istana Budaya yang berjiran pagar dengan sekolah.

dan anaknya zakaria nasir, selain merupakan pelajar aku juga kerap singgah menjenguk aku sambil berkongsi pelbagai perihal diri dan keluarganya.

seingat aku, dia tidak senang disebut-sebut sebagai cucu p. ramlee. malah kerap naik berang kerana ada guru di sekolah lamanya memperolok-olokkan keturunannya.

benar, kalau dilihat pada raut wajah dan gaya mereka dua beradik, tidak terbayang air muka sang seniman agung. tetapi kerinting rambutnya, mengimbas p. ramlee semasa kegemilangan filem-filem bujang lapuk.

pernah aku tanyakan, apa rasanya menjadi cucu p. ramlee?
apa kelebihan p. ramlee yang mungkin kamu warisi?
bilangnya,

"biasa saja cikgu. cuma sesekali di majlis-majlis tribute untuk p.ramlee baru saya rasa - oh, aku ini cucu manusia yang sangat hebat. dan ya, kalau pun ada saya cuma boleh main dram, itu saja."

"pernah di ruang tamu rumah, saya ternampak jelmaan arwah atuk memandang tepat pada saya. serammmm, cikgu!"

"ada sekali itu, saya pakai tarbus tinggi arwah atuk yang dalam cerita tiga abdul tu, dan tengok cermin -- wah, baru nampak macam muka dia."

dan yang paling selalu dikesalinya --

"saya sedih, saya tak mampu jadi sehebat p. ramlee."

tidak lama selepas itu, nasir p. ramlee menulis buku "bapaku p. ramlee". dan selang hari-hari berikutnya zakaria bergegas-gegas menemui aku sebaik loceng akhir sekolah berbunyi. tangannya bingkas mencari-cari dari celah beg sandang, dan dihulur bungkus plastik putih -
"ini, ayah bagi pada cikgu".

selepas itu, kelibatnya tidak lagi kelihatan di sekolah. khabar dari guru kelas, zakaria ponteng. berlarut-larutan. dan beberapa minggu selepas itu, aku nampak nasir p. ramlee di luar bilik disiplin.

dan zakaria pun berhenti sekolah di akhir tingkatan empat.

sedang sibuk-sibuk aku di deret bas sekolah selesai latihan persembahan hari kemerdekaan tahun ini, aku dilaung - "cikgu!", dan tanganku disambutnya seraya dicium hormat. dia masih anak yang manis, cuma dia memilih menyelia hidupnya dengan gerak hati sendiri. sedang rakan-rakan bergelumang dengan SPM, dia sibuk bekerja, walau di myspace dia mengkhabar akan kembali bersekolah tahun hadapan.

hari ini, aku jenguk myspace dengan harapan tipis yang dia akan bertalian.

...............


"saya sedih, saya tak mampu jadi sehebat p. ramlee."

benarlah, lagenda cuma wujud satu dalam sejuta. cuma ada satu p. ramlee. tetapi harapan dari semua orang untuk melihat seorang lagi p. ramlee dari salasilahnya cuma menjadi tekanan. dan pengalaman peribadi aku menangani cucu-cucunya, sangat menginsafkan. mereka tetap remaja yang perlukan perhatian ayah bonda, mudah kalah dengan hedonisma dunia, enggan dihakimi sewenangnya dari parut toreh dan calar di raut wajah yang muram kasar dan sifat nakal berontak seorang anak lelaki yang bisa bertumbuk kerana gurau sinis dan cemuh orang -- kerana yang mereka mahu semoga ada yang memahami mereka cuma insan biasa.

tidak mungkin jadi nasir p. ramlee.

jauh sekali, bukan p. ramlee.



lewat tulisan ini, aku sedikit sebal kerana biar sekerap mana aku terlintas kelibatnya nasir p. ramlee di luar bilik disiplin, atau di meja kafe Istana Budaya -- lafaz "terima kasih untuk buku pemberian encik nasir" tidak pernah terucapkan.

terasa terhutang sungguh. dan hati ini disayat hiba yang sukar dibicarakan.


"terima kasih untuk buku pemberian encik nasir".
dan al-Fatihah.


"In the name of Allah, the Owner and Giver of Mercy;
Allah is praised, the Lord of all Worlds,
The Owner and Giver of Mercy,
The King of the Day of Repayment,
We serve only You and ask only You for help,
Guide us the straight path,
The path of those You have favoured,
Not of those deserving anger,
Nor of those who lose their way."


Semoga tempatnya bersama mereka yang beriman dan berbahagialah dikalangan mukmin yang dikasihiNya.

"Hapuslah air matamu, saudaraku, dan tegakkanlah kepalamu seperti bunga-bunga menyemai jari-jemarinya menyambut mahkota fajar pagi.
Lihatlah Kematian berdiri bagai kolom-kolom cahaya antara ranjangku dengan jarak infiniti;
Tahanlah nafasmu dan dengarkan kibaran kepak sayap-sayapnya.
Dekatilah aku, dan ucapkanlah selamat tinggal buatku."


Kematian telah mengucupnya dan mereka yang terdahulu, masih panjangkah masa kita, sahabat-sahabat?

