Wednesday, September 24, 2008

aku rasa nak hantuk kepala ke dinding - bahagian 2

hari ini.

peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia - kertas Pendidikan Seni Visual - kod 2611/1 & 2611/2.

100 calon berdaftar, tak sampai separuh yang hadir. okelah, dah dia tak minat. daripada memekak dan mengganggu kawan-kawan lain, kemudian hantar kertas kosong yang cuma diisi di ruangan nama - itu lebih membuatkan aku geram (sebab pembaziran kertas lukisan).

ada juga yang hadir itu, terpaksa datang kerana tak dibenarkan ponteng atau tak hadir sekolah tanpa sebab atau kedaruratan yang lain. ini termasuk segelintir yang cuma datang untuk letak kepala dan lena di meja sepanjang masa peperiksaan.

aku sudah maklum. fenomena umum di sekolah ini.

tapi menarik, dengan masa yang terluang itu, aku menerima surat cinta ini dari 'A. Samad Said'.



Di sini aku belajar bahawa
Yang terbaik adalah yang pandai mengampu.

X-m adalah untuk orang-orang
Yang terpilih dan bukan untuk semua
pelajar.

Yuran tahunan xm yang aku bayar
Sekadar untuk cukupkan syarat. dan
bukan untuk mengambil peperiksaan.

Di sini aku belajar untuk belajar,
menjadi seorang pelajar, dan diajar.

Walau bagaimanapun,
aku hanya seorang pelajar.
tiada hak untuk bersuara;
dan tiada kuasa untuk
melawan.

Terima kasih
cikgu.
* x-m / xm = exam.
berkali-kali aku membacanya.
kan lebih mudah jika tidak bersikap baling batu sembunyi tangan?
=<

Friday, September 19, 2008

aku rasa nak hantuk kepala ke dinding. bahagian 1.

elok aku balik dari Giant, ada sms di P1 ku.

"akom cikgu peperiksaan seni bila" - S****e S****l.

bangkai betul.

dahlah bagi salam tak semenggah - pantang sungguh, kalau abis nak pendek kan kata pun tulislah Salam. akom tu hapa? ko tau tak maksudnya??

mengapa sukar benar mencoret sapaan beriring doa - Assalamualaikum.

Salam sejahtera ke atas kamu. benar sungguh Tuhan menjadikan setiap sesuatu itu bersebab dan bermaksud yang tidak lain dari kebaikan semata. tapi yang jelik itu juga kita puja. Wallahu'alam.

kenapa, kerana ia tidak moden? bak sinis anak murid yang pernah tertangkap di telinga - "zaman dah berubah cikgu..." sambil bibir hitamnya menjuih.

aku rasa nak hantuk kepala ke dinding.

lepas tu, si bangkai ini boleh tanya aku - peperiksaan seni bila?? atau yang sepatutnya aku faham ialah dia bertanya bila kertas 2 pendidikan seni visual untuk peperiksaan percubaan SPM nya akan berlangsung.

mangkuk.

dah dua minggu ko mengharung peperiksaan, langsung tak ambil tahu peperiksaan apa pada hari apa?

aku dah sampai di tahap - malas hendak ambil tahu.

malas hendak beria-ia menyuap, sedangkan yang tersuap selama ini pun diluah semula, atau dipaksa-paksa telan kerana aku menjegil mata.

dan di belakang menyeranah aku kerana "cikgu fairuz poyo. bajet cun pulak tu."

aku rasa nak hantuk kepala ke dinding.

aku ada 100 orang calon yang didaftar untuk kertas pendidikan seni visual SPM. 3 komponen penilaian - Kertas 1 (50 soalan objektif - 25 markah), Kertas 2 (menggambar / gubahan fikiran - 25 markah), Kertas 3 (folio dan produk - 50 markah).

