Saturday, May 14, 2011

Hujan inspirasi.

tiba-tiba petang itu aku ditanyakan --

"yuz, do you want to give it a try?"
"have you ever done copywriting?"


antara segan, gementar dan rasa teruja -- aku lebih dari sudi menerimanya sebagai cabaran terbaru.

medan penulisan memang sejak bangku sekolah jadi makanan aku. selain di sini untuk aku curhat, atau coretan-coretan ringkas yang seiring kemajuan bersosial terkini maka ada saja yang bakal terpapar di twitter dan facebook.

tapi tawaran petang itu, dengan skop menulis mengenai korelasi muzik, fesyen dan gaya hidup?

terbaik.

aku penggemar muzik. secara universalnya aku boleh terima dengar apa saja jenis muzik. dari komposisi klasik asli, jazz, dangdut, pop atau rock -- semuanya aku ok. cuma barangkali yang jadi inti untuk dititikberatkan ialah puisi dalam lagunya. cerita yang tak meleret-leret tentang putus kasih versi melutut dan merayu sambil berjuraian air mata. ;)

oh fesyen? kalau biasa melihat aku secara berdepan, maka maaf kerana aku tak pandai benar mahu melaram gaya. tapi secara harfiahnya memang aku suka melihat gaya terkini. biasanya ada cemburu memandang orang-orang yang nampak cantik saja biar menyarung apa jua reka dan warna.

perkaitan dengan gaya hidup? untuk aspek ini, ada pengalaman sebagai intipati, lebih banyak dari pengamatan kepada remaja dan cabaran semasa. untung jadi anak muda pasca dekad ke-21, semua maklumat di hujung jari. semua input senang jumpa asal saja mahu cari. tak kira kisah politik, rencana perundangan, khabar ekonomi, telatah hiburan -- tinggal bukan untuk salahguna tanpa spesifik haluan.

bagi aku --
muzik adalah hiburan.
fesyen semata berpakaian.
gaya hidup itu pertembungan antara elemen tatasusila, adab dan adat serta amalan beragama.

tapi kalau digabungkan semuanya maka kau akan jumpa kehidupan.

sebelum ini juga kalau sudah selalu maklum akan isi tulisan aku di sini, pernah saja aku nyatakan tentang rasa kagum dan hormat pada band Hujan.

dari sekadar menggemari muzik, aku jadi terkesan dengan pendirian dan semangat yang didokong mereka. barangkali bertuah juga bila tertempias dapat berada dalam lingkungan rakan dan kenalan. semuanya serba tak sengaja. kalau asalnya cuma pemuzik dan pencinta seni, kebelakangan ini dengan tanggungjawab menjadi dewasa maka masing-masing mula ada anjakan tersendiri, menjadi komposer, pengarah dan usahawan, selain mencipta label yang lebih dinamik.

dari band Hujan, kini ada Morning Rocket.

jadi bila dari Hang Dimas sendiri yang bertanya -- "yuz, do you want to give it a try?"

I mean, how would I say no, man? Music, fashion and lifestyle all in one, while working with among the best example of people who worked their tears and sweat to be where they were now?

Yes, I'm in!


apparently, they're my bosses now. hee



*gambar dari facebook -- Morning Rocket dan Dollsstore.

*baca juga! --
http://ceritaceriticerutu.blogspot.com/2009/06/hai-nama-saya-naufal.html
http://ceritaceriticerutu.blogspot.com/2009/05/dedikasi-tanpa-segan-silu-untuk-hujan.html


ya, Hujan itu inspirasi!

Tuesday, May 10, 2011

monolog buat mama, pada setiap hari yang penuh cinta.

yang pasti, mama masih kecewa.

ingat lagi berderai air mata mama bila dapat tahu yong sebenarnya cuma dapat 3A 1B untuk UPSR, walhal sehari sebelumnya yong bermuka riang dengan khabar - mama, yong dapat 4A.

dan mama telah rangkul yong penuh bangga.

anak sulung mama, cucu sulung tok dan arwah uwan ini sejak kecil selalu jadi kebanggaan.
membaca sejak di usia 3 tahun, walau masih berlampin sambil duduk di atas akhbar terhampar.
tidak pernah tercicir dari kelas terbaik pada setiap beralih darjah, dan ingat lagi senyum lebar abah mama bila yong naik ke pentas menjadi pelajar terbaik bahasa melayu untuk 3 tahun berturut-turut.