Friday, December 05, 2008

akhirnya. hidup kembali sunyi. sepi. krik krik krikkk~~



akhirnya semua dah selesai.

semalam secara rasminya peperiksaan SPM seluruh Malaysia tamat.

dan secara tradisi yang digunapakai lepasan-lepasan peperiksaan SPM ini, baju sekolah menjadi mangsa untuk koleksi autograf.

yang di atas ini, tertera contengan aku pada baju ayie. 'will miss u' itu benar-benar ikhlas, bukan sekadar mengisi ruang semata. kenapa?

ikhlasnya, sejak tamat sekolah pada 1997 dulu aku tak lagi punya teman rapat. di universiti, maktab -- semuanya sekadar melintas untuk mengisi keriuhan yang cuma sementara. aku juga sangat faham, masa memisahkan kami semua. hidup memang terus, dan kebanyakannya telah berumahtangga.

berumahtangga?

aku dan jatuh bangun hidupku tak mengizinkan untuk komited sebegitu. jadi, kerana aku cikgu, 3/4 hidupku seharian dipenuhi dengan kecoh-riuh anak-anak ini. tidak mengeluh, sebaliknya aku suka. biasanya ke lewat malam berbual mungkin di myspace, ym atau sms. belum kira dengan sesi perkhemahan atau aktiviti-aktiviti lain yang kalau tidak diarahkan pentadbir pun, aku yang tawar diri ikut sama.

sebab kalau tidak, aku rasa hidup jadi lebih tepu. buat apa menyorok diri di sekolah dengan berdalih-dalih semata enggan serabut dengan kecoh budak-budak?

paling tidak, merasa juga berjalan dan bercuti secara percuma. heh, siapa saja dalam dunia dapat ke Pulau Redang tanpa keluar sesen pun? siap terjun tiruk snorkeling segala, sampai nak pengsan seharian.

atau tumpang bangga juga bila diperakui sebagai yang bertanggungjawab melatih pelajar persembahan padang untuk sambutan merdeka? sudah tentu, dan puas hati kerana ia keraian peringkat negara yang dirai semua bangsa.

kalau sudah ikrarnya menjadi cikgu, sudah tentu hidupnya dikerumun sepanjang masa.

aku jengkel sekali pada segelintir cikgu yang terlalu kritikal dengan masa bekerjanya. loceng akhir dan selamat tinggal. tutup buku, kemas meja dan angkat beg. hendak disua kutipan yuran pun tak boleh ditangguh walau sesaat. "esok boleh tak? dah nak balik ni, dah loceng."

atau, "alaahh korang ni, besok-besok ajalah. da abis sekolah kan."

aku tidak bisa mendabik dada yang aku hebat atau bagus. mungkin aku diludah semula dengan kata - "awak tu bujang, tak apalah. bukan sibuk dengan anak kecil dan suami, memasak blablablaa..."

tapi, ironinya ada juga cikgu yang beranak kecil boleh saja menjenguk aktiviti di sekolah sebelah malam bila ada kem orientasi badan beruniform, misalnya. aku sendiri, naufal yang dibela keluarga itu, sejak usianya 2 tahun dan masih berlampin pakai buang sudah mula ku bawa ke sekolah.tahun sudah sempena persembahan merdeka di sebelah malam itu siap berdukung lena di bahu zairul. dan ramai anak-anak muridku sudah jadi abang-abangnya. ada masa berjanji ke futsal, bowling, wayang atau sekadar makan sama dan merayau-rayau keliling KL naik lrt dan bas sambil usung kamera sama.

dan yang penting sekali, pada masa ini anak-anak ini menjadi lebih telus dan santai. tidak terikat formaliti. mengizinkan aku mengenali siapa mereka, dan memberi perhatian yang mungkin tidak mereka perolehi dari ibu ayah sendiri. kalaupun aku tidak berdaya memenuhi segala, cukup mudah untuk meletak diri menjadi pendengar yang setia bilamana diperlukan.

mungkin kerana itu, aku belum pernah dibaling kertas atau diherdik sesuka dek anak-anak ini.

mungkin kerana itu juga, nama aku bukan kegemaran di dinding-pintu-sinki tandas atau meja sekolah.

benar, di sekolah yang seluruh pelajarnya lelaki, bermacam dugaan bisa tiba. jiwa mereka kasar, nakal dan gemar provokasi. cuma, pandai-pandailah menangani. aku pernah dicaci-maki (baca entri sakit hati ini), adatlah. tapi padan kah kalau aku melawan juga? secara aturannya - dia tetap anak murid aku. dan awal tahun ini aku mengajar dia seperti biasa. menegur dan membantu bila nampak dia tak keruan.

Alhamdulillah, tiada lagi anjing-anjing tembok yang menyalak sakit.

dan seterusnya, mengharapkan ia kekal sebegitu. kalau ada yang tidak kena, lumrah. elok datang berhadapan. cikgu juga cuma manusia.

ada baca kisah puisi dari a.samad said? aku langsung berjumpanya di meja, dan dia mengaku sebenarnya mencari cara untuk memberitahu betapa dia tertekan tak diendah dan diabai oleh guru-guru lain. aku pula cuma membiarkan dia melayan caranya sendiri. jadi dia merasa tak diperlukan, tak penting untuk wujud lagi. kebetulan pula memilih subjek aku menjadi medan meluahkan perasaannya. benar, dia jujur. tapi tanpa usul periksa menyalahkan semata. itu, aku tegur dan betulkan. harap jadi teladan di masa hadapan sepanjang hidupnya. maaf diluahnya, dan kertas subjek aku dijawab sepenuh hati. Alhamdullillah.

aku harus nyatakan, sangat indah menjadi guru. lebih bahagia bila kita mendidik, bukan mengajar isi buku semata.

kerana di hujung waktu sekolahnya, dunia realiti akan menghakimi dia. kalau tidak berderet A di atas slip keputusan pun, biarlah tidak terjerumus mengaibkan diri dan keluarga. itu doa dan harapanku selalu.

