Tuesday, May 10, 2011

monolog buat mama, pada setiap hari yang penuh cinta.

yang pasti, mama masih kecewa.

ingat lagi berderai air mata mama bila dapat tahu yong sebenarnya cuma dapat 3A 1B untuk UPSR, walhal sehari sebelumnya yong bermuka riang dengan khabar - mama, yong dapat 4A.

dan mama telah rangkul yong penuh bangga.

anak sulung mama, cucu sulung tok dan arwah uwan ini sejak kecil selalu jadi kebanggaan.
membaca sejak di usia 3 tahun, walau masih berlampin sambil duduk di atas akhbar terhampar.
tidak pernah tercicir dari kelas terbaik pada setiap beralih darjah, dan ingat lagi senyum lebar abah mama bila yong naik ke pentas menjadi pelajar terbaik bahasa melayu untuk 3 tahun berturut-turut.

masa itu, mama masih tak segan memaut bahu yong di tengah ramai.

tapi kerana 1B yang mencemar keputusan UPSR itu, mama mula berubah. menjadi lebih dingin.

kalau mama telah menangis kerana merasa terpedaya, yong juga sama.

kerana tahu, yong menghampakan semua orang.

kerana tahu, bila pulang dan khabarkan yang benar jadi akan dibelasah abah.

yong takut. abah pukul sakit. bila malam tiba dan meletak kepala di bantal diiring sedu tak mampu lena. kepala sakit dan bengkak dihantuk ke dinding.

bertahun-tahun yong mendesak diri supaya mengulang rekod cemerlang yang pernah abah mama banggakan. entah kenapa sudah hilang magisnya anakanda ini. sekolah menengah rupanya perlumbaan hidup yang lebih hebat. mula merasa kecil diri kerana tak setanding teman-teman yang lengkap dengan teks rujukan tambahan. merasa kecil kerana kita tidak mampu. merasa kecil kerana bila semua berlumba menunjuk pandai mengangkat tangan menjawab soalan cikgu, yong cuma diam terkesima. malunya. yong pun mahu sama hebat juga, bingkas mendapat jawapan serta-merta dari nota-nota ringkas pada bahan rujukan macam orang lain.

tapi kata abah -- masa abah sekolah dulu buku teks sekolah yang ada itulah saja diselak setiap hari. taklah berkurang pandainya.

yong diam.

apakan daya, kerana gejolak hormon yang membikin singkat akal untuk menaakul salah-benar, esoknya yong beli juga buku-bukunya. barulah setanding, barulah segak tak kalah dengan kawan-kawan yang punya ayahbonda bergelar datuk-datin atau tan sri-puan sri. sambil itu seronok dapat berlumba jadi yang pertama bangun ke papan hijau mengisi jawapan. puas melihat cikgu senyum sambil berkata -- "good, very good, fairuz."

wah, bangganya menjadi orang yang dipandang cerdik ya?

tapi bangga itu tak ke mana, tak kekal lama.

suatu malam mama punggah almari buku yong yang penuh dengan buku rujukan dan latihan-latihan tambahan. mama tahu harganya bukan murah. lagi dengan bekal belanja harian cuma RM2 masa itu, mustahil boleh mengumpul harga buku-buku yang cecah RM10 setiap satu.
sebenarnya yong tahu, hati kecil mama tak pernah bohong. mama tahu yang buku-buku itu yong beli dengan wang yang diambil dari celah tas tangan mama.

wang yang diambil tanpa izin mama.

ceteknya akal waktu itu, meranapkan lagi hati mama. malam itu mama diam lagi.

barangkali kerana ilmu yang ditimba tidak direstui mama, PMR cuma dapat 3A.

