Wednesday, August 01, 2012

mengalah itu mustahil

pada banyak masa, kita telah berusaha segala yang terdaya tapi dikalahkan oleh perkara-perkara yang datang tiba-tiba. selanjutnya dilihat sebagai si Gagal yang hanya lantang berkata tapi jadinya tidak juga.

itu sebab, suatu ketika aku memilih untuk diam dan tidak dipeduli walau siapa. anak-anak didik dari zaman mengajar juga aku tinggal biarkan. bimbang kerana sedar diri yang jauh dari sempurna untuk dipandang selaku mentor yang baik.

tapi tuntutan kehidupan harus dilunaskan. tanggungjawab untuk mak abah dan keluarga mesti dilangsaikan. anak-anak bekas didik tak berhenti meruntun dari cari, semata kerana melihat aku yang terlalu berani menjalani hidup secara tersendiri.

memang tak mudah, bila sekian tahun kau diam tak dikisah dan tiba-tiba tercampak di tengah ramai.

ada kekok. ada aneh. ada segan, sipu dan silu.

canggung.

malang sekali segala kriteria-kriteria tadi sangat kontra dengan peribadi yang harus ditayangkan aku bila berada dalam kasut yang kini. lantas aku jadi kritikal, terlalu berfikir dan sinis.

dalam kesimpulan yang lain -- aku hanya membuang masa. buang masa aku dan buang masa orang lain juga.

tapi ini bukan bererti mengalah. sesungguhnya akur masih banyak yang lemah dan salah. barangkali harus tenang dan diam sebentar dari menyanggup pada segala yang diserah.

sebab aku masih tergagau dan mentah. pencarian merit masih belum bernoktah. selalu bermohon supaya tidak rebah dan merelakan semuanya musnah.

musnah sekali lagi, seperti yang sudah pernah jadi.

aku refleksikan begini, peluang selalu datang seumpama pilihan haluan yang datang dari banyak simpang. tapi terkadang kita barangkali jadi terlalu tamak, gopoh atau terlalu mahu mencuba sedekat sempurna seperti yang orang lain jangka.

kesudahannya, tidaklah merana. cuma penat rasanya, apatah lagi ditebak depan mata dengan mesejnya -- sudah-sudahlah mencuba. kerana anda tetap si Gagal yang hanya lantang berkata tapi jadinya tidak juga.

aku yakin jalannya sudah tidak salah, cuma,
daripada jalan kaki, barangkali aku sepatutnya berbasikal atau mudah-mudahkan saja dengan berkereta?

Wallahu'alam.

Monday, April 09, 2012

#KeepCalm

Assalamualaikum.

It's been too long, kan? Sampai aku putus punca untuk memulakan.

Sepanjang aku tinggalkan buku hitam ini, ada 9 komen yang minta verifikasi. Ada yang melulu, ada yang hulur perkongsian rasa. Manusia dan ragam, begitulah. :)

Sampai detik ini, aku akhirnya kembali berjawatan. Pengalaman hidup yang semakin menarik, pergaulan dan lingkup rakan-rakan yang semakin berkembang. Segalanya aku tekuni dengan asyik dan teruja selalu.

Kesal sudah mati.

Lewat titip aku buat Mama, ayah angkat bekas pensyarah lebih sedekad lalu singgah meninggalkan pesan. Cukup bertuah rasanya selalu dikelilingi ingatan dan nasihat dari orang-orang hebat.

"As salam. Saya terlambat membaca entry blog ini. Sekarang saya mula jelas mengapa dan kenapa perkara yang berlaku dan berlalu menjadi igauan. Saya gagal menyelami dan memahami dasar cerita. Tetapi saya percaya, kekuatan kita hari ini datang daripada kebolehan kita menempuhi cabaran dan dugaan semalam dan hari sebelumnya. Kejayaan yang dikecapi hadir dari jiwa yang jujur dan ikhlas dalam menempuh cabaran dan dugaan itu. Akhir sekali, hayati maksud kalimah Allah, yang bermaksud "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang"."


Tidak ada yang lebih benar dari itu. Terima kasih En Sabri.


Jadi --
#KeepCalm , smile, and just live.