.............

lihat semua kesibukan itu, dan hari ini aku kembali menjadi manusia sunyi.

cuma yang melegakan sedikit, aku tak perlu sibuk-sibuk menyeterika baju lagi, cukup uniform kegemaran aku - jeans dan T. oh ye, sandal leper yang selesa. yehuuu~~!

hari ini aku bawak laptop melepak di starbucks wangsa maju. nampaknya tak sibuk sangat, mungkin sebab semua orang dah mula sibuk-sibuk di aeon keramat au2 yang beroperasi hari ini.

di luar pintu kaca sana, semua orang sibuk dengan hidup mereka. tak dengki kah sama aku yang melepak menulis blog ini?

=)

Tuesday, December 02, 2008

... satu hari lagi.

ya, satu hari lagi.

esok awal pagi ke bilik kebal JPWP mengangkut soalan Perdagangan 1 dan 2.

usai jam 12.25pm, dan langsailah tugas aku menjadi pengawas SPM.

(wah merdeka akhirnya kamu ya si manis?)

pergilah pagi-pagi yang lesu dan membosankan. bukankah penantian itu suatu penyiksaan?

hahaha.

cuma, ada kagum semasa menjaga kertas Additional Mathematics, bila selang empat lima minit dan gadis manis di sisi menegur - ''cikgu, mintak kertas lagi?''

aku rasa itulah satu-satunya hari bertugas yang aku terpaksa tidak mengantuk.

bagi orang yang tidak karib dengan nombor, maka dicatat markah dengan pena biru bagi subjek matematik pada zaman aku berkurung putih-berkain biru muda itu adalah suatu perkara yang amat ajaib.

meski aku layak ke kelas sains dengan pencapaian PMR aku circa 1996 dulu, tapi sehari di situ memadai untuk aku angkat bendera putih.

dua masa matematik, bersambung dua masa matematik tambahan.

terus pejam mata dan kata - jangan harap.

dan esoknya, aku ke kelas akhir sekali. satu-satunya kelas yang menawarkan subjek lukisan yang memang makanan aku.

benar, mama marah. katanya - sudahlah lembab, lagi bergaul dengan yang lemah akal.

katanya lah. aku rasa masa itu aku tak fikir apa pun, cuma memakai pepatah 'ukur baju di badan sendiri'.

orang kata belum cuba belum tahu. kata aku - untuk apa mencuba jika menggadai masa dan menekan diri kerana selain mesti lulus matematik dan sains, ada lagi matematik tambahan, fizik, kimia dan biologi.

itu masalah besar bagi aku, bila dalam kitab mama dan abah cuma pandang A.

salah oranglah begitu, kerana kalau aku sudah enggan maka selamat tinggal dan flying kiss muahmuah saja aku tawarkan.

jadi, seraya menjenguk kertas jawapan add maths yang berlapis-lapis itu memang mencambah kagum bagi aku. yang itu ditambah, didarab dan bahagi. dibulatkan pula dan ada anak panah bersilang sana-sini. belum kira grafnya lagi.

yang jadi musykil juga, dalam ada yang menjawab hingga 10 muka, ada yang cuma memadai 3 lembar kertas sahaja.

tapi bilangan soalan dijawab sama, cuma si awang ini jalan kerjanya berjela-jela dan si timah itu pula tak sampai 1/4 muka.

aku pernah aju pada cikgu add maths di sekolah aku - adakah yang berjela jawabnya itu bermaksud lebih pandai dan faham soalan? bilangnya - tidak, bukan jaminan. sebab semuanya andaian. pelbagai formula boleh merumus kepada satu jawapan.

dalam kepala cuma ternampak-nampak anak gadis di meja itu menegur - ''mintak kertas, cikgu?''

aku hulur tiga - ''cukup?''

''boleh mintak enam helai,cikgu?''

60 minit seterusnya penuh 6 helai seluruh muka depan dan belakang dengan rumus dan nombor angka segala.

*tepuk-tepuk-tepuk*

Tuesday, November 18, 2008

terima kasih, putera.

bantai ajelah.

aku agak lama menjauhkan diri dari memblog.

sebab-sebabnya (tanpa aturan tertentu yah) :-

1. terlalu indulged sama buku merah bersimbol hati kreasi fynn jamal yang manis.
2. urusan-urusan menutup rekod menjelang hujung tahun.
3. ouh ya, itu hari sibuk memasak untuk jamuan raya, bersambung dengan jamuan kelas. sangat jengkel bunyinya, tapi letihnya bersambung-sambung kerana bertunda-tunda dengan kerja dan arahan lain.
4. kebetulan juga, masa ini bil TMnet sudah dikerat-kerat mati hahaha.
5. dan kerana itu, untuk bertalian cuma ada pilihan sama ada bercagarkan segelas starbucks atau seperti hari ini - di kafe berhampiran rumah yang juga perlu bercagar segelas jus oren+lobak sejuk.
6. sekarang musim SPM, dan aku dikerah menjaga SPM sama.
7. aku sudah mula rasa kehilangan adik-adik yang manis dan manja.

boohoohoo. gila aku ini.

anak orang manakan sama kasihnya umpama saudara sendiri.

tapi mungkin kerana aku ini manusia sunyi. dan nakal-nakal mereka, masih ada yang menghiris sayu di hati.

hari ini, di kebetulan yang singkat ini, ada yang sempat menyapa. tipikalnya aku akan bertanya - "gimana SPMnya setakat ini?".

begitu, begini, alkisahnya segala.

dan diakhiri dengan sebaris dua ini :

"slame nie saye banyak menyusahkan cikgu walaupown kerje cikgu sye x penah nk wat...sowie ye cikgu....tenx so much."

*senyum*

sudah lari berbatu-batu, terguling dan gagah juga bangun terhincut. dahaga lagi. tiba-tiba dapat air sirap. walaweiii.

murah, ringkas. tapi sedap. maju lagi mau sampai garis penamat.

sebegitu rasanya dapat mesej sebaris dua.

terima kasih, farhan.