kali ini mama jadi sinis. membuang hampa dengan sikap tidak peduli lagi. menjadi lebih dingin. kalau mama telah mencerca kerana merasa terpedaya, yong tak upaya mengubah apa-apa. kerana tahu, yong menghampakan semua orang. kerana tahu, bila pulang dan khabarkan yang benar jadi mungkin akan dibelasah abah. yong takut. yong ingat lagi abah pukul sakit. bila malam tiba dan meletak kepala di bantal diiring sedu tak mampu lena. kepala sakit dan bengkak dihantuk ke dinding.

tapi kali ini abah lebih tenang, rendah suaranya menghela "tahniah. yong dah cuba, kan?"

ada rasa lega, cuma yong lebih sedih memandang mama yang kian membekukan diri.

naik tingkatan 4, yong lari dari kelas sains. yong tak suka matematik, tapi mama marah. mama lebih marah bila tahu yong masuk kelas akhir sekali, kelas yang ada pendidikan seni. mama kata seni lukis tak bawa rezeki, di tepi jalan pun orang boleh pandai melukis tapi tak kaya juga.

tapi yong degil kan, mama? yong hancur luluhkan hati mama lagi.

masa tingkatan 4 dan 5, yong cuba lagi majukan diri. ingat lagi abang konduktor bas mini 20 yang menegur ralitnya yong membuat latihan matematik, walhal kepala sudah naik pening kerana bas bergegar sepanjang jalan.

yong juga mahu jadi pandai macam mama abah mahu. tak apalah pening yang nanti baik itu.
tapi matematik memang macam badi, susah betul nak membirukan merah pen pada markah di buku laporan peperiksaan.

mama tak doakan yong sama kah?

bila SPM dapat pangkat 1, yong menangis di riba cikgu wahida. mama ingat lagi dulu betapa menyinganya mama bila kita berselisih kata dan yong kalut menelefon cikgu mengadu sedih. tapi masa itu mama tak faham, mama selalu kata yong tak pandai. bila dapat keputusan SPM pun mama kata nasib baik tak tergelincir ke pangkat dua. yang dapat A1 pun cuma 1 - pendidikan seni.

cikgu wahida kata -- baliklah, tentu mak awak bangga. awak dah buktikan awak berjaya dapat pangkat 1. awak boleh sambung belajar lagi.

tapi mama bagitau semua makcik-pakcik dan tok di kampung, itu cuma nasib baik.
sedihnya hati masa itu.

di tingkatan 6 rendah, cikgu wahida belikan borang UiTM. dia pening memandang yong yang kusut tak cemerlang dalam ujian penggal. sedang masa itu, yong tengok mama semacam ketawakan nasib yong tak terpilih ke universiti.

cikgu wahida sua borang UiTM suatu petang itu -- isi ini, dan pergilah. ini bukan tempat kamu. cikgu tahu. kalau bukan bidang sains yang layak untuk kamu seperti yang mak kamu harapkan, buktikan kamu juga boleh jadi 'orang' dengan apa yang kamu ada.

kerana kecil hati tak jadi anak harapan mama lagi, yong lengkapkan semua maklumat pada borang, sambil berdoa minta dapat peluang sambung belajar dan jauh dari mama.

teruk betul yong masa itu.

eh,
kenapa masa yong dapat surat tawaran ke UiTM machang, mama jadi susah hati?

masa yong turunkan semua beg dan baldi baru dari perut kereta, yong tengok mama seka air mata di hujung pipi.

bila mama peluk yong waktu itu, semacam tersedar dari igau ngeri yang sudah bertahun lama -- mama sayang yong rupanya.

mama juga boleh ada rindu pada yong, tidaklah benci mana.

rupanya senyum suka waktu itu tak bertahan lama juga.

aduh, adat dunia. bila hati mula merasa ingin berpasangan dan dipuja si teruna, langsung tak hirau lagi pesan mama.

waktu dingin kita pun berulang lagi.

tamat belajar dan jadi pensyarah sambilan di kampus sama, yong pasang tekad tak ingin toleh ke belakang lagi. walaupun masa itu mama bising-bisingkan supaya kembali ke kota batu kuala lumpur, bekerja hampir dengan keluarga.