masa itu, mama masih tak segan memaut bahu yong di tengah ramai.

tapi kerana 1B yang mencemar keputusan UPSR itu, mama mula berubah. menjadi lebih dingin.

kalau mama telah menangis kerana merasa terpedaya, yong juga sama.

kerana tahu, yong menghampakan semua orang.

kerana tahu, bila pulang dan khabarkan yang benar jadi akan dibelasah abah.

yong takut. abah pukul sakit. bila malam tiba dan meletak kepala di bantal diiring sedu tak mampu lena. kepala sakit dan bengkak dihantuk ke dinding.

bertahun-tahun yong mendesak diri supaya mengulang rekod cemerlang yang pernah abah mama banggakan. entah kenapa sudah hilang magisnya anakanda ini. sekolah menengah rupanya perlumbaan hidup yang lebih hebat. mula merasa kecil diri kerana tak setanding teman-teman yang lengkap dengan teks rujukan tambahan. merasa kecil kerana kita tidak mampu. merasa kecil kerana bila semua berlumba menunjuk pandai mengangkat tangan menjawab soalan cikgu, yong cuma diam terkesima. malunya. yong pun mahu sama hebat juga, bingkas mendapat jawapan serta-merta dari nota-nota ringkas pada bahan rujukan macam orang lain.

tapi kata abah -- masa abah sekolah dulu buku teks sekolah yang ada itulah saja diselak setiap hari. taklah berkurang pandainya.

yong diam.

apakan daya, kerana gejolak hormon yang membikin singkat akal untuk menaakul salah-benar, esoknya yong beli juga buku-bukunya. barulah setanding, barulah segak tak kalah dengan kawan-kawan yang punya ayahbonda bergelar datuk-datin atau tan sri-puan sri. sambil itu seronok dapat berlumba jadi yang pertama bangun ke papan hijau mengisi jawapan. puas melihat cikgu senyum sambil berkata -- "good, very good, fairuz."

wah, bangganya menjadi orang yang dipandang cerdik ya?

tapi bangga itu tak ke mana, tak kekal lama.

suatu malam mama punggah almari buku yong yang penuh dengan buku rujukan dan latihan-latihan tambahan. mama tahu harganya bukan murah. lagi dengan bekal belanja harian cuma RM2 masa itu, mustahil boleh mengumpul harga buku-buku yang cecah RM10 setiap satu.
sebenarnya yong tahu, hati kecil mama tak pernah bohong. mama tahu yang buku-buku itu yong beli dengan wang yang diambil dari celah tas tangan mama.

wang yang diambil tanpa izin mama.

ceteknya akal waktu itu, meranapkan lagi hati mama. malam itu mama diam lagi.

barangkali kerana ilmu yang ditimba tidak direstui mama, PMR cuma dapat 3A.

kali ini mama jadi sinis. membuang hampa dengan sikap tidak peduli lagi. menjadi lebih dingin. kalau mama telah mencerca kerana merasa terpedaya, yong tak upaya mengubah apa-apa. kerana tahu, yong menghampakan semua orang. kerana tahu, bila pulang dan khabarkan yang benar jadi mungkin akan dibelasah abah. yong takut. yong ingat lagi abah pukul sakit. bila malam tiba dan meletak kepala di bantal diiring sedu tak mampu lena. kepala sakit dan bengkak dihantuk ke dinding.

tapi kali ini abah lebih tenang, rendah suaranya menghela "tahniah. yong dah cuba, kan?"

ada rasa lega, cuma yong lebih sedih memandang mama yang kian membekukan diri.

naik tingkatan 4, yong lari dari kelas sains. yong tak suka matematik, tapi mama marah. mama lebih marah bila tahu yong masuk kelas akhir sekali, kelas yang ada pendidikan seni. mama kata seni lukis tak bawa rezeki, di tepi jalan pun orang boleh pandai melukis tapi tak kaya juga.

tapi yong degil kan, mama? yong hancur luluhkan hati mama lagi.

masa tingkatan 4 dan 5, yong cuba lagi majukan diri. ingat lagi abang konduktor bas mini 20 yang menegur ralitnya yong membuat latihan matematik, walhal kepala sudah naik pening kerana bas bergegar sepanjang jalan.

yong juga mahu jadi pandai macam mama abah mahu. tak apalah pening yang nanti baik itu.
tapi matematik memang macam badi, susah betul nak membirukan merah pen pada markah di buku laporan peperiksaan.

