Thursday, September 24, 2009

the raya I -- salam, maaf, nangis, peluk, duit raya, jalan-jalan, makan!

seperti biasa, Hari Raya kami ialah di Perak Darul Ridzuan -- kampung mama. adik-beradik mama ramai, 10 orang semuanya dan nenek pun masih ada.

jarang sangat balik kampung abah, mungkin kerana adik-beradik abah pun banyak yang dah bercucu, atuk dan nenek dah lama meninggal jadi agak payah nak berkumpul meraikan Aidilfitri bersama.

sebagai cucu sulung yang menghabiskan zaman prasekolahnya di kampung, kembali ke rumah tok menimbulkan pelbagai nostalgia. loghat utara masih lekat, terutama menyebut "r" yang kerap akan berbunyi "ghrr" -- contohnya "rajin" akan berbunyi "ghajin", hahah.

seperti biasa awal pagi dimulai dengan sesi mini gotong-royong, membersih sekitar rumah.



Tok setelah berbelas tahun tanpa Uwan, masih sihat. cuma sudah bongkok tiga dan sudah resamnya orang tua, makin uzur dan kerapnya terbaring rehat. entah berapa raya lagi dapat bersama Tok. :'''<


adik aku yang ni memang drama sikit. tiap-tiap tahun nak menitik air mata. kalau bukan memang dia yang sedih, dia tengok orang lain pun boleh bikin dia sedih. haiyaa.

cucu menantu yang sulung bergaya dengan kamera hadiah hantaran kahwin.


yang berbaju melayu coklat itu sepupu paling istimewa, jarang dapat balik kampung kerana keadaannya yang kurang mengizinkan. sudah 10 tahun terlantar tidak sihat.

duit raya!

selesai sesi di rumah, kami berombongan ke rumah jiran-jiran sekeliling yang rata-ratanya saudara-mara sendiri juga. kali ini lebih kepada nak memperkenalkan ahli baru keluarga kami, si cucu menantu. esok-esok tak lah kekok dengan kaum-kerabat sendiri kan.

pengantin baru sebulan, sedondon dalam warna biru. tahun depan ada "extra baggage" kot, InsyaAllah. =)


budak kecik yang paling seronok balik kampung, tapi tak beria sangat berjalan. lebih sibuk main kejar ayam dan pasir di halaman rumah Tok. duduk KL tak jumpa semua tu!

tadaaa -- tengok si budak nakal! pakai baju melayu separuh hari saja, petangnya dah ke sana-sini dengan seluar pendek.

dan seperti biasa Hari Raya tidak sah tanpa dijamu segala juadah yang enak-enak belaka. setakat kuih-muih tu dah tak pelik, tapi kalau jumpa laksa utara, mee kari..... masing-masing sibuklaa memenuhkan kerusi di meja makan.

the Raya II -- kontrak kedai gunting rambut setiap hari raya!

kalau dah sampai kuala sepetang masa-masa bercuti raya ni, biasanya memang akan ada kunjungan wajib ke salun rambut kegemaran kami terutamanya yang sepupu-sepupu perempuan. aku sendiri sampai sanggup bertahan tak potong rambut di KL sebab potong rambut kat sini murah amat!

bayangkan potong rambut RM 3 SAHAJA, tak kira dari sepanjang mana hingga sependek mana yang dipotong. lumayan tidak? haha.

kalau tambah dengan syampu rambut siap urut bahu dan belakang badan untuk 15 minit, cuma tambah lagi RM 4. tak sampai RM 10.

dekat KL potong rambut saja dah berbelas-belas RM. haduuuu.

memandangkan aku ada banyak masa nak dibunuh (to kill the time) kerana adik dan sepupu aku siap nak stimkan rambut, jadi seperti biasa kameraku pun mula bekerja. cuma tak terbawaklah abang Nik aku cuma adik Norkiah saja yang meneman. :P


ruang wap rambut di bahagian belakang kedai sambil menonton tv.



bahagian cucian rambut, biasanya kalau nak bermanja lebih-lebih di sini boleh juga minta dicuci muka dengan bayaran tambahan RM 2, kalau tak silap aku.