entahlah, barangkali kerana memang tak direstui mama, ada saja aralnya.

abah kemalangan masa itu, dan yong akhirnya pulang.

tawaran diserapkan sebagai pensyarah tetap terpaksa ditolak ke tepi. langsung bekerja di kedai fotokopi mengisi waktu, dan permohonan-permohonan kerja lain senyap tanpa berita.

hati jadi marah bila mama menyalahkan ijazah yang kononnya tidak laku. padahal kerja tetap di negeri orang ditolak mentah kerana rasa tanggungjawab pada keluarga waktu itu.

mama tak nampakkah? kenapa mama masih menuding jari seolah yong tak pedulikan belanja besar sepanjang di universiti, semacam mensia-siakan kudrat mama abah mencari rezeki menanggung belajar kami?

yong dah cuba, mama. soal ini memang menunggu ketetapan dari Tuhan, kita kan cuma manusia yang telah berusaha.

yong tahu mama punya harapan supaya yong juga digajikan oleh kerajaan seperti abah dan mama, senang terjamin hingga lewat usia dengan wang pencen yang tak putus.

dan Alhamdulillah, tawaran menjalani latihan perguruan diterima senang hati. mama pun tumpang seronok kan?

lihatlah mama, semuanya yong telah langsaikan untuk mama.

pangkat 1 SPM -- dapat.
masuk universiti -- dapat.
ada ijazah -- dapat.
kerja kerajaan -- dapat.

syukur, Alhamdullillah.

tetapi, bahagia itu tidak pernah kekal lama.

bila suatu hari yong khabarkan niat mendirikan rumah tangga, dan mama tentang sehabisnya.
ah, barangkali sudah tidak berjodoh yong dan dia. tak perlu diungkit lagi kerana dia juga sudah selesa menjadi suami yang setia.

setelah semuanya yong dapatkan untuk mama, tidak juga direstui permintaan yang satu itu. barangkali tidak cukup molek orangnya di mata mama, mungkin bimbang dia masa itu tak akan mampu menyara anak mama ini.

sayangnya mama pada yong.

sayang benar hingga tak pernah disebut lagi soal niat menamatkan zaman bujang dengan sesiapa. yong juga telah terima, jika inilah yang membahagiakan mama dengan melihat anak-anak masih berkumpul di depan mata tanpa perlu bimbang entah berkahwin dengan si durjana yang cuma bermuka-muka di awalnya dek ingin memenangi hati semata.

semua itu dan bertubi lagi dugaan yang tak mahu henti. kita semakin garang sesama kita. menyimpan marah dan kecewa yang tak mahu padam. yong keciciran dalam kerjaya, melarikan diri dari sakit yang lebih mengganggu dari fokus pada masalah yang sudah sedia ada.

redha saja. kita semua mencuba redha. keluarga kecil ini hebat dan bergaya, pedulilah pada jahanam yang datang mengejek saban masa. kita baik saja.

tapi mengapa kita masih membisu seribu bahasa akhirnya?

................


"A mother is a mother still,
The holiest thing alive"
-- Samuel Taylor Coleridge


ini bukan marah, ini bukan hampa.
andai saja semua ini boleh jadi bahan bicara. tapi kerana ia mustahil, jadi --

aku lirik wajah tuamu dengan cinta, wahai mama. rehatlah kerana malam tidak lagi tinggal panjang.

selamatlah pada setiap hari!