mama tak doakan yong sama kah?

bila SPM dapat pangkat 1, yong menangis di riba cikgu wahida. mama ingat lagi dulu betapa menyinganya mama bila kita berselisih kata dan yong kalut menelefon cikgu mengadu sedih. tapi masa itu mama tak faham, mama selalu kata yong tak pandai. bila dapat keputusan SPM pun mama kata nasib baik tak tergelincir ke pangkat dua. yang dapat A1 pun cuma 1 - pendidikan seni.

cikgu wahida kata -- baliklah, tentu mak awak bangga. awak dah buktikan awak berjaya dapat pangkat 1. awak boleh sambung belajar lagi.

tapi mama bagitau semua makcik-pakcik dan tok di kampung, itu cuma nasib baik.
sedihnya hati masa itu.

di tingkatan 6 rendah, cikgu wahida belikan borang UiTM. dia pening memandang yong yang kusut tak cemerlang dalam ujian penggal. sedang masa itu, yong tengok mama semacam ketawakan nasib yong tak terpilih ke universiti.

cikgu wahida sua borang UiTM suatu petang itu -- isi ini, dan pergilah. ini bukan tempat kamu. cikgu tahu. kalau bukan bidang sains yang layak untuk kamu seperti yang mak kamu harapkan, buktikan kamu juga boleh jadi 'orang' dengan apa yang kamu ada.

kerana kecil hati tak jadi anak harapan mama lagi, yong lengkapkan semua maklumat pada borang, sambil berdoa minta dapat peluang sambung belajar dan jauh dari mama.

teruk betul yong masa itu.

eh,
kenapa masa yong dapat surat tawaran ke UiTM machang, mama jadi susah hati?

masa yong turunkan semua beg dan baldi baru dari perut kereta, yong tengok mama seka air mata di hujung pipi.

bila mama peluk yong waktu itu, semacam tersedar dari igau ngeri yang sudah bertahun lama -- mama sayang yong rupanya.

mama juga boleh ada rindu pada yong, tidaklah benci mana.

rupanya senyum suka waktu itu tak bertahan lama juga.

aduh, adat dunia. bila hati mula merasa ingin berpasangan dan dipuja si teruna, langsung tak hirau lagi pesan mama.

waktu dingin kita pun berulang lagi.

tamat belajar dan jadi pensyarah sambilan di kampus sama, yong pasang tekad tak ingin toleh ke belakang lagi. walaupun masa itu mama bising-bisingkan supaya kembali ke kota batu kuala lumpur, bekerja hampir dengan keluarga.

entahlah, barangkali kerana memang tak direstui mama, ada saja aralnya.

abah kemalangan masa itu, dan yong akhirnya pulang.

tawaran diserapkan sebagai pensyarah tetap terpaksa ditolak ke tepi. langsung bekerja di kedai fotokopi mengisi waktu, dan permohonan-permohonan kerja lain senyap tanpa berita.

hati jadi marah bila mama menyalahkan ijazah yang kononnya tidak laku. padahal kerja tetap di negeri orang ditolak mentah kerana rasa tanggungjawab pada keluarga waktu itu.

mama tak nampakkah? kenapa mama masih menuding jari seolah yong tak pedulikan belanja besar sepanjang di universiti, semacam mensia-siakan kudrat mama abah mencari rezeki menanggung belajar kami?

yong dah cuba, mama. soal ini memang menunggu ketetapan dari Tuhan, kita kan cuma manusia yang telah berusaha.

yong tahu mama punya harapan supaya yong juga digajikan oleh kerajaan seperti abah dan mama, senang terjamin hingga lewat usia dengan wang pencen yang tak putus.

dan Alhamdulillah, tawaran menjalani latihan perguruan diterima senang hati. mama pun tumpang seronok kan?

lihatlah mama, semuanya yong telah langsaikan untuk mama.

pangkat 1 SPM -- dapat.
masuk universiti -- dapat.
ada ijazah -- dapat.
kerja kerajaan -- dapat.

syukur, Alhamdullillah.

tetapi, bahagia itu tidak pernah kekal lama.

bila suatu hari yong khabarkan niat mendirikan rumah tangga, dan mama tentang sehabisnya.
ah, barangkali sudah tidak berjodoh yong dan dia. tak perlu diungkit lagi kerana dia juga sudah selesa menjadi suami yang setia.

