Thursday, December 09, 2010

manusia sempurna. (versi edit semula)

sempurna.

dalam erti kata sempurna. serba ada dan serba berdaya. serba lengkap tanpa cacat dan kurang. serba wangi dan serba indah. serba manis lagi serba mewah.

ayuh perihalkan semua ini dengan manusiawi.

bagaimana mungkin, bukan. sedang sisi kiri dan kanan tubuhmu sudah tidak sama simetri -- perasan, tidak?

iya, mata kiri dan kanan tidak sama besar. sepanjang tangan kanan dan kiri tidak sama sepadan saiz dan lekuk. begitu juga kaki dan semua alun tubuh yang siap berbentuk.

tapi tetap juga, kerana ia serba wujud jadi kita tersifat sebagai sempurna. terlengkap akal untuk kuasa fikir yang hebat dan tidak tersanggahkan. dicantikkan dengan hati nurani yang wujud ihsan.

tapi berapa ramai mahu guna bijaksana si akal?

berapa ramai TAHU guna kewarasan yang asalnya tidak dangkal?

dan lagi, berapa ramai yang pandai letak ihsan pada tempat dan kadar wajar?

di sinilah persoalan terencana, apa benar sempurna itu mustahil wujud dan ada?
atau kita yang sengaja memberi cela pada cantik baik yang Dia telah beri, menghilangkan sempurnanya segala sifat tadi? kenapa payah benar terpahat di sanubari yang kita sudah teramanah memegang panji sang khalifah?

apa, kufur nikmatkah kita?

bagaimana pula kalau nanti semua yang indah dan sempurna ini bakal direnggut malang atau masa? mampukah kita redha?

bila mata bulat bersinar tiba-tiba hilang cahayanya?

atau, kaki yang setiap hari melangkah laju ke segala destinasi ini, tiba-tiba disapan kenderaan di jalanraya yang tak ada simpati pada masa?

atau tanpa terjangka galak ketawa yang terhilai merata-rata langsung tiba-tiba jadi sunyi.

sekali lagi aku tanya -- mampukah kita redha?
atau nanti sibuk menuding jari menyalahkan keadaan dan orang lain semata?

sedangkan sebelum itu, semua sempurna yang sudah termilik tidak juga kita guna untuk memberi bakti yang sehabis daya pada sesama manusia, apatah lagi terkadang yang lima minit untuk lima waktu sehari dengan niat syukur terima kasih atas anugerahNya pun kita bikin sambil lewa.

mencoret semua ini dan dek rumusan aku memerhati.

terkilan memandang keletah anak muda yang suka biar jiwanya leka dengan dunia.

aku sekadar berpesan, langsung pula ia lahir dari tanggungjawab dan sayang yang melangit, tapi kalau dibalas jeling dan juih tak suka -- jadi apalah daya.

sekurangnya, aku telah cuba memelihara sempurnamu.

aku telah cuba.

aku sendiri sedang mengais sisa dari sempurna yang ada. membaik pulih dari kekalahan lalu. masih lagi. setiap hari.

apa perlukah sampai kau lalui kehancuran aku?

Friday, December 03, 2010

berikan sayangMu untuk aku.

dulu aku juga manusia tipikal seperti lainnya, merasa yang sayang itu cuma datang dari sesama manusia. bila tidak dipunya, mengeluh kalah. terkadang jaki lihat ada yang berpasang-pasangan sambil si tanduk merah menusuk hasut -- "Apahal kau, tak laku sangat ke?"

oh, itu dulu.

tapi kan selalunya aku berikrar -- setiap hari mesti jadi lebih baik dari semalam.

ikrar ini boleh saja jadi retorik semata, tuan-tuan dan puan-puan. tapi terpulanglah, kalau kau harapkan dunia yang mengubah semua jadi lebih baik maka tak perlu menuding salah orang yang kau rasa menghunjam kudrat sehari-hari!

haih, tapi sekarang -- iya tepatnya sejak dua bulan sudah dan berlarut semakin baik buat aku kian sedar -- semua sayang yang aku cari itu, telah selalu wujud untuk aku.

telah terzahir dari sekalian di sekeliling aku.
telah terbatin, hey aku masih bernyawa hingga ini -- saat ini!

Maha Suci Tuhan, Kau selalu Maha Pengasih.