setiap hari raya kedai ni pasti penuh dengan pelanggan pelbagai ragam dan kehendak. selain potong rambut dan cuci, ada juga khidmat rebonding, kerinting, gulung...macam-macamlah. yang pasti ia 80% lebih murah dari harga di KL. berbaloi-baloi!

the Raya III --- bakso dimakan berame-rame.

setiap tahun pasti ada juadah utama untuk seisi rumah. biasanya laksa, atau pernah juga mee bandung. tak silap aku mee kari ada juga, cuma lazimnya memang laksa. sah-sah laksa utara dengan kuah ikan yang sedap, pekat!

tapi memandangkan tahun ini agak kurang tenaga kerja, jadi kami memilih memasak bakso memandangkan kerjanya yang tidak renyah dan kurang bahan mentah perlu disediakan.

bebola daging dan lobak merah, berebut masing-masing!

ada yang cuma jenguk rumah Tok di malam raya, jadi ini sajalah masa nak berceloteh bergosip panjang. biasalah masa bulan puasa mulut kena diam-diam, dah raya ni faham-faham jelah kan! haha

yang biasa jadi ketua masak rumah ni ialah Mak Andak aku yang menetap di Lumut. jadi setiap balik raya dia akan umumkan menu dan pesan-pesankan apa yang perlu dibeli. pandai-pandailah makcik-pakcik yang lain sama-sama lengkapkan bahan sebab nak tumpang makan. agak-agak takde peruntukan tu, redah saja.

namanya pun Hari Raya, sama-samalah berkongsi merasa apa yang ada. =)

the Raya IV --- udang bermee.

kenapa udang bermee, bukan mee berudang?

sebab selak udang baru jumpa mee!

kuala sepetang sangatlah disebut-sebut orang sebagai destinasi untuk menikmati mee udang yang dikatakan paling istimewa seantero Malaysia sampaikan tersiar di Majalah 3. kalau diikutkan sepanjang-panjang jalan dari pekan Simpang yang pasti dilalui bila tiba dari KL, ada lebih kurang 12 buah kedai dengan hidangan utamanya mee udang.

tapi bila dah banyak sangat, iklannya hebat tapi rasanya belum tentu juga.

sekian lama aku balik kampung, inilah kali pertama sebagai salah seorang warga kuala sepetang kami sekeluarga terikut sama nak merasai "thrill" mee udang ni.

barangkali sudah rezeki juga, salah sebuah gerai berdekatan menjamu mee udang secara PERCUMA sempena Hari Raya kali ini.

tadaaaa -- Mee Udang Mak Jah, terima kasih! (siap dah ada blog sendiri hah, canggih mak jah.)

semua menu ada -- mee udang, mee goreng udang, kuetiau goreng udang. makanlah selagi larat, tak ada yang melarang!

troli mee udang yang datang setiap 5 minit!


free flow ya. agak-agak tak cukup, ambik lagi.



pemandangan dari luar. dari jauh boleh nampak papan tanda kedai mak jah ni.

bersusun-susun kereta di kawasan letak kereta dengan nombor plet dari merata negeri.

komen pasal rasanya? bolehlah, puas makan udang. tapi kuahnya agak manis. dan mungkin kerana dijamu banyak begitu, nikmatnya tak begitu terasa. barangkali pada kesempatan lain kalau makan berbayar, lebih sedap harapnya.

tapi ada satu tempat yang gerenti sedap sebab abah aku pun kata sedap! (abah ni kadang-kadang ada cerewetnya, jadi kalau tiba-tiba dia beria mengempen pada saudara-mara yang lain maknanya memang sedaplah tu.)

kedainya baru lagi, depan sikit dari Simpang. nama kawasan perumahan tu Palong kalau tak silap. ada lot kedai di sebelah kiri namanya Mee Udang Kuala Sepetang WORLD. harga sepinggan mee udang RM 8 dengan tak kurang 10 ekor udang harimau. kuah pun sedang elok tak cair sangat, manis-masam-masin secukup rasa. kalau nak yang special, RM 12 sepinggan dengan udang putih yang besar-besar.

memanggil-manggil udangnya hah!