=)

Sunday, October 05, 2008

ouh yeah, raya kan sebulan... ngeeee

[sila klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas]




p/s : abis dah cuti?? esok dah sekolah?? adoyaiiii... =(

Wednesday, September 24, 2008

aku rasa nak hantuk kepala ke dinding - bahagian 2

hari ini.

peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia - kertas Pendidikan Seni Visual - kod 2611/1 & 2611/2.

100 calon berdaftar, tak sampai separuh yang hadir. okelah, dah dia tak minat. daripada memekak dan mengganggu kawan-kawan lain, kemudian hantar kertas kosong yang cuma diisi di ruangan nama - itu lebih membuatkan aku geram (sebab pembaziran kertas lukisan).

ada juga yang hadir itu, terpaksa datang kerana tak dibenarkan ponteng atau tak hadir sekolah tanpa sebab atau kedaruratan yang lain. ini termasuk segelintir yang cuma datang untuk letak kepala dan lena di meja sepanjang masa peperiksaan.

aku sudah maklum. fenomena umum di sekolah ini.

tapi menarik, dengan masa yang terluang itu, aku menerima surat cinta ini dari 'A. Samad Said'.



Di sini aku belajar bahawa
Yang terbaik adalah yang pandai mengampu.

X-m adalah untuk orang-orang
Yang terpilih dan bukan untuk semua
pelajar.

Yuran tahunan xm yang aku bayar
Sekadar untuk cukupkan syarat. dan
bukan untuk mengambil peperiksaan.

Di sini aku belajar untuk belajar,
menjadi seorang pelajar, dan diajar.

Walau bagaimanapun,
aku hanya seorang pelajar.
tiada hak untuk bersuara;
dan tiada kuasa untuk
melawan.

Terima kasih
cikgu.
* x-m / xm = exam.
berkali-kali aku membacanya.
kan lebih mudah jika tidak bersikap baling batu sembunyi tangan?
=<

Friday, September 19, 2008

aku rasa nak hantuk kepala ke dinding. bahagian 1.

elok aku balik dari Giant, ada sms di P1 ku.

"akom cikgu peperiksaan seni bila" - S****e S****l.

bangkai betul.

dahlah bagi salam tak semenggah - pantang sungguh, kalau abis nak pendek kan kata pun tulislah Salam. akom tu hapa? ko tau tak maksudnya??

mengapa sukar benar mencoret sapaan beriring doa - Assalamualaikum.

Salam sejahtera ke atas kamu. benar sungguh Tuhan menjadikan setiap sesuatu itu bersebab dan bermaksud yang tidak lain dari kebaikan semata. tapi yang jelik itu juga kita puja. Wallahu'alam.

kenapa, kerana ia tidak moden? bak sinis anak murid yang pernah tertangkap di telinga - "zaman dah berubah cikgu..." sambil bibir hitamnya menjuih.

aku rasa nak hantuk kepala ke dinding.

lepas tu, si bangkai ini boleh tanya aku - peperiksaan seni bila?? atau yang sepatutnya aku faham ialah dia bertanya bila kertas 2 pendidikan seni visual untuk peperiksaan percubaan SPM nya akan berlangsung.

mangkuk.

dah dua minggu ko mengharung peperiksaan, langsung tak ambil tahu peperiksaan apa pada hari apa?

aku dah sampai di tahap - malas hendak ambil tahu.

malas hendak beria-ia menyuap, sedangkan yang tersuap selama ini pun diluah semula, atau dipaksa-paksa telan kerana aku menjegil mata.

dan di belakang menyeranah aku kerana "cikgu fairuz poyo. bajet cun pulak tu."

aku rasa nak hantuk kepala ke dinding.

aku ada 100 orang calon yang didaftar untuk kertas pendidikan seni visual SPM. 3 komponen penilaian - Kertas 1 (50 soalan objektif - 25 markah), Kertas 2 (menggambar / gubahan fikiran - 25 markah), Kertas 3 (folio dan produk - 50 markah).

dari Tingkatan 4 2007 sudah aku maklum dan perihalkan kewajipan menyelesaikan ketiga-tiga komponen. paling utama Kertas 3 yang proses kerjanya dinilai bermula Februari hingga Julai 2008. benar, aku terima hakikatnya tidak semua faham mengapa mereka didaftar untuk menjawab subjek ini. benar juga, aku terima hakikatnya kerana konon kata subjek ini paling mudah jadi "anak-anak istimewa" yang sedikit tergelincir semasa PMRnya akan jadi tikus putih aku.

sama ada dia akan rela, menerima, mungkin juga sedar diri.

atau membantah dan menjaja sana-sini yang "saya dipaksa mendaftar subjek ini. tanpa pilihan. tanpa kompromi."

anak-anak, ini rezeki terbentang depan mata. benar, kamu mungkin tertakdir tidak cerdik. jadi mengapa sempitkan lagi pintu kurnia yang Tuhan telah buka luas ini?

cuma kamu terlalu sayangkan kudrat tulang empat kerat itu. juga ceteknya memikir dan mencipta sebuah cita-cita.

aku kerap tanyakan mereka - "siapa kamu 10 tahun akan datang? cuba sebutkan. impian? cita-cita?"

dan mereka cuma tersipu. terkesima.

