Tuesday, March 24, 2009

bagaimana kau meluah cinta?

bukan.

bukan cinta sang uda dan dara. bukan.


ini cinta yang tidak berakhir dengan rajuk dan benci. ini cinta yang tidak tergadai dengan belanja harta. ini cinta yang bukan tertanding dengan lemah kalah dek pujuk mesra dan jeling manja.


ini, cinta dari seorang anak kepada ibunya.


ini cinta yang sudah bertahun-tahun tidak terlampias dengan kata sayang atau peluk kasih, cuma diam di dalam hati.


ini cinta yang melangit ke syurga, tak putus walau kapas dan kapan membalut tubuh di jauh liang lahat.


aku merasa bagai orang yang rugi kerana tidak berjaya memenangi cinta seorang bonda.


lebih luka kerana dia selalu di depan mata, sesekali makan semeja, tidur cuma selang sepintu bilik -- tapi sukar benar melihat dia tersenyum, sekurangnya memperlihat rasa senangnya mempunyai aku sebagai anakanda.


kenapa mama?


yong tahu, mama sayang yong kan?

yong tahu, mama masih doakan yang terbaik untuk yong kan?


mama tidak benci yong kan? walaupun dalam banyak ketika kita cuma berselisih bahu di dapur tanpa suara.


tanpa senyum.


...............

selamat hari lahir, mama.

:~<

Thursday, March 19, 2009

sekolah itu syurgamu.

maka disebutlah oleh Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim --

"ada guru menganggap fokus pendidikan adalah untuk lulus dalam peperiksaan. itu bukannya pendidikan.

pendidikan sebenar adalah melatih pelajar kita untuk berfikir."

sebelum itu, mari kita berkenalan dengan tuan profesor ini secara agak ringkas dengan bantuan Wikipedia.
Professor Emeritus Dato` Dr. Khoo Kay Kim (lahir pada 28 Mac, 1937) ialah seorang ahli sejarahwan terkemuka di Malaysia dan mendapat kehormatan Emeritus dari Universiti Malaya. Beliau dilahirkan di Kampar, Perak, Malaysia. Beliau berkelulusan B.A. 1959; M.A. 1967; PhD. 1974 dari Universiti Malaya. Beliau mendapat Sarjana kedoktoran (PhD) berdasarkan tesis beliau yang bertajuk The Beginnings of Political Extremism in Malaya 1915-1935 (terbit pada 1973) yang diseliakan oleh Prof. Kennedy G. Tregonning, yang kemudiannya bertugas sebagai seorang professor sejarah di Raffles College, Singapura. Tregonning juga adalah bekas pelajar Universiti Malaya.

Khoo Kay Kim juga merupakan salah seorang penulis yang merangka Rukun Negara.

..............
baik, tulisan ini tidak bermaksud aku menjadi pro kepada mana-mana pandangan. aku cuma mengulas bersandarkan kepada pengalaman juga keperluan aku sepanjang aku telah dan pernah menjadi anak sekolah dan bagaimana ia membentuk pendekatan aku setelah aku menjadi seorang guru, atau lebih jelas lagi -- seorang pendidik.