Wednesday, September 23, 2009

the Raya V --- girls day out.

mempunyai sepupu-sepupu pada usia yang hampir sebaya ada banyak kelebihannya. bila sesekali berkumpul begini mulalah bikin rencana. selain kunjungan wajib ke salun dan sesi gosip, tahun ini kami beramai-ramai ke bandar Taiping.

jarang betul dapat izin begini, maklum saja semuanya perempuan tapi bila dah dapat peluang apalagi tak dilepaskan!

destinasi kami -- Taiping Central.


tengok aksesori merah-merah ni, teringat Kak Red. =)

ada yang nak mencari kasut, membelek beg tangan. layankan. paling lama sekali mengekor kerenah siapa lagi, si yana lah!


sesi hari itu diakhiri dengan --- makan.

inipun yang pergi semuat satu kereta. kalau diikutkan kelompok sepupu yang hampir sebaya aku, ada lebih kurang 10 orang lelaki dan perempuan.

sementara masing-masing masih bujang, bolehlah berkumpul sama. itupun seorang dah terkeluar korum, kecuali kalau pasangannya boleh masuk dengan kepala gila-gila kami, silakan sementara masih berdua, nanti dah bertiga belum tentu terdaya nak ikut rombongan!

InsyaAllah mulai tahun depan (dan aku yang cucu sulung dijamin bujang lagi, hehe) kami dah berkira-kira mengatur bercuti bersama. jadi dah dipesan-pesan buat tabungan paling kurang RM 50 sebulan. tak terlepas ke luar negara, dapat ke Pulau Pangkor pun dah lebih dari baik.

boleh dikatakan sesama kami agak rapat, terutama sepupu yang besar-besar nilah. dari 10 beradik mama, tiga anak perempuan yang awal berkahwin -- mama, Mak Alang dan Mak Andak masing-masing dikurniakan anak pada jarak tahun yang berdekatan. jadi kalau salah seorang dari bertiga ni tak balik kampung, memang agak terasa.

tahun ini aku rasa Aidilfitri yang paling sibuk (sebab banyak berjalan, haha) tapi persaudaraan lebih erat.

=)

Saturday, September 19, 2009

Selamat Hari Raya.

gambar ihsan Mommyof TripletsPlusOne
Abah takde masa ni. lepas raya kita shooting balik eh Abah eh... hihi.

Mak aku tak percaya esok raya. duk bertekak dari pagi tadi --- "mana mungkin kita puasa 29 hari?"

Secara tipikalnya, setiap tahun beraya pasti ada krisis saat akhir yang membikin rasa sebal.

Apapun,

segala selisih faham pasti lenyap juga di pagi Syawal esok. itulah magis Hari Raya. =)

Ampun maaf dari aku yang barangkali pernah terkasar bicara, tak kena sebutan dan terlampau perbuatan. apakan daya walaupun syaitan sakan berikat kita manusia acapkali tak mampu menepis domba dalam diri.

Salam Aidilfitri dari keluarga kecil kami.

Thursday, September 17, 2009

gadis kecil itu.

aku dah kata, ini minggu yang sangat menarik. =)

yang jauh, saling didekatkan. yang dekat, saling dimesrakan.
yang mesra, saling dieratkan. yang erat, saling mengingati dan mengasihi.

marilah hidup dengan semangat ukhuwwah!

semangat pulak menulis pagi-pagi ni. hehe.

sepetang suntuk pada selasa aku habiskan dengan gadis kecil ini.

begitu aneh sebuah persahabatan yang dijarakkan beza usia 11 tahun! apatah lagi dimulai dengan sapaan di blog.

biar aku hikayatkan.

gadis kecil ini, aku temui di celah sebuah keramaian sekitar 2007 dulu. aku cuma memerhati dari jauh. kecil molek dengan imej yang manis, sesuai teman yang didampingi. tapi dunia internet yang tiada sempadan menemukan aku dengan blognya. hanya coretan harian sekitar suka-duka gadis di bangku sekolah dengan SPM yang kian hampir, konflik zaman remaja dan segala isi akal yang terlintas.