setelah semuanya yong dapatkan untuk mama, tidak juga direstui permintaan yang satu itu. barangkali tidak cukup molek orangnya di mata mama, mungkin bimbang dia masa itu tak akan mampu menyara anak mama ini.

sayangnya mama pada yong.

sayang benar hingga tak pernah disebut lagi soal niat menamatkan zaman bujang dengan sesiapa. yong juga telah terima, jika inilah yang membahagiakan mama dengan melihat anak-anak masih berkumpul di depan mata tanpa perlu bimbang entah berkahwin dengan si durjana yang cuma bermuka-muka di awalnya dek ingin memenangi hati semata.

semua itu dan bertubi lagi dugaan yang tak mahu henti. kita semakin garang sesama kita. menyimpan marah dan kecewa yang tak mahu padam. yong keciciran dalam kerjaya, melarikan diri dari sakit yang lebih mengganggu dari fokus pada masalah yang sudah sedia ada.

redha saja. kita semua mencuba redha. keluarga kecil ini hebat dan bergaya, pedulilah pada jahanam yang datang mengejek saban masa. kita baik saja.

tapi mengapa kita masih membisu seribu bahasa akhirnya?

................


"A mother is a mother still,
The holiest thing alive"
-- Samuel Taylor Coleridge


ini bukan marah, ini bukan hampa.
andai saja semua ini boleh jadi bahan bicara. tapi kerana ia mustahil, jadi --

aku lirik wajah tuamu dengan cinta, wahai mama. rehatlah kerana malam tidak lagi tinggal panjang.

selamatlah pada setiap hari!

Monday, May 09, 2011

hidup yang cukup semua.

ada kerjaya tetap, ditinggalkan.
ada peluang untuk membina kerjaya tetap, ditinggalkan juga.

masalah sebenar? diri sendiri.

duit memang tak akan pernah cukup.
cinta memang bukan misi terkini.
masa depan saja yang selalu penuh dengan harapan dan keinginan.

tetap, di hujungnya aku mahu merasa bahagia. menikmati hidup yang cukup semua.

CUKUP -- sekarang definisinya apa?

cukup makan, cukup pakai, cukup belanja, cukup kasih sayang dari semua -- cukup-cukup ada jadi sudah cukupkah?

cukup itu, sekadar ada. lengkap. memadai.

apakah salah pula kalau berlebih? kan boleh dikongsi beramai. mengutip token penghargaan dari Tuhan atas nama 'sedekah', bagus tidak?

eh gila apa. namanya kan dijanji pahala, tentulah bagus!

tapi,
kerana aku tak mampu. jadi yang cukup makan pakai pun oh sudah redha berganda-ganda.

yang selalu berlebih, barangkali sayang untuk semua yang mahu menerima. atau kudrat yang dikurnia supaya mesti guna sungguh-sungguh demi mahu mencari cukup untuk makan dan pakai.

selain pahala percuma dari senyum dan senangkan hati sekeliling yang mahu pandang? hee

sungguh, kadang-kadang aku terganggu bila diprovok dengan persoalan cukup atau tidak ini. sebab normaliti untuk orang seusia aku -- memilik aset tipikal dalam bentuk kereta, rumah apatah lagi rumahtangga, ini semua tidak berlaku pada aku. langsung seperti biasa, balik kampung pada musim perayaan adalah kengerian yang selalunya terpaksa aku lalui paling tidak untuk setahun sekali.

tapi apa dia yang mahu dicari untuk melengkapi definisi 'cukup' itu sendiri?

pagi semalam abah masih kalut-kalut mendaftar subjek untuk semester baru. nyata 'cukup' untuk definisi abah, ilmunya masih belum cukup. tak habis lagi mahu menimba selagi kudrat berlebihnya masih ada.

aku sendiri, masih merasa yang ilmu pada penilaian gulung kertas itu masih belum cukup.

amalan untuk kehidupan yang satu lagi, lebih sakan tak jumpa cukupnya. Astaghfirullah.

jadi, balik pada soalan asal tadi -- bagaimana yang dikatakan 'cukup'?

hidup yang cukup semua, ertinya SEMPURNA.

dan manusia, fitrahnya tidak sempurna.

jadi mari kita redha pada setiap usaha untuk mencari cukup dan sempurna. sekurangnya, berdikit juga token berharga yang bernama pahala pada setiap kata -- Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

masih terang mata, masih bernafas, masih waras fikir pada momen aku mencoret ini.

ya, cukuplah.