"lambat lagi laa cikgu."

aku rasa nak hantuk kepala ke dinding.

lambat ya. aku dulu pernah duduk di bangku sekolah juga. 10 tahun dulu juga, sedang di Tingkatan 6 Rendah, sibuk bergaduh dengan mama kerana aku berkeras hendak ke UiTM untuk jurusan Seni Reka, sambil dihasut guru kelas yang telah sama di Tingkatan 5 dan menggeleng kepala melihat aku di Tingkatan 6 sambil berkata - "ini bukan tempat kamu, Fairuz."

kerana baik budi dan luhur bimbingan Pn. Wahida Abdul Wahid itulah, aku cuba juga tegak berdiri di hadapan kamu hari ini, walau sudah berkali-kali tempang disinggung kamu yang memang tak ingin mengerti.

beban menanggung budi Pn. Wahida Abdul Wahid itu, aku rasa cuma akan terbalas bila aku akan seupayanya membimbing kamu, sehabis jerih akan aku cuba.

tapi,

diminta menyalin nota - buku tak disedia. tak sempat disalin.

ok, aku cuba pula memujuk sekolah supaya boleh difotokopi latihan dan nota (pendidikan seni tidak menggunakan buku teks khas seperti subjek lain). sampai diperli-perli pembantu am di pejabat - "makan kertas ke?"

siap fotokopi, bersengkang mata mengepil tiap helai bersama. ada 20 helai, 20 helai aku susun dan kepil kemas. 20 kertas A4 x 100 set = 2,000 helai, 100 kali menekan picu stapler (belum masuk kira yang ditanggal semula kerana tidak kemas dan segala masalah lainnya).

kemudian dari kelas ke kelas aku pastikan semua dapat edaran. minta ditampal dalam buku.

tengahari itu, aku jumpa helaian set 20 keping A4 di dalam laci meja, atau paling hina - sudah tersepuk di lantai dengan cop mohor tapak kasut si setan gondol.

esoknya aku tanya kembali - "mana nota yang saya beri semalam?", "hilang aaah cikgu...!!". "ini, ada yang saya jumpa di lantai semalam?".

dan tak siapa yang mengaku. peperiksaan dijawab tembak sesedap rasa. siap ada corak bunga atau selirat macam aturan DNA itu.

aku rasa nak hantuk kepala ke dinding.

aku kira aku sedang di tahap paling kejam sekarang ini. lebih 50 orang tidak menyelesaikan Kertas 3 untuk SPM mereka.

aku pula diugut Unit Kurikulum dan Lembaga Peperiksaan Malaysia supaya memastikan mereka selesai kerana komponen itu wajib siap. wajib lengkap.

bagaimana? bila semuanya mentah-mentah menjawab di muka Penolong Kanan Hal Ehwal Murid - "saya tak mau subjek ni. kenapa saya kena buat. kan sistem sijil terbuka."
atau anak Melayu, lintas tepi aku buat sombong tuli. silat, konon.

separuh gila aku, Fadhil, Md. Nor dan Naqiuddin kerjakan juga. sambil ditolong serba sedikit dek Affa, Farizal,Faizal, Azri dan Zulfikar. dan pakat tutup mulut, lantak apa nak jadi sambil terima kasih sudah tolong selamatkan aku, sekurang-kurangnya.

mujur juga Ketua Pentaksir Kawasan sangat bertimbang rasa. setidaknya ada juga yang memudahkan perjalanan hidup seharian.

selesai itu, dan aku pun mensibukkan diri ke padang Pusat Kokurikulum JPWP, Jalan Cochrane. mengabdi diri di bawah terik matahari demi negara kisahnya. sebulan lebih menghadap 3,000 pelajar untuk sambutan Hari Kemerdekaan ke-51.

sebenarnya, alasan supaya aku lupa masalah yang terlambak di sekolah.

habis semua sibuk-sibuk itu, Ramadhan menjelma, dan anak-anak Tingkatan 5 memulakan peperiksaan percubaan SPM. awal-awal aku saring nama-nama yang telah hancur ranapkan hati aku, yang tak peduli ada sahabat hingga ke senja masih di sekolah kerana nak menyelamatkan bukan saja aku, tapi juga pengetua, dan sudah tentu sekolah.

kerana nanti - sekolah dipersalahkan, pengetua disoal jawab, dan aku ditujah, dijuih.

aku rasa nak hantuk kepala ke dinding.

dan bila soalan Kertas 2 diedar seminggu sebelum peperiksaan, ada yang konon terpinga - "kenapa saya tak dapat, cikgu?".

"kamu kan tak buat Kertas 3, buat apa nak ambil Kertas 2 & 1?"

pagi tadi, aku bahagikan pula panduan melakar supaya calon-calon yang lulus saringan aku boleh mula latihan serba-sedikit di hujung minggu ini.

"yang lain tu, dapat cuti tambahan. tak payah datang hari rabu masa kertas PS (Pendidikan Seni)".

ada mereka peduli? tidak, kecuali khairil fitri. dan han ding yau.

oklah, aku benarkan mereka cuba. sambil diingatkan juga walau lulus, mungkin, mereka tidak akan menerima sijil untuk folio.

rugi, bukan? dan khairil fitri tertelan-telan air liur menerima kekalahan. sayang, kerana dia antara yang berbakat semulajadi, antara yang berpotensi.

pendidikan seni, mudah. tetapi, jangan ambil mudah.

cikgu fairuz memang cuma akan diam, pandang saja bila kamu bersantai-santai buat-buat tak nampak yang kerja bertimbun berlambak. tapi, semuanya sedang dinilai. proses kerja, sahsiah.

menilai juga, tahap kemanusiaan dan ihsan kamu.

lagi aku tenung, lagi tinggi julang kaki ke sandar kerusi hadapan. makin nyaring gurau tawa. rehat sepanjang masa. itu subjek aku. subjek lain, teras atau elektif pun kamu pukul rata. entah apa sebab ke sekolah pun tidak dapat pula dipastikan. sebab cuma mau rehat sepanjang masa.

mau rehat ya. rehatlah, aku sudah bagi cuti tak perlu bangun pagi sibuk-sibuk jawab kertas subjek aku lagi.

haih.