Maha Pemberi. Maha Pengampun.

hebat bukan? sedang kita sesama manusia juga kerapnya telunjuk lurus kelingking berkait. (nahhh jangan bohong, tentu ada juga sedetik. Dia tahu isi hatimu walau terhasrat sebesar biji sawi!)

dari zaman dicaci-maki sebagai pengkhianat makan gaji tak reti diuntung, hidup bergelandangan bersepahan, mengasing diri dari keluarga dan 'kawan-kawan', bertimbunan hutang (yang masih berdikit-dikit aku usaha selesaikan), makan pakai seada dapat, semuanya ehsan orang semata yang aku harapkan.

semuanya bersandarkan orang.
dan si mamat yang aku sayang dan letak setia tanpa peduli itu. hai. bodoh betul. (aku laa!) kan dah kena lagi.

nah, sekarang aku tidak endah semua sudahnya.
apa lagi bentuk sayang yang aku cari?

kerana semuanya, jisim hidup ini sedang melengkapi -- kepingan-kepingan coklat manis yang tercair jadi satu blok padu, ditambah kekacang dan kismis.

begitu indahnya kehidupan bila kita mampu sedar semua ini.

di sebalik sapaan mesra anak-anak kesayangan dan sahabat-sahabat dikasihi pada setiap pagi, tengahari, petang dan malam, tak seharusnya aku lupa -- Jangan Lupa!

pada Dia Yang tak berhenti isi paru-paru aku dengan udara.
pada Dia Yang tak berhenti isi segenap urat darah dengan si merah saga.
pada Dia Yang tak berhenti isi akal aku dengan bijaksana.
pada Dia Yang tak berhenti isi hati aku dengan rasa sayang yang kaya --

supaya,

aku tak berhenti isi jiwa anak-anak dengan ilmu dan budi bahasa.
aku tak berhenti isi akal anak-anak dengan bijaksana yang sama.

ini kudrat yang Dia beri dari sayangNya setiap hari, supaya aku beri pada semua yang aku sayang di sekeliling aku.

sudahi dengan apa lagi? Syukur Alhamdulillah-lah! =D



menjemput anda semua juga, berikan sayang anda untuk anak-anak di
KL Krash Pad. mereka tak pernah lokek memberi sayang untuk semua yang mahu menyayangi mereka.

silakan?

Sunday, October 31, 2010

akhirnya apa yang tinggal?

seminggu dua ini aku penuh emosi. senang marah, senang menangis, senang hiba.
juga senang ketawa.

marah kerana terlalu kecewa.
menangis kerana terlalu hampa.
hiba kerana terlalu bingung hilang punca.

tapi yang anehnya, aku mudah ketawa kerana dalam haru-biru ini, sesekali ada manis yang buat aku senang hati.

terutama sekali, kalau jumpa si budak bulat ini.


aku mahu berjalan pergi.


perkara yang paling susah dalam hidup ialah untuk memulakan sesuatu!

Sunday, May 16, 2010

hari guru aku. versi 2010.

setahun yang lalu aku telah menulis ini -- hari guru aku. versi 2009.

betapa dalam selang setahun itu, terlalu banyak yang berubah. terlalu.

aku sudah sah bebas dari tajuk "cikgu" di sekolah lama, secara rasmi dan berhitam putih. tidak lagi tergantung tidak bertali seperti setahun yang sudah. terlonta tanpa kepastian.

kepada yang bersama aku di facebook, sudah tentu tahu tunggang-langgang hidup yang aku redah tanpa henti dan tanpa peduli. semuanya aku langgar dengan redha dan percaya yang diri ini sebenarnya cukup dikasihi Ilahi.

walaupun sesekali sangat pedih dan mencedera hati.

hari ini sambil santai mencari ilham memula tugasan, lagu-lagu m.nasir melontar aku ke kenangan dan semua yang telah pernah melintas dalam hidup.

sama ada dia telah secara rasminya menjadi guruku, atau sekalian teman dan lawan yang mencipta pedoman supaya pengalaman itu menjadi guru pada kehidupan yang terus datang tanpa halangan.

sebegitu besar hikmah kehidupan untuk kita pandang dan jadikan panduan. cuma cukup celikkah mata hati untuk tidak terus dibuta duniawi?

pada hari guru tahun ini, hadiah terindah apabila masih ada bekas anak murid yang menghargai.

pada hari guru tahun ini, paling manis bila masih sudi disanjung julang dengan gelar "cikgu" walaupun tidak seperti dulu segak dan kemas berbaju kurung bertumit tinggi dua inci.

lazim aku kongsikan dulu, "selagi namanya cikgu, sampai mati dipanggil cikgu. betapa nanti tiba waktu si cikgu kembali ke Rahmatullah, tetap orang menyebut -- nak pergi menziarah kubur CIKGU."

*terharu*

semoga jangan lupa pada ikrar dan amanah yang ditauliah kepada sekalian kita supaya anak-anak bangsa terdidik dan boleh dibangga.

Selamatlah Berhari Guru.

Thursday, April 08, 2010

no goodbye's.


rakan datang dan pergi.

rakan di sisi dan mengisi sepi.
rakan ketawa dan kita ria.
rakan bercerita dan kita pendengar setia.
rakan bersendu dan kita sayu.
rakan berhikmah dan kita muhasabah.
rakan mengucap selamat dan kita sambut hormat.

rakan yang bakal pergi.

nanti, akan kembali.


be well, firdaus.