dari Tingkatan 4 2007 sudah aku maklum dan perihalkan kewajipan menyelesaikan ketiga-tiga komponen. paling utama Kertas 3 yang proses kerjanya dinilai bermula Februari hingga Julai 2008. benar, aku terima hakikatnya tidak semua faham mengapa mereka didaftar untuk menjawab subjek ini. benar juga, aku terima hakikatnya kerana konon kata subjek ini paling mudah jadi "anak-anak istimewa" yang sedikit tergelincir semasa PMRnya akan jadi tikus putih aku.

sama ada dia akan rela, menerima, mungkin juga sedar diri.

atau membantah dan menjaja sana-sini yang "saya dipaksa mendaftar subjek ini. tanpa pilihan. tanpa kompromi."

anak-anak, ini rezeki terbentang depan mata. benar, kamu mungkin tertakdir tidak cerdik. jadi mengapa sempitkan lagi pintu kurnia yang Tuhan telah buka luas ini?

cuma kamu terlalu sayangkan kudrat tulang empat kerat itu. juga ceteknya memikir dan mencipta sebuah cita-cita.

aku kerap tanyakan mereka - "siapa kamu 10 tahun akan datang? cuba sebutkan. impian? cita-cita?"

dan mereka cuma tersipu. terkesima.

"lambat lagi laa cikgu."

aku rasa nak hantuk kepala ke dinding.

lambat ya. aku dulu pernah duduk di bangku sekolah juga. 10 tahun dulu juga, sedang di Tingkatan 6 Rendah, sibuk bergaduh dengan mama kerana aku berkeras hendak ke UiTM untuk jurusan Seni Reka, sambil dihasut guru kelas yang telah sama di Tingkatan 5 dan menggeleng kepala melihat aku di Tingkatan 6 sambil berkata - "ini bukan tempat kamu, Fairuz."

kerana baik budi dan luhur bimbingan Pn. Wahida Abdul Wahid itulah, aku cuba juga tegak berdiri di hadapan kamu hari ini, walau sudah berkali-kali tempang disinggung kamu yang memang tak ingin mengerti.

beban menanggung budi Pn. Wahida Abdul Wahid itu, aku rasa cuma akan terbalas bila aku akan seupayanya membimbing kamu, sehabis jerih akan aku cuba.

tapi,

diminta menyalin nota - buku tak disedia. tak sempat disalin.

ok, aku cuba pula memujuk sekolah supaya boleh difotokopi latihan dan nota (pendidikan seni tidak menggunakan buku teks khas seperti subjek lain). sampai diperli-perli pembantu am di pejabat - "makan kertas ke?"

siap fotokopi, bersengkang mata mengepil tiap helai bersama. ada 20 helai, 20 helai aku susun dan kepil kemas. 20 kertas A4 x 100 set = 2,000 helai, 100 kali menekan picu stapler (belum masuk kira yang ditanggal semula kerana tidak kemas dan segala masalah lainnya).

kemudian dari kelas ke kelas aku pastikan semua dapat edaran. minta ditampal dalam buku.

tengahari itu, aku jumpa helaian set 20 keping A4 di dalam laci meja, atau paling hina - sudah tersepuk di lantai dengan cop mohor tapak kasut si setan gondol.

esoknya aku tanya kembali - "mana nota yang saya beri semalam?", "hilang aaah cikgu...!!". "ini, ada yang saya jumpa di lantai semalam?".

dan tak siapa yang mengaku. peperiksaan dijawab tembak sesedap rasa. siap ada corak bunga atau selirat macam aturan DNA itu.

aku rasa nak hantuk kepala ke dinding.

aku kira aku sedang di tahap paling kejam sekarang ini. lebih 50 orang tidak menyelesaikan Kertas 3 untuk SPM mereka.

aku pula diugut Unit Kurikulum dan Lembaga Peperiksaan Malaysia supaya memastikan mereka selesai kerana komponen itu wajib siap. wajib lengkap.

bagaimana? bila semuanya mentah-mentah menjawab di muka Penolong Kanan Hal Ehwal Murid - "saya tak mau subjek ni. kenapa saya kena buat. kan sistem sijil terbuka."
atau anak Melayu, lintas tepi aku buat sombong tuli. silat, konon.