yang buat aku tertarik, dia 'lain'. memang kecil di fizikal tapi semangatnya besar.

bukan gadis sekolah tipikal yang biasa aku temui dan kenali.

sepanjang telah berkhidmat sebagai guru -- dari zaman guru sambilan, guru tetap dan guru tadika dahulu, aku biasa mengendali anak-anak sekolah dengan segala macam ragam. baik yang lelaki atau perempuan, yang kecil atau yang sudah besar panjang.

tapi maaf! aku memang sangat kurang boleh serasi dengan murid perempuan.

ada saja yang pasti tidak kena di mata aku. baik sikap atau gaya. sementelah remaja perempuan sekarang 'daring' bukan main dan ramai bangga cuma jadi 'beauty without brain'.

eeeii tak boleh ingat pengalaman menjaga budak persembahan merdeka yang ribuan orang itu. siap tulis dalam blog lagi mengata aku!

mungkin kerana sikap aku yang juga agak kasar, dan aku pula mengajar di sekolah yang semuanya lelaki jadi bila aku lepas kata maka gadis-gadis ini tidak suka. pantang betul kalau terkinja-kinja tanpa segan, lengan baju-T disinsing menayang celah ketiak dan terkekek-kekek suka di tepi tembok bila yang lelaki melintas pulang sekolah.

pernah murid aku yang lelaki berkisah, dia sendiri jadi malu bila perempuan yang beria-ia menawar diri mahu jadi teman. belum kira yang seminggu berpasangan dengan orang ini, minggu depan berganti pula yang lain. jelik pula mengenangkan lelaki-lelaki yang bersilih ganti itu sebenarnya dalam satu kelompok rakan yang sama!

sama-sama dapat merasa. hish.

dan perlukah aku ulas pula profil anak-anak gadis ini yang sekian berleluasa di laman-laman sosial khasnya myspace?

kasihan lelaki-lelaki sekalian yang makin kurang pilihan isteri berkualiti.

kalau kau ke gerai jajaan kuih, yang terdedah dihinggap lalat pun kau tak ingin membelinya, bukan?

ok balik pada si gadis kecil ini.

dia, sederhana. tidak beria. terkinja pada tempatnya. berteman setia dan punya cita-cita.

aku suka orang yang punya cita-cita kerana sentiasa ada semangat untuk meneruskan kelangsungan hidupnya. yang penting, tidak pula leka dan mua mengejar indah dunia remaja semata.

berhibur di gig memang tidak pelik lagi. tidak pula perlu menayang ego seolah gelanggang itu tidak asing baginya.

dia, cool saja.

di saat remaja dilanda wabak gaya indie dan dslr nikon-canon jadi aksesori, dia tenang bersahaja. walaupun selayaknya dia lebih boleh menayang diri kerana dikelilingi mereka yang hebat dan pakar di arena itu.

mahu tahu apa bidang pilihannya di kolej sekarang? memasak!

jadi sibuklah di blog dia mengomel hal kek yang tak jadi, proses menguli doh roti dan sekalian rakan sekelas yang dimonopoli bukan bangsa Melayu kita.

yang selalu aku jumpa budak Melayu, nak buat apa, nak pergi mana, nak belajar apa mesti ada kawan, mesti ada teman.

esok masuk liang 7 kaki ke dalam tanah, kawan itu pun boleh tolong menemankah? Wallahua'lam.

jadi di kesempatan petang selasa kelmarin, aku bersama si gadis kecil ini 'window shopping' selain mencari bahan-bahan untuk kek buah yang bakal dikirim ke kampung.


merayau segenap kompleks membelek baju serta seluar aneka gaya dan warna. boleh tahan cerewetnya. tapi bagus kerana duit di tangan tidak dibazir sesuka hati. akhirnya duduk di bangku sudut sambil menghayun kaki yang lenguh.