Monday, September 01, 2008

perpaduan teras kejayaan @ merdeka ke-51



abis dah seksa.

best. puas hati. bangga giler.

esok, kembali ke sekolah. sepanjang siang tadi punggah balik semua baju kurung, cek balik kasut tumit [ada yang pulak yang terpelecok esok oke] ... simpan jauh-jauh kasut converse, adidas yang tapak da nak tanggal sebab duk kena becak padang [nasib baik JPWP ganti kasut baru, hahaha], seluar trek dan t-shirt lipat simpan elok-elok.

aku masih cuba upload video di dataran semalam, tapi to no avail. haihh, camana nih?

Thursday, August 28, 2008

pre-merdeka the 51st



situasi agak sibuk untuk beberapa hari ini, sehingga merdeka ke-51 pada 31 ogos 2008 nanti.

Alhamdulillah, dari guru pengiring, tahun ini dilantik menjadi jurulatih. penghargaan yang sangat besar dan kepercayaan yang sangat hebat ditauliahkan oleh JPWP. jadi sejak pertengahan julai, laman sekolah dan busana kurung juga tumit tinggi ku nyah ke tepi.

ahaii selesa amat berseluar trek sama converse dari hujung ke hujung padang.

yang pasti, kulit ini menerima dos terlampau vitamin D dari encik matahari.

minggu ini, dari padang pusat ko-kurikulum jalan cochrane sudah berpindah ke dataran merdeka. sejak petang ahad dalam renyai hujan aku dan jurulatih teknikal yang lain menanda kedudukan pelajar di padang.

kalau dulu, aku menanti arahan dan makluman dari jurulatih, tahun ini aku antara decision maker. memang bukan kerja mudah. kerana sebarang cacat ditujah terus kepada kami.

sudah rezeki anak-anak sekolahku, dua tahun berturut merasai keterujaan memeriahkan perayaan negara. dan sibuk membanding-banding kumpulan mana yang lebih beruntung. tahun lepas sempena 50 tahun merdeka, yang membuatkan ia istimewa kerana persembahan di sebelah malam di stadium merdeka. tahun ini, perancangan asalnya di putrajaya. tetapi maklum sudah akan situasi ekonomi negara jadi ke dataran merdeka sudahnya.

aku juga yang tak merasa merdeka di putrajaya. haihh.

http://fairuzrahman.fotopages.com/ >> ada update. [iklanlah pulak, haha]

Wednesday, August 13, 2008

telah sibuk, sedang sibuk.

*sedang layan kau yang punya - malique feat. najwa di >> SINI.
.......... manis lagi asyik. =)

kebelakangan ini menghilangkan diri.

baru hari ini selesai dengan urusan pentaksiran kerja kursus seni visual untuk SPM. aku harus ucap terima kasih untuk anak-anak yang sudi bersama-sama bertungkus-lumus menyiapkan apa adanya kerana lebih 50 orang menolak subjek ini dari awal.

tak mengapalah. aku tak minat memaksa. kita demokrasi.

tapi yang nyata sekali anak-anak, kamu tolol jika menolak subjek ini hanya kerana terkongkong dengan peraturan kertas kerjanya. hello, 50% markah sudah tersedia untuk SPM - 'A' dalam tangan. paling kurang sudah ada 30% - tak mahukah?

ngok.

ikhlas aku harus suarakan, 'industri' pendidikan sudah ketandusan dan lapuk. anak-anak kini jangan dimomok dengan karier-karier kelas A - peguam, jurutera, doktor dan segala lain yang jika logik bisa ditambah ikut selera.

mereka tidak lagi ingin dikurung di dalam kelas, dipaksa-paksa menghadap buku. itu sistem 'mengajar', tapi dari amatan aku mereka harus dididik, jadi streetsmart. mesti di akhirnya tahu bagaimana akan hidup dan boleh kenyangkan perut. mak ayah, sampai bila mampu menyumbat tembolok kamu, lagi duit rokok, hutang motor...ahh, kalau aku boleh fahamkan mereka.

ya, yang mana terdaya dan mampu ku rangkul erat dengan omelku saban masa.sangat bimbang melihat kamu semua rela menyadai diri di pondok bas luar pagar itu dan juga di tembok comot bank darah.

heh, aku sepatutnya rehat. pegi mati lah kamu yang tak mahu ke sekolah itu. apa? panjat pagar? panjatlah lagi, aku doa tersangkut lubang jub**. lagi? lari dari sekolah? ya, pergi jauh-jauh. kalau melintas jalan jangan sibuk menoleh belakang dek takut ditilik cikgu disiplin. nanti dilanggar kereta, seronok juga ya kalau kamu langsung terlantar di hospital atau ke lubang kubur terus. aman dunia. ya, lagi apa? mencarut? ouh, nanti kamu jerit-jerit begitu kelak jadi bisu. jangan, merbahaya untuk kesihatan. mencuri ya? jangan bimbang, tangan kamu yang Allah SWT kurnia untuk menulis ilmu itu lumpuh pula nanti. baru kamu tahu.

hahaha.

biarlah, Tuhan itu Maha Adil. pathetic kan?

tahun ini, terlibat pula melatih anak-anak persembahan padang sempena Hari Kemerdekaan ke-51. tontoni mereka di kaca tv nanti ya? kasihan berjemur dan dijerit-jerit berlari dari segenap ceruk padang. sampai ada yang terguling patah tangan, aduh kasihan anak itu. aku jadi ngilu melihat tangan kanannya tergeletak dengan siku terpulas (erkkkk...).

salam sayang untuk kamu ya, gadis kecil dari SK taman maluri. moga cepat sembuh seadanya.

esok, akan ke padang pusat kecemerlangan kokurikulum di cochrane seperti biasa.

jumaat nanti, sebelah malam akan ke selatan atas jemputan membantu kejohanan taekwondo kelolaan kelab di sana.

ahad pagi, pulang. dan akan ke pulau redang!

wah, akhirnya aku bercuti juga.

sebelum menjawab peperiksaan PTK pada pagi khamis 21 ogosnya.

moga selamat aja semuanya nanti. yang pasti hati sudah sedikit tenang - Alhamdulillah.

