Wednesday, September 29, 2010

mencari tidur yang lebih tenang.

sudah hampir dua bulan dan masih tertatih-tatih memahami rentak di tempat kerja. semakin hari semakin mencabar.

semakin buat tidurku kembali tidak lena.

lena yang kalau dapat pun, selang sejam dua akan terkebil-kebil memandang timbun baju yang meneman tidur di atas katil.
(nota : saya gayat tidur seorang.)
(nota lagi : saya masih tidur seorang.)
(nota lagi dan lagi : sampai bila mahu tidur seorang? jeng-jeng-jeng.)


tidak, aku tidak mahu mengeluh. cuma aduhai kecamuk dengan pelbagai kerenah menguruskan manusia yang tentu-tentu Tuhan sudah beri akal.

iya, mereka tidak ada masalah menggunakannya. tapi lebih banyak yang salahguna dari pandaicara. jadi, untuk menganjak dari suatu kebiasaan bukan hal yang mudah.

tapi ia cabaran yang seronok, dan ganjarannya bukan pada ukur bayaran gaji yang besar atau kecil.

pahala. InsyaALLAH.

oh sambil menaip ini terpandang kelibat tuan muda dari metropolis San Francisco di maya YM. lama kita tidak bicara secara bijaksana, tapi sayang aku tak berani mahu menyapa.

nanti langsung! waktu tidur yang didamba lupus dalam leka berlawan hujah.

aku tunggu kamu pulang saja, sahabat! ;)

buat yang terakhir sebelum memejam mata, aku cuba cari damai dari pemilik suara yang jauh di mata.

......

aduh, sama hancur! resam pencari ilmu yang sedang bermatian mengejar tarikh akhir dan hari perbentangan.

selamat malamlah kamu, sayang. sekurangnya aku jumpa sebab untuk tersenyum selepas hari yang cukup tunggang-langgang. =)

.......

jadi bagaimana ini?

(tepuk-tepuk bantal)
Hai Malaikat penjagaku kiri dan kanan, semoga mudah bangun tidurku selang beberapa jam yang bakal datang.

Bismikallaah humma ahyaa wa amuu tu.
Dengan namaMu jua Ya Allah, aku hidup dan aku mati.

tenanglah aku, mudahlah pejamku.

selamat!

Sunday, September 26, 2010

bila kau jatuh cinta dan ia buat kau sakit jiwa

oh aku pernah berperi tentang belahan hati yang satu ini, bagaimana dia mengisi remuk jiwa aku yang ditinggal mati hampir empat tahun yang telah pergi.

cinta main-main dan suka-suka yang akhirnya, pada hari ini asal pantang dia diam sunyi tentu saja aku mencuit supaya setidaknya, aku dengar juga suaranya menyambut rinduku dari hujung corong telefon sana.

lumrah bila berjauhan dan hasutan naluri itu tak pandai berdiam, setiap hari, setiap minit dan setiap saat.

rindu itu sakit bila merasa terlalu ramai yang sedang cuba menghimpit dan mahu cuba juga mencubit hatinya yang sudah tinggal sedikit untuk aku. sudah tinggal sedikit setelah dikongsi bahagi sama ayah mama, adik-beradik, pakcik makcik dan sepupu-sepupu, belum lagi dengan sahabat-sahabat dan kawan-kawan.

kuatlah aku, kuatlah.

hai api cemburu, padamlah.

peganglah pada katanya, wahai diri. kasihan dia memujuk rajuk aku semata tergoyah dek khabar nakal di angin lalu. yakinlah juga pada janjiNya yang langsung tak putus Mengasihani.

barangkali aku yang tak pandai mensyukuri pada apa yang memadai? kenapa aku terlalu gentar pada dulu yang menghantui?

ini cinta yang buat aku derita, manisnya cuma terjumpa bila dia di depan mata.

sungguh aku juga sesekali cuma si tipikal yang mahu merasa ada yang punya.

dan itulah perkara yang sedihnya, kerana dalam tiap yang indah tetap jua ada hodoh menjelma. inilah hakikat walau kelat dan tak sekali ingin kau ingat!