zaman sekolahku berlangsung di convent bukit nanas, bermula 1987 - 1998 (darjah 1 - tingkatan 6 rendah). 12 tahun yang sangat aku nikmati sebagai seorang pelajar. masa-masa sekolah yang padat dengan kerja dan tugasan, selain aktiviti-aktiviti yang banyak memakan waktu kelas.
asal tiba hari-hari sambutan tertentu (hari guru, hari anugerah cemerlang dan sebagainya), seluruh sekolah terhenti dengan aktiviti pembelajaran dan seharian itu duduk di dewan menyaksikan ucapan dan persembahan. belum kira bila tiba minggu bahasa, atau menjelang hari kantin, hari keluarga apatah lagi. seluruh sekolah bertungkus-lumus bekerja. sebulan mendekati hari sukan, dewan dan padang penuh dengan rumah-rumah sukan berlatih sorak.
semuanya ditekuni dengan rasa untuk melakukan yang terbaik dan diakhiri dengan rasa bangga.
walaupun banyak waktu pembelajaran dikerat-singkatkan, aku rasa tidak terjejas langsung usaha menuntut ilmu. hasilnya, keputusan peperiksaan UPSR, PMR, SPM mahupun STPM sekolah masih antara yang terunggul dalam negara. semacam kemestian selepas sibuk-sibuk itu supaya jangan lalai mengemaskini pelajaran yang tertinggal, paling penting mendapat 'update' dari cikgu-cikgu yang berkenaan.
ini aku lihat berbeza bila aku menjadi cikgu. mengadakan upacara-upacara seperti itu seperti satu sumpahan. pelajar akan hilang tak ketahuan, disiplin akan tak terkawal. separuh hari aktiviti dan dipaksa masuk kelas semula, sudah tentu -- tak semua yang kembali di meja tulisnya.
yang aku hairan, kerenah 'ilmu ghaib' ini semacam suatu kebanggaan. yang ponteng itulah yang ramai pengikutnya.
subjek aku, paling ramai yang suka menghilangkan diri. tambahan semasa sibuk menyiapkan tugasan folio. dalam ada yang sudi bersusah-payah menyiapkan ke hujung hari, ada yang langsung tak sampai ke studio pendidikan seni. bila markahnya rendah, mencaci aku tak berhenti.
katalah apa sahaja -- apa kau bangga melihat keputusan SPM di tangan kau sekarang?
benar subjek elektif tidak sepenting subjek teras, tetapi itu yang memberi pilihan jurusan kepada kamu. menjadi yang lain dan berkelebihan. cuma yang aku dapati, rata-rata yang mendabik dada tak tentu hala itu, elektif pun tak diendah, diberi alasan "subjek lain lebih penting", terasnya pun hancur lebur. trio BM-BI-maths terlungkup sia-sia. sejarah apatah lagi, tertimbus tinggal kenangan. sains pun tak terbawa, agama pun tertiarap sama. elektif-elektif pendidikan seni/tasawwur islam/perdagangan -- nipis sahaja. atau ada yang sebenarnya jagoan melukis, akhirnya di SPM dapat 'T' - tidak hadir.
seronok?
sudahnya terpaksa mengulang semula subjek-subjek teras. itupun kalau memang disungguhi dengan rasa kesal.
bila sudah tamat semuanya, baru merasa diam dan mahu berfikir.
bahayanya bila tiba di 'ground zero' seperti ini, siapa yang akan membimbing anak-anak ini supaya jangan tersalah pilih haluannya?
itulah sebabnya, kita lihat kembali komentar dari Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim tadi -- "pendidikan sebenar adalah melatih pelajar kita untuk berfikir."
berfikir sebelum memilih untuk mensia-siakan peluang menjadi yang lebih baik.
berfikir sebelum menolak setiap kesempatan mengutip ilmu dari seorang cikgu.
berfikir sebelum akhirnya, setiap tindakan yang diambil dengan rasa bongkak dan ego itu tidak memakan diri sendiri.
aku suka melihat setiap pelajar itu sebagai diri aku sendiri, menilai kelebihan dan kesungguhannya. jika dia berkemahiran, barangkali harus dipesan supaya seimbangkan pencapaian subjek-subjeknya supaya tidak terkandas haluan hidupnya nanti. atau kalau yang melihat subjek pendidikan seni ini suatu paksaan, maka mungkin memadai untuk aku pastikan jangan sampai terlihat gred 7D, 8E atau 9G pada keputusannya.
itu -- petanda yang kau pemalas.

oh ya, sebelum kau cebik padaku -- pelajar-pelajar ini bukan dari kelas-kelas hadapan. malah tidak dipandang pun oleh segelintir cikgu-cikgu lain sebagai yang akan mempunyai masa depan.
tentulah, kalau kau pandang berapa banyak A nya dalam peperiksaan penggal, mungkin tak berdiri sama tinggi dengan 'sweethearts of the school', cuma aku persoalkan -- layak kah kau membanding pelajar aliran sains dengan aliran sastera? kedua-duanya membekal kekuatan dan kemahiran yang tidak sama.
bagi anak-anak ini, walaupun telah usai zaman sekolah, aku harap kelebihan yang ada tidak disia-siakan.
kerana setiap orang berbeza, kekuatan diri sendiri cuma kamu yang mampu gunakan sebaiknya.
dunia persekolahan cuma sekali, asal bijak mengatur langkah -- inilah syurga kamu sebelum ke 'sana'.
atau ia akan menyediakan 'neraka' dunia yang cuma lebih menyesat dan merosakkan.
fikir-fikirkanlah!

Sunday, March 15, 2009

menjadi yang lain.

keputusan SPM 2008 sudah diumumkan.
harus aku ucap tahniah kepada yang telah berusaha dan berjaya.
yang sedikit tercicir, ini belum titik mati kamu.

kamu belum kalah, belum lagi.
terlalu hijau usia kamu untuk mengibar bendera putih. banyak ruang untuk memperbaiki diri, asal saja mahu berusaha.

sekitar jamuan makan malam amal khusus bersama alumni sekolah malam tadi, banyak wajah-wajah yang dirindui datang menyapa.

walau ada juga yang sayangnya tak dapat serta.

dengan kelompok tingkatan 5 2008 ibarat 'anak pertama' aku, jelas sekali aku sangat mentah untuk ditakrif guru terbaik.

tetapi,
entah kenapa kian hari hati ini direnggut rasa ingin keluar dari pupa 'cikgu sekolah', menjadi terikat dengan kerja-kerja yang tidak terkontrak sebagai pendidik, tetapi lebih kepada kerani yang kalut dengan sistem fail dan pemantauan rekod.