12 comments:

Azmi Hamzah said...

kak yuz...entry ini terang sggh jujur kamu...its so..so..so sad... keep ur heads up..keeps stang..be big..be the great yuz...lps baca buat nk dtg sgt ke chow kit...tp sejak thn lps...ade mslh transport...be well..t.care mate..agus

y u z said...

agus,

jarak tak pernah memisahkan ingatan sesama kita, manis kan?

be well! =D

Azmi Hamzah said...

betui tapi...kurang seronok sbb jrg dpt jumpe kwn2 la skang...

syafiqKL said...

hati ini amat terasa bila membaca blog ini .. ape yang pasti ia hampir sama dengan kehidupan ku . sebuah perjalan hidup yang penuh dengan dugaan ... hanya tulisan mampu menceritakan ... melihat dia memaki kita , melihat dia memarahi kita .kita rasa tidak senang adakah dia membenci kita ? adakah dia tak merestui kita ...tapi itu hanya perasaan yang kita rasa tapi pada hakikat sebenar ia menyayangi kita dengan sepenuh hati ..terima kasih cikgu ..blog ini memang jujur dan menyedari saya ...

Elly Julianna said...

yus, nasib kita seakan sama.i think that's why we're so close-back in Uitm...and u know what,maybe that's y i'm still here, living with my parents-walau dh berkeluarga..kita sebagai anak tentu sekali mesti meminta maaf bagi setiap kesilapan yg mengguris perasaan mereka, namun begitu kita juga perlu memaafkan mereka,krn mereka hanyalah manusia biasa,spt kita,hanya dgn itu kita dpt teruskan hidup dgn 'aman', InsyaAllah!It took me like-forever to forgive them, coz i blame them for everytg that i've been through..Alhamdulillah, now i'm healed... ;)

y u z said...

agus, ni pun lagilaa tak sempat apa. nak buat macamana, kalau sibuk nak jumpa kawan aje isi poket yg sedia kempis makin laa kempis. haih.

y u z said...

syafiq,

kamu masih terlalu muda untuk mula menyalahkan keadaan. sabar, ada manisnya yg kamu jumpa nanti. =)

y u z said...

kakak!

penat kan main 'the blame game'? that's why i begin looking it the other way around. to understand others, we have to try to be in their shoes.

i wonder if i'm in her situation, perhaps it'll be worser? who knows kan?

be well, kakak. i really miss you. =(

Amy said...

Tersentuh ati baca... lme dh x menjenguk blog ckgu... All the best cikgu.. Pray for your best! ;)

Md. Sabri Mohamad said...

As salam.

Saya terlambat membaca entry ini blog ini. Sekarang saya mula jelas mengapa dan kenapa perkara yang berlaku dan berlalu menjadi igauan.
Saya gagal menyelami dan memahami dasar cerita. Tetapi saya percaya, kekuatan kita hari ini datang daripada kebolehan kita menempuhi cabaran dan dugaan semalam dan hari sebelumnya. Kejayaan yang dikecapi hadir dari jiwa yang jujur dan ikhlas dalam menempuh cabaran dan dugaan itu.

Akhir sekali, hayati maksud kalimah Allah, yang bermaksud "Degan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang".

ayobkelubi said...

salam yus.

aku terlambat baca entri ni.

bas mini 20?. sama bas dengan aku dulu tu :)

well, nasib sebagai seorang yg sulung mmg berat dugaannya. kita pernah berada di dalam kasut yg sama cuma kesilapan aku dulu ialah terlalu degil, sangat-sangat degil dgn bapak aku.

tapi

aku sentiasa bernasib baik. mungkin itu rahmatNya untuk aku yg berat menanggung beban sebagai abang yg harus menjadi contoh.

semoga kau terus menjadi kuat dan yang pasti kau akan jadi ibu yg paling terbaik nanti! percayalah!.

y u z said...

aku boleh saja jadi si sulung yg biarkan tak peduli, tapi memang sangat mustahil.

bak kata abah, "cucu-cucu Selamat (arwah atuk aku namanya Selamat) memang takdirnya menyelamatkan orang."

ia sinis, tapi besar benarnya. dalam aku ketawa, hiba juga. ahahah.

terima kasih atas doa. jadi ibu? sudah terkikis dari impi, kalau bukan di mata anak sendiri maka cukuplah kalau dapat jadi yg terbaik di mata anak murid. InsyaAllah.