"nak pergi mana lagi ni? ada dua jam lagi nak dibunuh"
"entah."
"jom tengok fish spa? kalau belas-belas ringgit layan je."
"alamak akak, tengok tu RM38 la. takyah ah."


begitu-begini tanpa kepastian, akhirnya ke pasaraya mencari bahan-bahan untuk kek buah. aku omelkan harganya yang kurang berpatutan kerana dijual di pasaraya besar dan pilihan yang sangat terhad malah tidak begitu tepat dengan keperluan. langsung aku cadangkan kedai lain yang lebih sesuai, tetapi nun jauh di celah hiruk-pikuk Chow Kit.

satu saja leceh gadis kecil ini, dia ada 'curfew'. bukan apa, barangkali mengambil kira faktor keselamatannya juga. jarang benar dia keluar sesuka hati terutama dengan aku yang pertama kali bertemu ini. jadi bila belahan jiwanya diam tidak respon dengan usul tadi, dia akur saja. jam juga sudah melepasi 4 petang, sudah kurang munasabah untuk turun meredah kesesakan jalanraya ke tengah bandar sana.

nah tiba-tiba jelang jam 5, dikhabar pula akan berbuka puasa di Kg. Baru. aduh-aduh. nampak itu kereta tolak penuh barang, semuanya diletak semula satu demi satu. "kentallllll" kata si gadis kecil.

langsung bergegas-gegas silih berganti pengangkutan awam dan berjalan kaki di celah sibuk orang ramai di Chow Kit. tepat jam 6 kami sampai di kedai yang dimaksudkan -- Bake With Yen. pintunya sudah 3/4 ditutup. mujur juga barangkali kerana musim orang membikin kuih untuk Aidilfitri, jadi perniagaan masih berjalan seperti biasa.

habis di situ dekat-dekat jam 7pm. laju juga berjalan menuju ke Jalan Raja Alang, susup-sasap hendak mencelah menuju Chop & Steak Kg. Baru.

"haiii, awak ni comel lah."
"terima kasihhhhh"
"ada pulak yang kena langgar dengan Kembara nanti."

dan kami berderai ketawa, lupa dengan penat di kaki yang tak dikasihani sejak tengahari.

di meja makan restoran, teman-teman lain yang merancang berbuka sama sampai satu demi satu. kaget juga mulanya kerana rata-ratanya cuma kenal pada rupa dan nama tapi tidak biasa berbual apatah lagi duduk semeja.

yang pasti, mereka tidak pernah kenal siapa aku. jadi semacam 'starstruck moment' lah juga. =)

sambil makan, masing-masing rancak bersembang dan berkongsi ketawa. roboh juga tembok pembeza marhain biasa dan idola. antara aku dengan seorang gitaris ternama, dan seorang lagi fotografer hebat.

kalau hendak digebang sangat --- "hey, aku berbuka puasa dengan artis tuuuu."

tapi tak kisahlah, mereka pun orang biasa macam kita juga. cuma usaha masing-masing meletak diri di tahap mana. aku kagum kerana masing-masing pada usia yang jauh lebih muda dari aku, sudah ada aset dan perancangan masa depan yang sungguh kemas.

itu, ilmu hidup yang masih aku pelajari. ya, mencari ilmu tidak habis sehingga tercabut nyawa nanti.

bagi aku, gadis kecil ini sangat beruntung kerana sejak awal didorong orang-orang yang berjaya.

aku pula, masih bertuah kerana diberi kesempatan mengenali dan mengetahui susah-payah yang sebenar di sebalik kehebatan sebuah jenama popular. semuanya tidak mudah. di depan khalayak yang dipamer cuma senyum tapi penat-lelahnya memang tak terbayangkan. masa rehat dan bersuka terpaksa didikit-dikit. tapi banyak orang suka ambil jalan singkat yang tak menjamin pengakhiran hidup yang meyakinkan.

kepada gadis kecil dan mereka yang lain, terima kasih untuk sepetang yang sangat ringkas tapi bermakna.

kredit gambar untuk si gadis kecil. =)