aku kian tidak mengerti dengan sistem pengurusan persekolahan yang memaksa-maksa ahlinya menjadi tidak amanah dengan ikrar 'cikgu' itu sendiri.

di sini aku petik apa itu yang dilaung-laungkan Falsafah Pendidikan Negara :-

" Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. "

nah, lihat itu --- memperkembangkan lagi potensi individu.

yang nyata sekali, memperkembang potensi individu adalah usaha yang mustahil bila kita terlalu tertakluk kepada undang-undang ciptaan manusia yang menakrif guna hati batu dan minda tertutupnya.

langsung, menjadi akrab dengan pelajar boleh disalah erti sebagai --- gatal, mengada, dan segala yang bisa seangkatan dengannya.

juga, apa untungnya bila seorang cikgu dinilai kecekapannya hanya kerana pengurusan fail yang lengkap lagi tersusun cantik, menghantar buku rekod mengajar setepat jam 12.30 setiap jumaat dan kekerapan mengadakan pertemuan hati ke hati dengan pentadbir?

pergi mati semua itu.

jadi, bagaimana kamu mendokong usaha memperkembang potensi individu bila anak-anak tidak didekati dan difahami? bagaimana pula dengan yang diarah salin membuta-tuli tanpa ditekankan pengertian faktanya?

uhhh, untungnya menjadi guru-guru yang menyebar fakta. harus aku setiap hari dihujan sanjung puji dari seluruh semesta.

aku benci bila orang mencemuh dan memperkecil subjek pendidikan seni. mudah kerana 'suruh lukis je kan?'.

beginilah, dalam banyak masa aku terpaksa tunduk dengan kaedah peniruan. tidak semua pelajar mempunyai sikap positif dengan subjek ini (nota : kerana itu yang biasa dinyanyikan oleh cikgu-cikgu lain kecuali aku). tetapi, bila ada yang memberi kesungguhannya, adakah wajar untuk aku menghindar jauh kerana --- tidak wajar dan tidak perlu.

tidak wajar kerana, aku mesti jaga martabatku sebagai cikgu.
tidak perlu kerana, selain dia lelaki bukan muhrim, sesi berkongsi ilmu akhirnya akan menimbulkan suasana yang intim dan tidak berpatutan.

hadeh.

terakhir kali aku menghadap puan pentadbir, ini yang disumbat ke muka aku dengan arahan -- diam dan dengar ini.

1. "kamu ni, cakapnya banyak, kerja taklah seberapa."
--- oh ye, kerana pengurusan fail panitia yang tunggang-langgang itu?
beginilah, betapa senangnya hidup jika saya punya 5-6 ahli panitia lain yang boleh mentadbir setiap tingkatan 1-5. bukanlah asing pada makluman saya, bila seorang guru ketua panitia boleh mengarah ahli-ahlinya menyelesaikan seorang serba sedikit. jadi, jika saya sedikit tercicir, wajarkah langsung ditembak melulu sedangkan saya mengurus 6 aras tingkatan yang berbeza kerenah dan keperluannya?

2. "kamu ni, banyak sangat helah bela diri. susah nak dengar cakap orang."
--- kalaulah aku bisa tahu, cakap siapa yang sebenarnya aku tidak dengar. bila yang aku tidak faham dan cuba bertanya, semuanya dijawabkan "buat je, asal ada." bila yang sudah di"buat je, asal ada" dan sampai ke meja pentadbir, aku pula yang dipersalah ibarat si bodoh sombong. betul-betul fakap. bila aku kata, "tempoh hari encik / puan itu kata begini-begini-begini", dikata pula aku mereka-reka helah. fakfakfak.

3. "jangan rapat sangat ngan students"
--- kenapa, ada yang jeles kah? itu yang sebenarnya kan?

aku sudah bosan.

hendak pindah sekolah, aku tak punya alasan rasmi. mak ayah duduk serumah, tidaklah pula perlu berpindah ke kampung halaman. mengikut suami, jauh sekali.

mati aku begini.

menonton "freedom writers" di HBO, benar-benar menyentuh tunas rasa.
(baca selanjutnya mengenai filem ini di >> SINI. ia kisah benar seorang pendidik yang mendidik.)

aku tersepit dengan peraturan-peraturan cikgu tipikal sedang aku memahami kontrak kerjaku sebagai guru berlandaskan the so-called Falsafah Pendidikan Negara.

jika ia tidak penting, mengapa semasa ditemuduga lantikan guru dahulu aku diminta menyebutnya satu-persatu tanpa culas walau sepatah perkataan? malah diingatkan dengan kata - "hafal ya cikgu, sebab FPN inilah tunjang kerja kita."

nota di kaki : menulis semua ini dan aku jadi bingung tanpa keputusan. hati makin pedih, motivasi merudum.

hilang minatkah aku?