separuh gila aku, Fadhil, Md. Nor dan Naqiuddin kerjakan juga. sambil ditolong serba sedikit dek Affa, Farizal,Faizal, Azri dan Zulfikar. dan pakat tutup mulut, lantak apa nak jadi sambil terima kasih sudah tolong selamatkan aku, sekurang-kurangnya.

mujur juga Ketua Pentaksir Kawasan sangat bertimbang rasa. setidaknya ada juga yang memudahkan perjalanan hidup seharian.

selesai itu, dan aku pun mensibukkan diri ke padang Pusat Kokurikulum JPWP, Jalan Cochrane. mengabdi diri di bawah terik matahari demi negara kisahnya. sebulan lebih menghadap 3,000 pelajar untuk sambutan Hari Kemerdekaan ke-51.

sebenarnya, alasan supaya aku lupa masalah yang terlambak di sekolah.

habis semua sibuk-sibuk itu, Ramadhan menjelma, dan anak-anak Tingkatan 5 memulakan peperiksaan percubaan SPM. awal-awal aku saring nama-nama yang telah hancur ranapkan hati aku, yang tak peduli ada sahabat hingga ke senja masih di sekolah kerana nak menyelamatkan bukan saja aku, tapi juga pengetua, dan sudah tentu sekolah.

kerana nanti - sekolah dipersalahkan, pengetua disoal jawab, dan aku ditujah, dijuih.

aku rasa nak hantuk kepala ke dinding.

dan bila soalan Kertas 2 diedar seminggu sebelum peperiksaan, ada yang konon terpinga - "kenapa saya tak dapat, cikgu?".

"kamu kan tak buat Kertas 3, buat apa nak ambil Kertas 2 & 1?"

pagi tadi, aku bahagikan pula panduan melakar supaya calon-calon yang lulus saringan aku boleh mula latihan serba-sedikit di hujung minggu ini.

"yang lain tu, dapat cuti tambahan. tak payah datang hari rabu masa kertas PS (Pendidikan Seni)".

ada mereka peduli? tidak, kecuali khairil fitri. dan han ding yau.

oklah, aku benarkan mereka cuba. sambil diingatkan juga walau lulus, mungkin, mereka tidak akan menerima sijil untuk folio.

rugi, bukan? dan khairil fitri tertelan-telan air liur menerima kekalahan. sayang, kerana dia antara yang berbakat semulajadi, antara yang berpotensi.

pendidikan seni, mudah. tetapi, jangan ambil mudah.

cikgu fairuz memang cuma akan diam, pandang saja bila kamu bersantai-santai buat-buat tak nampak yang kerja bertimbun berlambak. tapi, semuanya sedang dinilai. proses kerja, sahsiah.

menilai juga, tahap kemanusiaan dan ihsan kamu.

lagi aku tenung, lagi tinggi julang kaki ke sandar kerusi hadapan. makin nyaring gurau tawa. rehat sepanjang masa. itu subjek aku. subjek lain, teras atau elektif pun kamu pukul rata. entah apa sebab ke sekolah pun tidak dapat pula dipastikan. sebab cuma mau rehat sepanjang masa.

mau rehat ya. rehatlah, aku sudah bagi cuti tak perlu bangun pagi sibuk-sibuk jawab kertas subjek aku lagi.

haih.

Monday, September 01, 2008

perpaduan teras kejayaan @ merdeka ke-51



abis dah seksa.

best. puas hati. bangga giler.

esok, kembali ke sekolah. sepanjang siang tadi punggah balik semua baju kurung, cek balik kasut tumit [ada yang pulak yang terpelecok esok oke] ... simpan jauh-jauh kasut converse, adidas yang tapak da nak tanggal sebab duk kena becak padang [nasib baik JPWP ganti kasut baru, hahaha], seluar trek dan t-shirt lipat simpan elok-elok.

aku masih cuba upload video di dataran semalam, tapi to no avail. haihh, camana nih?