Friday, June 06, 2008

si kecil yang belanja makannya tidak kurang RM1,000 sebulan...adehlaa

sedang di sekolah, masih dalam tempoh bercuti pertengahan tahun, sambil anak murid sibuk menyudahkan projek untuk kertas III pendidikan seni visual SPM.

oh ya, pengetua sekolah saya, yang mula bertugas sekitar februari, akan berpindah, tidak lama lagi - bila saya sudah mula seronok mengikut rentak agresif dan pemikiran tajamnya

hidup akan jadi kurang ummppHH!



di rumah aku,

ada seorang anak kecil, lelaki, becok - walaupun banyak pelatnya, sangat agresif - tambah pula dilatih bertaekwondo lagi, kuat menyusu meski usianya sudah 5 tahun lebih.

dan yang pasti, dia suka makan.

sangat suka makan, walaupun badannya tak berisi padat mana (mungkin kerana terlalu nakal dan aktif).

seronok melayan si kecil ini makan. bawa ke mana pun, apa yang dihidang pasti dijamah tanpa komplen. hanya tidak gemar makan sayur.

yang tidak seronok - dia pandai memilih makan. juga demanding.

mcDonald's happy meal itu selang sehari akan jadi makan malamnya usai pulang dari tadika. sesekali akan dapat kepak ayam original kfc, atau pizza hut bertabur keju parut extra dengan mushroom soup dalam dua minggu sekali.

habis takde pun, kami sekeluarga akan ke gerai kegemaran milik Acik Nan - atau secara rasminya kini lebih dikenali sebagai gerai ayahnya Nadia Redah Jerrr keluaran AF6. popia jati yang syok, dan nasi goreng mahsuri yang setakat ni tak jumpa lagi kat tempat lain, atau western foodnya yang best. di sini si kecil akan makan mushroom soupnya yang pekat dan banyak isi cendawan itu.

bulan puasa ini, aku rasa gerai popia jati Acik Nan akan ada gambar Nadia Redah Jerrr sebagai maskotnya - strategi pemasaran yang bijak kan? tak payar bayar kos iklan mahal-mahal. huhu.

jadi kelmarin, bila Pak leLah umumkan kenaikan harga minyak, dan tiba-tiba senja itu kereta berderet panjang demi mengisi minyak pada harga rendah di saat-saat akhir;

si kecil ini, bersama kami di dalam kereta, sedang berkira-kira hendak ke mana untuk makan malam. pastinya, menu yang murah tetapi jimat jadi pilihan. mau menuju ke mamak NZ, dan si kecil mencelah, "nak makan pizza."

abah, dalam senyum tawar tidak menolak, walaupun terkeluh juga yang selepas ini semua kemewahan makan yang sekian lama kami kecapi akan mula berkurangan. kami adik-beradik, yang sudah cukup dewasa untuk memahami nilai wang hari ini membantah dan setuju langsung ke NZ.

seperti maklum, si kecil memberontak. menangis. menjerit. menghentak-hentak kaki dek kemahuan yang tidak dituruti. dan malam itu akhirnya dia diam juga dapat makan sate ayam di NZ, dengan lampu restoran pizza hut ke-111 di malaysia itu berbayang-bayang di belakangnya.

hari ini, aku masih terkenang senario itu. dapat makan sate itu masih mewah lagi. bagaimana, sekiranya harga barang terus melonjak naik kerana mengikut harga minyak sebegitu dengan selera si kecil ini yang sama naik juga, yalah apa sangat yang dia mengerti mengenai payahnya kita-kita mengimbang belanja dan pendapatan?

bak kata abah - "jenuh aku bersilat, korang bukan tau apa!"

beras sudah naik harga, tepung dan roti juga. kalau nanti berlaku inflasi apa yang tinggal untuk kita jamah setiap hari?

......................

di rumah aku,
ada seorang anak kecil, lelaki, becok - walaupun banyak pelatnya, sangat agresif - tambah pula dilatih bertaekwondo lagi, kuat menyusu meski usianya sudah 5 tahun lebih.

dan yang pasti, dia suka makan.


demi pembesaran dan masa depannya, dia akan dipastikan terus dapat makan. tapi tentu tiada lagi mcDonald's happy meal itu selang sehari, sesekali kepak ayam original kfc, atau pizza hut bertabur keju parut extra dengan mushroom soup dalam dua minggu sekali.

entahkan, mushroom soup yang pekat dan banyak isi cendawan di kedai Acik Nan itu pun jarang sekali dapat merasa. itupun kalau mushroom soupnya masih pekat, dan isi cendawannya masih banyak.

itu, di rumah aku. yang pendapatannya mudah kata selama ini telah mampu membayar 3 buah kereta tanpa putus setiap bulan. belanja adik-adik di kolej, tambah si kecil yang begitu-begini dengan tadika dan kelas taekwondo, juga susu dan makannya seorang tak kurang RM1,000.00 sebulan.

