Thursday, December 09, 2010

manusia sempurna. (versi edit semula)

sempurna.

dalam erti kata sempurna. serba ada dan serba berdaya. serba lengkap tanpa cacat dan kurang. serba wangi dan serba indah. serba manis lagi serba mewah.

ayuh perihalkan semua ini dengan manusiawi.

bagaimana mungkin, bukan. sedang sisi kiri dan kanan tubuhmu sudah tidak sama simetri -- perasan, tidak?

iya, mata kiri dan kanan tidak sama besar. sepanjang tangan kanan dan kiri tidak sama sepadan saiz dan lekuk. begitu juga kaki dan semua alun tubuh yang siap berbentuk.

tapi tetap juga, kerana ia serba wujud jadi kita tersifat sebagai sempurna. terlengkap akal untuk kuasa fikir yang hebat dan tidak tersanggahkan. dicantikkan dengan hati nurani yang wujud ihsan.

tapi berapa ramai mahu guna bijaksana si akal?

berapa ramai TAHU guna kewarasan yang asalnya tidak dangkal?

dan lagi, berapa ramai yang pandai letak ihsan pada tempat dan kadar wajar?

di sinilah persoalan terencana, apa benar sempurna itu mustahil wujud dan ada?
atau kita yang sengaja memberi cela pada cantik baik yang Dia telah beri, menghilangkan sempurnanya segala sifat tadi? kenapa payah benar terpahat di sanubari yang kita sudah teramanah memegang panji sang khalifah?

apa, kufur nikmatkah kita?

bagaimana pula kalau nanti semua yang indah dan sempurna ini bakal direnggut malang atau masa? mampukah kita redha?

bila mata bulat bersinar tiba-tiba hilang cahayanya?

atau, kaki yang setiap hari melangkah laju ke segala destinasi ini, tiba-tiba disapan kenderaan di jalanraya yang tak ada simpati pada masa?

atau tanpa terjangka galak ketawa yang terhilai merata-rata langsung tiba-tiba jadi sunyi.

sekali lagi aku tanya -- mampukah kita redha?
atau nanti sibuk menuding jari menyalahkan keadaan dan orang lain semata?

sedangkan sebelum itu, semua sempurna yang sudah termilik tidak juga kita guna untuk memberi bakti yang sehabis daya pada sesama manusia, apatah lagi terkadang yang lima minit untuk lima waktu sehari dengan niat syukur terima kasih atas anugerahNya pun kita bikin sambil lewa.

mencoret semua ini dan dek rumusan aku memerhati.

terkilan memandang keletah anak muda yang suka biar jiwanya leka dengan dunia.

aku sekadar berpesan, langsung pula ia lahir dari tanggungjawab dan sayang yang melangit, tapi kalau dibalas jeling dan juih tak suka -- jadi apalah daya.

sekurangnya, aku telah cuba memelihara sempurnamu.

aku telah cuba.

aku sendiri sedang mengais sisa dari sempurna yang ada. membaik pulih dari kekalahan lalu. masih lagi. setiap hari.

apa perlukah sampai kau lalui kehancuran aku?

Friday, December 03, 2010

berikan sayangMu untuk aku.

dulu aku juga manusia tipikal seperti lainnya, merasa yang sayang itu cuma datang dari sesama manusia. bila tidak dipunya, mengeluh kalah. terkadang jaki lihat ada yang berpasang-pasangan sambil si tanduk merah menusuk hasut -- "Apahal kau, tak laku sangat ke?"

oh, itu dulu.

tapi kan selalunya aku berikrar -- setiap hari mesti jadi lebih baik dari semalam.

ikrar ini boleh saja jadi retorik semata, tuan-tuan dan puan-puan. tapi terpulanglah, kalau kau harapkan dunia yang mengubah semua jadi lebih baik maka tak perlu menuding salah orang yang kau rasa menghunjam kudrat sehari-hari!

haih, tapi sekarang -- iya tepatnya sejak dua bulan sudah dan berlarut semakin baik buat aku kian sedar -- semua sayang yang aku cari itu, telah selalu wujud untuk aku.

telah terzahir dari sekalian di sekeliling aku.
telah terbatin, hey aku masih bernyawa hingga ini -- saat ini!

Maha Suci Tuhan, Kau selalu Maha Pengasih.

Maha Pemberi. Maha Pengampun.

hebat bukan? sedang kita sesama manusia juga kerapnya telunjuk lurus kelingking berkait. (nahhh jangan bohong, tentu ada juga sedetik. Dia tahu isi hatimu walau terhasrat sebesar biji sawi!)

dari zaman dicaci-maki sebagai pengkhianat makan gaji tak reti diuntung, hidup bergelandangan bersepahan, mengasing diri dari keluarga dan 'kawan-kawan', bertimbunan hutang (yang masih berdikit-dikit aku usaha selesaikan), makan pakai seada dapat, semuanya ehsan orang semata yang aku harapkan.

semuanya bersandarkan orang.
dan si mamat yang aku sayang dan letak setia tanpa peduli itu. hai. bodoh betul. (aku laa!) kan dah kena lagi.

nah, sekarang aku tidak endah semua sudahnya.
apa lagi bentuk sayang yang aku cari?

kerana semuanya, jisim hidup ini sedang melengkapi -- kepingan-kepingan coklat manis yang tercair jadi satu blok padu, ditambah kekacang dan kismis.

begitu indahnya kehidupan bila kita mampu sedar semua ini.

di sebalik sapaan mesra anak-anak kesayangan dan sahabat-sahabat dikasihi pada setiap pagi, tengahari, petang dan malam, tak seharusnya aku lupa -- Jangan Lupa!

pada Dia Yang tak berhenti isi paru-paru aku dengan udara.
pada Dia Yang tak berhenti isi segenap urat darah dengan si merah saga.
pada Dia Yang tak berhenti isi akal aku dengan bijaksana.
pada Dia Yang tak berhenti isi hati aku dengan rasa sayang yang kaya --

supaya,

aku tak berhenti isi jiwa anak-anak dengan ilmu dan budi bahasa.
aku tak berhenti isi akal anak-anak dengan bijaksana yang sama.

ini kudrat yang Dia beri dari sayangNya setiap hari, supaya aku beri pada semua yang aku sayang di sekeliling aku.

sudahi dengan apa lagi? Syukur Alhamdulillah-lah! =D



menjemput anda semua juga, berikan sayang anda untuk anak-anak di
KL Krash Pad. mereka tak pernah lokek memberi sayang untuk semua yang mahu menyayangi mereka.

silakan?