bagaimana dengan rumah-rumah lain? yang pendapatan isi rumah hanya RM1,500.00 mungkin. lagi anaknya masih bersekolah, tetapi sudah pandai pakai handphone dan bazir RM10.00 untuk tambah nilai setiap hari.

ada sekelompok anak-anak bangsa bawean di sekolah, dulunya berbasikal sederet setiap pagi dan petang. tahun ini sudah bermotor sana-sini. yang bagusnya, anak-anak ini rajin bekerja selepas waktu sekolah untuk duit motor dan minyaknya sendiri, boleh berwikang dan berwheelie juga usung awek. lepas ini, berbasikal semulakah agak-agaknya?

aku sebut mengenai bawean atau kasarnya boyan, tidak menghina kamu anak-anak, tetapi membanding dengan anak Melayu bangsaku sendiri belum tentu boleh survive hidup sendiri kalau tidak kerana mak ayah yang cuma pembantu am di HKL itu yang sanggup berhabis demi mengadakan handphone, motor dan duit joli segala.

mungkin lebih wajar jika suara mereka ini, sama-sama kita hayati dan renungkan :-
*klik di nama mereka*

tun negarawan yang kami rindui
manager ning baizura yang juga, seperti kita, cuma insan biasa
joe Lee - klubbkidd, juga warga hiburan, tetapi masih orang biasa
uchu dari sarawak dengan jeritan hatinya
fiebie yang ungu tapi akalnya cerah putih!
fynnjamal - bukan gadis artis biasa
mama hani yang keja kat kilang minyak tuuuuu

bak kata nabil si raja lawak - aah Lu Pikir Laaaaa sendirikk!!

malam ini tengok nabil kat astro prima, kurang-kurang si kecil ini boleh lupa mintak kepak ayam kfc malam nanti.



huhu.

Monday, June 02, 2008

projek cuti sekolah - part 1

nota :
ini backdated post, entri 30 Mei 2008. hari ini baru dapat muatnaik ke blog.
pesanan khidmat masyarakat ini dibawakan oleh tukangtulis @ ceritaceriticerutu.blogspot.com.hik.




atas studio seni a.k.a pejabat a.k.a ruang menung aku, ada sebuah kelas yang dah sekian lama ditinggalkan sejak pertengahan april. maka sejak itulah, tempat tu jadi kawasan lepas geram dan anak-anak yang terlebih aktif bermaharajalela memecahkan tingkap, merobek-punahkan notice board, berconteng sakan di sana-sini. apatah lagi, juga jadi tempat ponteng serta port hisap rokok. agak ironik walaupun kelas tu taklah jauh mana dengan bilik disiplin, dan bunyi gelas cermin yang pecah berderai boleh aja didengar. apakan daya mungkin dek deru penghawa dingin subsidi bil elektriknya oleh kerajaan itu telah mengakibatkan cikgu-cikgu lelaki a.k.a cikgu-cikgu disiplin yang ada lesen kuasa merotan jadi tuli pendengaran, kabur matanya tak mampu mengesan salahlaku sekaligus mengakibatkan sendi-sendinya beku kaku tak mampu menggesa kaki melangkah untuk memeriksa apa ke halnya yang berdentum-dentam tak ketahuan itu?

terus-terang, setelah sekian lama aku dapat rumuskan - masalah disiplin gagal ditangani kerana penguatkuasa yang culas dan tak bersungguh. sekurangnya, itu penyakit yang aku diagnosis di sekolah aku.

jadi, alkisah kerana aku kesuntukan ruang untuk anak-anak aku bekerja, aku pun berkira-kira nak memanfaatkan kelas tersebut memandangkan tak siapa yang sudi menggunakannya (aku rasa, sebab mereka tak kuasa menguruskan disaster di situ, dan cuma aku yang cukup gila untuk mengemasnya!).

oleh kerana sekolah ini juga, dengan dana kerajaan telah menggaji cik tukang sapu, maka di suatu pagi yang cerah tatkala matahari masih segan-silu di balik jendela, cik tukang sapu yang kecil molek ini ku rapati :

"Cik, nanti bila yang senang bisa sapu kelas yang horror di atas tuh?"
(sambil si kecil molek tersenyum siput-siput,macamlaa aku ni bergender lelaki nak mengoratkan dia)
"Ya...ya..." (dan, langsung naik ke kelas yang aku arahkan maksudkan - hihi)

Wah... dalam hati aku, ini sudah cukup bagus.

apa cer, rupanya dia lalu je! sampai sudah dan pagi esoknya kaca tingkap dan segala mak nenek sampah sarap tinggal begitu juga!

tak boleh jadi.

dan kerana aku ini, jenis yang - jangan ingat aku terhegeh-hegeh sangat macamlaa ko takde aku takleh hidup dan takleh wat keja - langsung lusanya, aku singsing lengan baju dan kaki seluar.

maka secara automatiknya hari itu. akulah si tukang sapu.


kawan-kawan, itulah. siapa kata jadi cikgu ni senang. tengok, kan merangkap cleaner sekolah juga!

jadi kepada cik tukang sapu yang malu alah bila tengok tong sampah yang naik penuh dengan kaca-baju-sudu-kertas segala di tepi koridor kelas yang dah aku bersihkan tu, camnilah - kalau ko rimas nak buat keja kerana ini musim cuti, ko lupa ke gaji ko berjalan sama je walaupun budak ada ke tak! belum kira dengan jamban bebudak yang dahlah kotor, ko nak peram sampai seminggu lagi bebudak naik sekolah?

balik kampung jelah. cakap lebih-lebih nanti jadi isu negara pulak. tak kuasa.

lepas ni, kena pasang rantai dan manggakan pintu.

behold - my newfound territory. nyehehh.